Monday, April 6, 2009

Abby kongsi petua


KETIKA hamil anak ketiga, Maria Danisha Hakim, Arbaeyah Abdul Manan atau Abby Abadi, 31, menempuh dugaan yang begitu hebat, namun dia tabah mengharunginya. Bukan calang-calang wanita dapat menghadapi cabaran yang melanda, apatah lagi membabitkan rumah tangga.

Lebih mengharukan, ketika itu Abby mempunyai dua lagi anak kecil, Mohamed Danish Hakim dan Marissa Dania Hakim yang memerlukan belaian dan perhatiannya.

Kini semua kisah duka itu sudah berlalu selepas berpisah dengan Mohamed Norhakim Zaidon atau Norman Hakim hampir dua bulan lalu.

Abby kembali membina harapan baru dan kerjaya lakonannya juga semakin berkembang. Biarpun tanpa trofi, Abby menyifatkannya sebagai anugerah yang tidak ternilai baginya.

Di luar sana, barangkali ramai wanita senasib dengan Abby tetapi tidak pasti apa harus dilakukan. Bukan bertindak selaku pakar motivasi tetapi sekadar ingin berkongsi pengalaman dan pendapat, Abby akan tampil dalam Bengkel Bersama Mak Dara iaitu pengasas produk Jamu Mak Dara.

Menyeimbangkan apa dialami Abby, Mak Dara atau nama sebenarnya Halimah Shuib, 66, pula akan menitipkan petua rumah tangga bahagia. Ini kerana kebanyakan institusi rumah tangga hari ini bagai telur di hujung tanduk. Terlalu rapuh dan silap gaya akan pecah berderai.

Beliau yang mesra dipanggil ‘ibu’ juga akan berkongsi petua penjagaan kesihatan dalaman dan luaran. Tidak hairan dalam sekelip mata Jamu Mak Dara semakin popular di kalangan wanita hari ini.

Bengkel itu akan diadakan di Shah Alam dan Port Dickson pada 25 dan 26 April ini, mulai jam 8 pagi hingga 5 petang. Mereka yang ingin menyertai bengkel itu boleh hubungi Kelly Azman di 012-2707191. Pendaftaran berdasarkan siapa cepat kerana tempat dihadkan kepada 100 peserta saja.

Menurut Abby, dia bersedia berkongsi pengalaman pahit getirnya dengan peserta bengkel itu.

“Selepas apa yang berlaku, saya mendapat semangat luar biasa untuk teruskan hidup. Apa yang berlaku memberi impak besar pada kehidupan dan saya tak akan biarkan diri saya diperkotak-katikkan lagi serta tak mahu lagi menjadi bahan cerita yang tidak sepatutnya.



“Tumpuan kini mencari rezeki untuk anak dan mengembangkan kerjaya ke peringkat lebih tinggi. Saya terharu peminat di Singapura menggelar saya Ratu Drama Malaysia. Dengan apa yang berlaku, saya tidak akan berpaling lagi. Biarlah ia menjadi sejarah dalam hidup ini.



“Kepada wanita di luar sana, jangan mudah putus asa. Anggap saja apa yang terjadi sebagai pemangkin kejayaan untuk masa depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: