Wednesday, April 1, 2009

Permata hati Erra ...Engku Aleesya

Kehadiran Engku Aleesya lengkapkan sinar bahagia bersama Engku Emran

JIKA pasangan sensasi Hollywood, Angelina Jolie dan Brad Pitt, Tom Cruise dan isterinya, Katie Holmes boleh berbangga dengan cahaya mata masing-masing seperti Shiloh dan Suri, apa kurangnya dengan pasangan suami isteri terkenal Malaysia, Erra Fazira dan Engku Emran Engku Zainal Abidin yang kini sedang enak mengulit bahagia dengan kelahiran cahaya mata pertama, Engku Aleesya.

Populariti yang dimiliki kedua ibu bapanya serta menjadi zuriat pertama kepada pasangan ini membuatkan kehadiran Engku Aleesya amat ditunggu-tunggu. Tentu saja ramai yang ingin melihat apakah Engku Aleesya secomel ibu dan bapanya, yang sebelum ini disifatkan ramai seperti pinang di belah dua.

Pun begitu, seperti juga Shiloh dan Suri yang sebelum ini dikawal ketat sehinggakan media gagal atau tidak dibenarkan merakamkan gambar mereka untuk tatapan ramai, begitulah juga yang dilakukan Erra dan Emran.

Cuma tujuan dan alasan mereka berbuat demikian sedikit berbeza.

Bagi pasangan kontroversi dari Barat itu, tujuan mereka 'menyorokkan' wajah bayi mereka adalah semata-mata untuk untuk mengaut keuntungan dengan menjual hak penyiaran eksklusif, tetapi bagi Erra dan suami, mereka sejujurnya mahu berlaku adil kepada semua media yang selama ini begitu menantikan kehadiran cahaya mata sulung mereka.

"Erra dan suami ingin meminta maaf kepada semua peminat yang selama ini mendoakan kesejahteraan Erra. Bukan Erra tak mahu siarkan wajah Aleesya tetapi Erra sebenarnya mahu berlaku adil kepada semua pihak.

"Biarlah Aleesya besar sikit dan Erra janji, pada majlis cukur jambul Aleesya nanti yang akan diadakan sebaik saja Erra selesai berpantang, Erra akan benarkan semua jurugambar merakamkan gambarnya," janji Erra ketika ditemui di sebuah hospital di Damansara, tempat di mana dia melahirkan bayi comel seberat 4.04 kilogram itu.

Tegas Erra, keputusannya itu turut mendapat persetujuan daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Namun begitu, Erra tetap membenarkan sekumpulan media yang hadir untuk melihat anaknya yang sedang nyenyak tidur itu. Benar seperti yang dikatakan Emran, Aleesya mempunyai mulut mirip ibunya.

Ditanya apakah sebelum ini mereka ada mendapat tawaran daripada mana-mana majalah yang ingin menyiarkan wajah anak mereka secara eksklusif, sambil ketawa, Emran menggelengkan kepala.

"Tak adalah, kalau adapun saya tak akan berikan," ujar Emran sambil memberitahu dia juga tidak akan membenarkan Engku Aleesya berlakon memandangkan sebelum ini memang ada ura-ura untuk membawa bayi comel itu ke layar kaca.

Bukan mahu cuba merencanakan masa depan anaknya tetapi bagi Erra, kalau boleh biarlah anaknya itu nanti memilih kerjaya yang lari dari bidang seni.

"Kalau boleh biarlah bidang seni itu nanti menjadi pilihan terakhir buatnya. Tetapi andai dia memang mahu menjadi anak seni, saya tidak akan menghalang. Saya akan bekalkan dia dengan panduan berguna.

"Tetapi kalau ikut ayahnya, dia mahu anaknya menjadi pemain golf terkenal macam Tiger Wood. Malah dalam menunggu saya nak bersalin sempat juga dia melihat internet untuk mengetahui perkembangan sukan itu," kata pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem pecah panggung Sembilu ini.

Lebih melucukan, bagaikan berpakat, Emran yang ditemubual lebih awal turut melahirkan hasratnya untuk melihat anak sulungnya itu menjadi pemain golf terkenal.

Sebagai bapa yang terdedah dengan arus kemodenan, Emran berkata dia menggunakan pendekatan yang agak terbuka dalam mendidik anaknya nanti.

"Setiap insan ada hak mereka sendiri dan sebagai bapa saya nanti harus menghormati haknya sebagai seorang anak.saya biarkan dia yang buat pilihan sendiri dalam apa juga keputusan namun pada masa yang sama, kita berikan pandangan kita," tutur Emran.

Menceritakan detik-detik kelahiran Engku Aleesya, Emran berkata isterinya itu sudah mula mengadu sakit sejak hari Sabtu lalu.

"Namun sakitnya semakin menjadi-jadi malam kelmarin (Ahad).Justeru, dalam pukul 11 malam saya bawa dia ke hospital. Selepas melakukan beberapa proses seperti induce bagi mempercepatkan kelahiran, akhirnya pada jam 11.40, Aleesya selamat dilahirkan.

"Alhamdulillah, saya rasa bersyukur sangat-sangat kerana isteri saya dan anak, semuanya sihat. Sepanjang Erra berada di dewan bersalin, saya menemaninya. Malah, sempat juga saya rakamkan detik-detik kelahiran Aleesya.

“Selama ini saya tak pernah lihat Erra merasa sakit seperti itu. Satu pengalaman baru buat saya," kata Emran yang juga Ketua Pegawai operasi Suria FM dalam nada teruja.

Ditanya apakah hasrat untuk menambah ahli keluarga baru akan tetap diteruskan selepas melalui pengalaman itu, secara berseloroh Emra menjelaskan, faktor usia membuatkan mereka tidak mahu menangguhkan usaha itu.

Sebak menguasai diri

TANYALAH kepada mana-mana ibu di seluruh dunia, saat melahirkan bayi pertama menerbitkan satu pengalaman yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Dan itulah juga yang dialami Erra sebaik saja melahirkan Aleesya.

"Sebaik saja Aleesya lahir, doktor yang menyambut kelahiran Aleesya itu terus meletakkan dia di pangkuan saya. Masa itu keadaannya masih lagi basah dan berselaput macam plastik. Mula-mula memang rasa pelik tapi lama kelamaan, rasa sebak menguasai diri.

"Mana tidaknya, insan yang amat dinanti-nanti, yang Erra bawa dalam kandungan selama sembilan bulan akhirnya muncul di depan mata. Ia adalah satu pengalaman yang hebat buat Erra," katanya yang begitu rancak berbual walaupun badannya masih dalam keadaan lemah.

Mengenai pilihan nama Engku Aleesya, Erra berkata nama itu adalah pilihannya sendiri yang bermaksud dilindungi.

"Kami memang sediakan tiga hingga empat nama dan nama ini dipilih berdasarkan maksudnya serta sebutannya yang lembut. Manakala nama yang lain bunyinya agak keras dan rugged sikit. Tengoklah, mungkin yang lain itu akan digunakan untuk anak-anak yang lain,' cerita Erra yang tetap kelihatan jelita walaupun tanpa secalit mekap.

Biarpun akan menjalani tempoh berpantang secara tradisonal, namun Erra juga akan mencuba cara moden terutama dalam bab mengembalikan tubuh dalam bentuk asal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: