Friday, April 24, 2009

Aura Siti


SEPANJANG tempoh 14 tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian, penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mengakui pelbagai pahit getir sudah ditempuhinya.

Selepas memegang status isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K dan tampil dengan imej bertudung, nama Siti tetap tidak terlepas dikaitkan dengan kontroversi dan gosip tak berasas yang cuba mencalit nama baiknya.

Apapun gosip dan kontroversi dikaitkan dengannya, ternyata ia tidak sedikit pun menjejaskan sokongan padu peminat setianya.

Malah, nama Siti terus gah di persada seni tanah air dengan terus mempertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) selama 12 tahun berturut-turut.

Tidak cukup dengan itu, bingkisan album barunya, Lentera Timur yang baru menjengah pasaran mendapat sambutan menggalakkan dalam kemelut ekonomi global ketika ini.

Bagi Siti pula, rezeki dalam bidang seni yang dikecapinya dari dulu sampai sekarang adalah anugerah Tuhan.

"Saya tetap reda dengan apa saja yang berlaku dalam hidup. Apa pun yang dilakukan, orang tidak pernah berhenti bercerita mengenai saya sejak dulu.

"Saya juga bersyukur, undangan persembahan tidak pernah putus diterima sampai sekarang. Apa yang penting, saya hanya kekalkan prestasi persembahan yang baik dan meningkatkan prestasi sedia ada dalam aspek nyanyian dari semasa ke semasa.

"Tapi, kalau saya sudah tidak ada rezeki lagi dalam bidang seni, mungkin saya akan fikirkan untuk buat kerja lain pula selepas ini," katanya.

Ditanya sama ada dia selesa ditemani suami ketika menjayakan persembahan, Siti mengakui dia tidak ada masalah dalam soal itu.



"Sebenarnya, suami pernah bertanya sebanyak 10 kali sama ada dia boleh menemani pada persembahan yang dijayakan kerana bimbang dengan cakap-cakap orang nanti.

"Bagi saya, ia terpulang kepada suami untuk menemani saya atau tidak kerana saya juga faham dengan situasinya sebagai ahli perniagaan.

"Sebagai penyanyi, saya juga tiada batasan di pentas dengan peminat. Suami juga faham dengan kerjaya saya sebagai penyanyi.

"Setiap kali menonton persembahan saya, dia akan beri komen membina untuk saya memperbaiki kelemahan," katanya.

Pada masa sama, Siti juga mengakui dia sebenarnya bukan sengaja tertinggal nama suaminya ketika berucap di pentas selepas menerima trofi Penyanyi Wanita Popular ABPBH2008, baru-baru ini.

"Saya terkenang Allahyarham bapa, Tarudin Ismail ketika itu. Justeru, apabila turun dari pentas, saya cepat-cepat meminta maaf kepada suami dan nampaknya dia memahami keadaan saya ketika itu," katanya.

Siti berkata, sejak bapanya meninggal dia kerap pulang ke kampung untuk menziarahi ibunya.

"Emak memang lebih selesa tinggal di kampung kerana saudara-mara kami masih ramai di sana. Emak juga lebih tenang dengan menziarahi kubur arwah bapa setiap pagi dan petang.

"Bagaimanapun, saya bercadang membawa emak bercuti bersama-sama kami nanti, sekali gus melupakan kesedihannya seketika," katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti sibuk merencanakan konsert solonya di Istana Budaya Jun ini.

"Setakat ini, kami sudah ada dua penaja yang berminat ingin membantu menjayakan konsert ini nanti. Saya juga akan teruskan konsert ini dengan bajet yang ada.

"Konsepnya sudah ada cuma pengisian dari A hingga Z itu belum ada lagi. Saya juga belum dapat judul konsert ini lagi. Saya juga akan buat sidang akhbar mengenai konsert dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Siti juga bakal muncul dengan projek albumnya bersama penyanyi popular dari Indonesia, Kris Dayanti.

"Album ini adalah projek album gabungan dua negara yang juga projek syarikat saya. Album ini mengandungi lagu duet kami berdua.

"Perkara ini masih dalam perbincangan, tapi Siti sudah mempunyai material untuk album ini dan hanya menunggu bahan dari pihak Kris saja," katanya.

Siti yang anggun dengan busana rekaan pereka muda, Amir Luqman ditemui ketika menjayakan persembahan Minggu Setiausaha anjuran Hotel Quality City Centre di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade, Jalan Duta, kelmarin.

Mengenai persembahannya petang itu, Siti berkata, sebenarnya sudah dua tahun dia tidak buat persembahan sempena sambutan Minggu Setiausaha yang diraikan setiap April.

"Saya berasa puas apabila dapat bersama penonton dalam kelompok berbeza kerana kali ini persembahan saya untuk golongan yang berbeza sedikit iaitu berbilang usia dan karier. Fokus persembahan juga menghiburkan bos dan setiausaha mereka.

"Saya juga dapat menyanyi lagu daripada album baru, lama dan malar hijau dalam persembahan selama dua jam ini," katanya.

Secara peribadi, Siti berkata, dia memang rindu untuk menjayakan persembahan sempena Minggu Setiausaha tahun ini.

"Persembahan pada sebelah siang ini berbeza berbanding malam, tetapi saya tiada masalah untuk menyanyi pada kedua-dua waktu itu.

"Saya juga gembira kerana dapat bermesra dengan peminat walaupun hanya sekejap kerana inilah masanya mereka dapat bertemu dengan artis pujaan dengan lebih dekat. Mereka yang datang juga membesar dengan lagu saya," katanya.

Siti berkata, dia akan terus bekerjasama dengan Hotel Quality pada sambutan Minggu Setiausaha yang akan datang.

"Ini tahun keenam saya bekerjasama dengan Hotel Quality. Saya setia bersama hotel ini kerana senang bekerjasama dengan mereka.

"Saya juga tidak ada masalah untuk menjayakan persembahan Minggu Setiausaha bersama hotel ini tahun depan. "Namun, ia terpulang kepada keadaan. Jika saya tidak terbabit dengan sebarang projek dan perut tidak memboyot (mengandung) ketika itu, pasti saya kembali membuat persembahan nanti," katanya.

Siti berkata, dia juga tampilkan vokalis Koda, Fahimi untuk berduet dengannya menerusi lagu Inggeris, Lucky dendangan Jason Mraz kerana vokalnya sesuai.

"Saya tampilkan Fahimi kerana ingin memperkenalkan kumpulan Koda kepada peminat dan pada masa sama, Koda adalah kumpulan yang bernaung di bawah syarikat Siti Nurhaliza Productions (SNP).

"Saya tidak kisah jika orang kata nak promosi artis sendiri kerana bagi saya tiada salahnya beri peluang kepada mereka," katanya.

Pada petang yang cukup bermakna dan dihadiri lebih 1,000 penonton itu, Siti menyampaikan rangkaian lagu popularnya seperti Pada Cintanya, Ku Mahu, Bukan Cinta Biasa, Aku Cinta Padamu, Wanita, Cinta Ini, Biarlah Rahsia dan Di Taman Teman.

Selain itu, lagu Ketahuan (Matta) dan lagu malar hijau seperti Asmara, Jikalau Abang Merindu dan Kan Ku Jelang.

Barisan pemuzik yang mengiringi persembahannya petang itu ialah Jenny Chin (pengarah muzik, Amir (perkusion), Norman (bass), Fendi (dram ) dan Aji (gitaris).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: