SHAH ALAM: “Masalah rumah tangga dan penceraian saya tiada kena-mengena dengan mana-mana pihak,” ulas pelakon utama Spa Q, Norish Karman ketika ditanya adakah ‘teman rapat’nya sekarang, Mohd Luqman Mohd Amin merupakan punca keretakan rumah tangganya pada Julai tahun lalu.
Abang penyanyi dan pelakon Farahdhiya itu dikatakan adalah kekasih Norish ketika ini, apatah lagi kedua-duanya dilihat semakin intim.
Tambah Norish atau mesra dengan gelaran NK, masalah rumah tangganya bermula sejak bertahun-tahun lama yang dulu.
“Masalah rumah tangga saya dah bertahun-tahun dan saya tiada kekuatan sendiri. Saya inginkan kebahagiaan tetapi tiada persefahaman antara kami.
“Oleh sebab itu, saya yang berani lepaskan perkahwinan ini,” ujar NK ketika di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini.
NK berkata Luqman merupakan antara kawan rapat yang dia ada dalam industri ini.
“Friends are very important. Tetapi, saya tak reti cari kawan, mana yang ada...adalah..
“Misalnya Luqman merupakan antara kawan yang saya kenal dalam industri ini dan kami semakin rapat sejak selalu berjumpa di pengambaran drama bersiri Spa Q.
“Saya pilih dia sebagai kawan kerana anak-anak saya semua. Mereka sukakan Luqman kerana dia seorang lelaki yang baik dan kelakar,” ulas NK.
Walaupun begitu, dia masih enggan bercakap banyak tentang Luqman kerana bimbang sekiranya menimbulkan salah faham.
“Perkara ini menyentuh tentang pertemuan dan isu jodoh dengan sesiapa belum tahu lagi. Tetapi buat masa ini perkara kahwin belum terlintas langsung dalam fikiran saya.
“Kalau boleh saya nak orang yakin dengan kerjaya lakonan dan nyanyian saya. Saya juga bercita-cita hendak bergelar seorang usahawan dan menyambung pengajian saya dalam bidang Psikologi.
“Lagipun, saya ni janda anak tiga, saya tak rasa pun ada sesiapa yang nakkan saya. Bagaimanapun, saya teruskan hidup seperti biasa dan tidak pernah ‘cover line’ untuk keluar ke mana-mana,” ujarnya yang bakal menghasilkan album.
Kata NK, jika tidak album, mungkin dia akan menghasilkan EP atau mini album yang memuatkan lagu-lagu termasuk lagu gubahannya.
“Sekarang saya sudah siap merakamkan tujuh buah lagu. Antara lagu yang saya gubah adalah ‘Pencinta’ dan ‘Biarkan’,” beritahu ibu tunggal kepada tiga orang anak ini.
Mereka adalah Muhamad Haqiem Amany, 10, Muhamad Hardy Amieran, 6, dan Nur Hanyz Amanda, 5.
Ditanya jika tidak sekarang, mungkin NK akan fikirkan tentang perkahwinan pada masa akan datang.
Dia berkata, "Saya bersyukur kalau ada orang boleh sayang saya dan anak-anak saya kerana mereka penting dalam hidup saya. Jadi, mereka perlu tahu siapa kawan saya."
Ditanya tentang isu dia mereka-reka cerita terhadap bekas suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir seperti yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar tabloid baru-baru ini, NK menafikan kenyataan itu.
“Reka ke tu? Saya tak reka tentang kenyataan kereta saya ditarik balik sejak Januari lalu dan anak-anak mendapat RM700 sebulan.
“Saya bercakap sebagai seorang pelakon dan wanita kerana sudah empat bulan saya tiada kerja (lakonan) kerana orang ingat saya kaya. Jadi, saya perlu betulkan.
“Mereka tak bagi kerana kena tunda. Saya seperti kena aniaya..Saya kena tunggu...Saya tak suka buka benda ini (hal tuntutan nafkah). Saya hanya jawab apa yang patut dan mohon jangan heret orang lain.
“Saya tak faham kat mana yang saya reka..Malulah sikit kalau cakap pasal rumah tangga, kita ada anak-anak..,” tegas NK.
NK juga menjelaskan tentang isu bekas suaminya memberinya RM5000 sebulan sehingga sekarang adalah tidak benar.
“Ingin saya betulkan bahawa nafkah sebanyak RM5000 itu diberikan oleh bekas suami kepada saya semasa tempoh edah selama tiga bulan sahaja. Lepas itu, tiada dan saya hidup dengan menggunakan wang sendiri seperti pengambaran drama Spa Q,” ujarnya.
Namun begitu, NK yang kelihatan bertegang lidah dengan suaminya tentang tuntutan nafkah terhadap anak-anak mereka tetap menghormati suaminya.
“Saya kasihan dan hormat dia sebagai bapa kepada anak-anak saya,” luahnya yang semakin terbuka untuk bercakap tentang soal peribadi.
Ujar NK, "Dulu saya dilarang daripada bercakap tentang hal ini tetapi sekarang saya bebas."
Dalam pada itu, perbicaraan tuntutan nafkah oleh Norish terhadap bekas suaminya hari ini telah ditangguhkan ke 17 Jun depan untuk penghujahan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Proses sulh (perundingan) nafkah pula ditetapkan pada 7 Mei ini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.
Dalam tuntutan itu, NK meminta supaya bekas suaminya menyediakan wang nafkah anak-anak sebanyak RM1500 setiap orang, wang sewa rumah dan wang untuk dibayar kepada pembantu rumah.
tabahkan hati.....
ReplyDelete