|
ASSALAMUALAIKUM! Keseronokan mereka yang mengikuti Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) di puncak Genting Highlands Ahad lalu mungkin masih terasa, tambahan pula yang pulang membawa trofi cantik dan gelaran popular antara yang sedia popular.
|
Melaram sakan dengan busana masing-masing, baik tajaan mahupun milik sendiri. Tidak kurang juga yang melaram dengan pasangan ‘cinta’ atau ‘teman tapi mesra’. Biarpun saya tidak berkesempatan mendaki ke sana, tetapi melalui cerita rakan dan gambar yang dirakam teman jurugambar, menambah lagi cerita yang ada.
Dalam soal melaram, saya tertarik melihat beberapa artis bersama ‘teman pengganti’ ketika kamera TV menghala kepada mereka termasuk Norish Karman dan Luqman (abang Farahdhiya). Tidak kurang menariknya saya menatap rakaman gambar Nurul Alis (Kiki) dengan jejaka mat salih dan Noraliah Lee (Vee) bersama buah hatinya, Tengku Yusof (TY).
Mungkin ramai lagi yang saya terlepas pandang, tetapi dari perspektif tersendiri, tiga wanita yang pernah kecundang dalam pelayaran rumah tangga ini membuatkan saya kagum kerana keberanian mereka membuka rahsia terhadap cinta hati masing-masing.
Kagum maksud saya, mereka tidak main-main sembunyi lagi daripada media baik yang bertauliah mahupun mata-mata gelap yang suka sangat menyibuk di Internet. Sebelum ini pun, pelbagai cerita tidak enak kita baca dan lihat gambar melalui laman sesawang yang tidak bersempadan itu.
Gosip mengenai Vee dan Norish Karman misalnya antara yang paling banyak diperkatakan. Kini dengan keterbukaan mereka itu, selain menjawab kemusykilan pemerhati hiburan tempatan, ia juga sekurang-kurangnya menghentikan masyarakat daripada mengata yang bukan-bukan.
Ketika bercakap dengan Vee di talian telefon semalam, wanita itu akui yang hatinya sudah ditambat pada TY. Perkenalan lebih dua tahun dengan duda dua anak itu membuka hatinya untuk kembali disayangi dan menyayangi. Baguslah! Mungkin cintanya bertambah kuat selepas kembali dari umrah baru-baru ini.
Norish juga tidak perlu berselindung lagi. Memang sebelum ini, khabar angin mengatakan dia menjalin hubungan mesra dengan lelaki yang lebih muda. Tidak salah kerana cinta tidak mengenal itu semua, asalkan dua hati saling berkenan dan memahami. Berani kerana benar!
Fitnah terlalu mudah tercipta kerana naluri manusia secara semula jadinya suka membuka spekulasi sehingga menimbulkan perkara yang sama sekali tidak kena mengena dengan subjek diperkatakan (Apapun fitnah terjadi disebabkan banyak perkara lagi).
Saya menjelaskan kepada Vee, elok juga kalau masyarakat tahu mengenai hal ini. Tidaklah nanti, jika mereka keluar berdua, suara-suara sumbang berbisik hitam pasti terbit dan sampai menyampai, akhirnya cerita akan jadi lain.
“Saya serahkan kepada Tuhan, kalau ada jodoh kami, saya bersyukur kerana saya sayang dia. Namun, kalau sebaliknya, saya reda,” kata Vee.
Pun begitu, ada juga beberapa teman artis yang lebih suka merahsiakan hal peribadi. Baik yang sudah berkahwin mahupun sedang hangat bercinta. Alasan - mereka tidak mahu mencampuri soal peribadi dengan karier, bimbang bercelaru.
Saya menghormati keputusan itu kerana hanya mereka yang tahu untuk menguruskannya. Bagaimanapun, dalam pada itu, masih ada cerita-cerita belakang yang kelabu terutama mengenai seorang dua artis yang sudah bergelar isteri. Orang awam yang tidak tahu mereka sudah diijabkabulkan, mula bertanya-tanya sehingga menjadi penabur cerita tidak benar (berdasarkan spekulasi).
Memang berlaku hal ini. Puas memujuk mereka supaya berterus terang, tetapi saya juga perlu menghormati ketegasan pendirian mereka kerana antaranya ada hati yang perlu dijaga. Mungkin mereka berkahwin dengan suami orang, lalu bimbang isteri pertama atau kedua tahu rahsia.
Tidak kurang juga yang bercinta. Cuba merahsiakan sebolehnya. Alasan - takut dikatakan ‘playboy’ atau ‘playgirl’, kalau hubungan mereka tidak kesampaian.
Masing-masing dengan coretan kehidupan dan semua tahu yang terbaik untuk diri sendiri. Apapun saya menyokong keterbukaan tiga selebriti yang maksudkan di atas supaya tidak timbul cerita yang tidak enak. Lagi menyokong kalau hubungan itu berakhir di tangan tok kadi!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: