Friday, April 24, 2009

Konsert tanpa Nash


MUNGKIN ia secara kebetulan atau dianggap sebagai 'musim' apabila kebanyakan kumpulan rock popular 70-an dan 80-an, dilamar penganjur untuk mengadakan konsert penyatuan semula sepanjang Mei ini.

Ia bermula dengan Search yang dijadual mengadakan konsert jelajah negara pada 2 Mei dengan lokasi pertama di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Kemudian kumpulan Black Dog Bone akan menggegarkan Istana Budaya bermula 8 hingga 10 Mei ini.

Terbaru, kumpulan yang cukup popular dengan lagu Tiada Lagi Kidungmu dan Ku Di Halaman Rindu, Lefthanded akan mengadakan konsert mega pada 30 Mei ini di Stadium Negara.

Kumpulan yang dahulunya dianggotai Amran Marsiman, 45, (Yan-base), Abdul Rahman Othman, 47, (Man Dayak-dram); Rahman Mahmood, 45, (Man Kidal-gitar) dan Allahyarham Abdul Samad Mian (Samad) akan tampil tanpa penyanyi asalnya, Jamaludin Elias, 49, (Nash-vokal).

Bagi menggantikan tempat penyanyi yang kini bergerak solo, kumpulan Lefthanded bakal bergabung tenaga dengan beberapa penyanyi dan anggota kumpulan rock lain.

Memastikan ia tidak tersasar daripada tema, konsert itu turut ditukar judulnya daripada Lefthanded Reunion kepada Lefthanded and Friends.

Pastinya, perkembangan itu sedikit mengecewakan peminat setia kumpulan itu apabila persembahan penyatuan semula Lefthanded tidak lengkap dengan anggota asal.

Menjelaskan mengenai perkara ini pada majlis sidang akhbar pengumuman konsert itu, baru-baru ini, Man Kidal mengakui berasa terkilan apabila Nash tidak dapat bersama mereka pada hari persembahan.

"Konsert ini sudah dirancang pada November lalu dan tarikhnya sudah ditetapkan waktu itu. Bagaimanapun, apabila ditanya kepada Nash, dia menjelaskan sudah mempunyai komitmen lain dan dia sudah memberikan persetujuan awal.

"Bagi menggantikan tempat Nash, kami cuba menghubungi beberapa penyanyi yang pernah menjayakan projek khas bersama Lefthanded sebelum ini seperti Ramli Sarip dan Arab yang tampil bersama kami dalam Nafas dan Fanatisme.



"Sudah tertulis bukan rezeki kami untuk bersama kembali apabila mereka turut menjelaskan mempunyai komitmen lain.

"Memikirkan alternatif lain, akhirnya saya bersama penganjur konsert, Win Archer (M) Sdn Bhd bercadang menjemput beberapa penyanyi yang pernah bekerjasama dengan kami sepanjang 25 tahun Lefthanded ditubuhkan," katanya.

Selain itu, jelas Man Kidal, konsert yang diadakan ini sebenarnya sudah dirancang lebih lima tahun lalu dan waktu itu, arwah Samad masih ada bersama mereka. Bagaimanapun, kerana masalah untuk mendapatkan penajaan dan penaung menyebabkan perancangan itu tertangguh sehinggalah sekarang.

"Sayangnya, apabila konsert ini mahu diadakan, arwah sudah tiada lagi untuk bersama-sama Lefthanded dan sudah pasti apabila konsert ini dilakukan nanti, kami semua akan terasa kehilangannya. Konsert yang kami adakan ini turut kami abadikan untuk arwah Samad," katanya.

Antara penyanyi bakal tampil menjayakan konsert dirancang ini termasuk penyanyi utama kumpulan Search, Amy; penyanyi utama kumpulan Wings, Awie; bekas penyanyi utama kumpulan May, Mus, Hattan dan Shima.

Pemain gitar utama kumpulan Wings iaitu Joe juga akan muncul selaku penampilan khas bagi menggantikan tempat arwah Samad.

Bagi penyanyi yang akan bersama-sama menjayakan konsert ini akan menghiburkan peminat Lefthanded dengan lagu popular mereka daripada album Keadilan (1986) sehinggalah album Reunion 1- Koleksi Unggul (2003).

Penyertaan Amy dalam konsert Lefthanded ini bagaimanapun dikhuatiri akan menimbulkan konflik kepada peminat, memandangkan waktu sama, Search masih dalam rangka persembahan jelajah seluruh negara.

"Saya akui mengenai perkara ini tetapi kemunculan Amy agak istimewa kerana pada malam konsert itu nanti, dia akan mendendangkan lagu popular Lefthanded.

"Pastinya peminat setia mahu mendengar bagaimana agaknya gaya Amy apabila mendendangkan lagu popular Lefthanded. Seperkara lagi, Amy sudi menjayakan konsert ini atas dasar bagi membantu mengumpul dana untuk Mercy Malaysia," katanya.

Sementara itu, Hattan yang turut hadir pada sidang akhbar berkata, dia tidak menghadapi masalah untuk menjayakan konsert itu kerana sejak dulu sudah biasa menggantikan tempat Nash apabila dia muncul dengan album solo.

"Biasanya saya menyertai mereka untuk persembahan biasa. Ingin saya jelaskan di sini, pembabitan saya dalam konsert dilakukan Lefthanded bukan kerana duit, sebaliknya ia lebih kepada tanda sokongan," katanya.

Mus pula berkata, dia sudah menganggap anggota kumpulan Lefthanded sebagai abangnya dan apabila dipelawa untuk menjayakan konsert itu, dia amat berbesar hati.

"Sebelum ini, saya pernah menjayakan persembahan bersama Lefthanded di Planet Hollywood mahupun di RTM bersama Hattan. Ini kali pertama saya akan menyertai mereka bagi menjayakan konsert besar. Pastinya saya berasa teruja dan tidak sabar hendak menggegarkan pentas konsert di Stadium Negara pada 30 Mei nanti," katanya.

Menarik apabila Joe yang turut bermain gitar menggunakan tangan kiri dikatakan mampu mengimbau nostalgia peminat terhadap arwah Samad yang turut bersama-sama Man Kidal bermain gitar menggunakan tangan kiri.

Kata Joe, dia terpanggil untuk bersama-sama menjayakan konsert ini kerana berasakan ia akan memberikan impak luar biasa kepada peminat kerana menampilkan penggiat muzik rock yang dianggap 'otai'.

Selain Lefthanded, konsert yang akan dimulakan seawal jam 3 petang ini turut menampilkan kumpulan 'indie' seperti Jump-D, The Pilgrims, Couple, The Times, Roots & Boots, Pop Shuvit dan Bunk. Kumpulan terbabit akan memanaskan pentas terlebih dulu sebelum Lefthanded muncul pada sebelah malamnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: