Monday, April 6, 2009

Borak Paknil: Hargai peminat


ASSALAMUALAIKUM! Tepat tujuh hari dari sekarang, penggiat seni tanah air akan berkumpul di puncak Genting Highlands bagi majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008.

Majlis gilang gemilang ini akan menyaksikan pertemuan bintang kesayangan ramai dengan ribuan peminat yang menjadi nadi kepada anugerah ini. Merekalah yang memangkah artis pilihan dan menentukan siapa patut dinobatkan sebagai popular.

Sejak tiga bulan lalu, mereka bertungkus lumus mengisi dan menghantar borang undian untuk memastikan bintang idola mereka naik pentas untuk menjulang trofi.

Paknil banyak terhutang budi pada penyokong Paknil yang tanpa upah tetapi tetap setia memangkah nama Paknil. Tiada ucapan lain boleh Paknil luahkan selain ‘Terima Kasih’.

Untuk pengetahuan semua, kategori Pengacara TV Popular 2003 adalah pengiktirafan pertama Paknil. Ini bermakna selepas 13 tahun, baru Paknil merasa menggenggam trofi buat pertama kalinya.

Jika disingkap sejarah kemenangan Paknil, sebenarnya terukir cerita sendu di sebaliknya. Jadi kejayaan ini memang bukan kejayaan yang datang bergolek dan setiap kali dinobat sebagai pemenang, Paknil pasti terkenang cerita yang belum pernah diceritakan kepada umum sebelum ini.

Beberapa tahun sebelum merangkul anugerah itu, Paknil sering gagal ke peringkat akhir dan sering juga hanya menonton acara itu di rumah.

Namun itu tidak sedikit pun mengecewakan Paknil, malah Paknil berazam untuk bekerja lebih keras lagi supaya dapat berdiri sama tinggi dengan mereka yang Paknil tonton.

Ketika mula-mula nama tersenarai dalam senarai calon akhir, Paknil bersyukur kerana Paknil rasa peminat mulai menerima kerja Paknil.

Malah sehingga kini pun Paknil sentiasa rasa bertuah kerana turut tersenarai. Ini juga bermakna kerja Paknil masih relevan di hati peminat. Menang kalah bukan soal utama.



Ketika itu Paknil gembira dapat duduk sebaris dengan artis popular, memakai pakaian hebat dan bersama berdebar menunggu keputusan.



Mungkin ramai tidak tahu dan mungkin juga lupa Paknil pernah kecundang pada nama seperti Imuda, Datuk Jalaluddin Hassan dan Halim Othman.

Belum pernah Paknil ceritakan kepada umum Paknil pernah ditertawakan kerana sering gagal. Sampai hati mereka yang suka melihat orang lain gagal.

Pernah satu ketika seorang artis popular datang menghampiri Paknil sambil mengucapkan sesuatu yang memeranjatkan Paknil. Kata-katanya masih kuat bermain di kepala Paknil.

“Aku kesian tengok kau yang dari tahun ke tahun asyik jadi tukang tepuk saja kat majlis ni. Kau tak penat ke naik Genting tapi tak menang apa-apa?” katanya.

Terkedu Paknil masa itu. Paknil tak marah tapi terasa sangat sedih dengan diri Paknil yang dipandang rendah sampai begitu. Paknil malu sangat sehingga tak tahu mana nak letakkan muka ketika itu dan selepas itu.

Sehingga kini setiap kali bersua dengan artis itu, Paknil pasti terdengar-dengar kata-katanya. Dia mungkin lupa perbuatannya tetapi bak kata orang tua, jerat tidak pernah melupakan pelanduk.

Pernah juga Paknil menerima kejian daripada seseorang yang sudah lama Paknil padamkan namanya dari diri Paknil. Namun setiap kali majlis anugerah ini tiba, namanya pasti menghantui Paknil. Si polan ini pernah mentertawakan kerja Paknil yang dianggap gagal gara-gara tidak pernah memenangi anugerah.

Katanya: “Kau ni tak tahu malu ke? Dah 10 tahun buat kerja pengacara, sekali pun tak pernah menang award!” Tajam betul kata-katanya menghiris perasaan Paknil. Apa lagi yang boleh Paknil katakan masa itu kecuali telan saja kata nista itu.

Namun, Tuhan Maha Kaya. Dia ubati luka dan aib Paknil dengan kejayaan pertama dan yang seterusnya, tetapi kata-kata yang menghina Paknil masih kuat terngiang-ngiang di telinga.

Paknil tak tahu sama ada kawan artis lain turut pernah merasai apa yang Paknil lalui. Pesan Paknil cuma satu saja. Bangun dan buktikan mereka silap!

Ada lagi kata-kata menghina yang Paknil semat sehingga kini. Ketika acara anugerah berlangsung pada 2002 dan Halim Othman menang ketika itu, Paknil menerima SMS daripada seseorang yang tidak dikenali.

Katanya: “Wakaka…. Padan muka ko kalah! Ko memang tak best dan tak akan menang!”

Paknil tak tahu kenapa ada orang suka tengok kegagalan orang lain sedangkan Paknil tak pernah mencari musuh. Walaupun orang lain tidak tahu kehadiran SMS itu, Paknil tetap sedih dan malu. Paknil terbayangkan betapa rupa-rupanya ada orang melonjak kegembiraan bila Paknil kalah.

Walaupun sering tewas, Paknil tetap teruskan kerja. Rezeki yang datang tidak memandang kepada trofi di tangan, tetapi usaha kita untuk perbaiki kelemahan.

Walaupun kata-kata menghina masih menghantui Paknil, ia tidak sekalipun melunturkan semangat Paknil untuk terus menghadiri majlis yang dianjurkan oleh Berita Harian ini. Malah Paknil lebih kuat untuk menghadapi kekalahan.

Pernah ada wartawan menemubual Paknil sebelum acara bermula dan menanyakan bagaimana jika Paknil kalah lagi tahun itu. Bagi Paknil, soalan itu mempunyai semangat negatif. Setiap sebutan kita doa dan sebaik-baiknya kita jangan doakan yang tidak elok untuk seseorang.

Seharusnya soalan berbau positif ditanyakan pada Paknil seperti: “Bagaimana jika si polan yang menang?” Bukankah itu satu doa yang elok, tetapi maksud soalan asal wartawan itu tetap sampai buat Paknil menjawabnya.

Sejak beberapa peristiwa itu, Paknil sering ingatkan diri supaya jangan lupa diri dan tahu asal kedudukan Paknil dalam industri satu ketika dulu.

Paknil sering berhati-hati bercakap dengan semua calon dan kawan artis yang berkumpul di malam anugerah itu supaya tidak mengguriskan hati sesiapa.

Paknil tidak mahu orang lain melalui apa yang Paknil pernah rasakan. Bukanlah Paknil rasa yang Paknil sudah berjaya, tetapi apa yang Paknil kecapi hari ini ada pengisian penuh duka di sebaliknya.

Malah, Paknil sentiasa bersedia untuk kecundang kerana lumrah hidup yang ada naik turunnya. Itu sebabnya Paknil sentiasa terkejut dengan kemenangan setiap kali diumumkan kerana Paknil berasa akan tiba masa Paknil kalah.

Jika kalah sekali pun, Paknil tidak akan kecewa sebab Paknil sudah melalui kekalahan lebih teruk sebelum ini. Lebih hebat, Paknil pernah diejek dan diketawakan.

Oleh itu, Paknil ingin pesan pada diri dan kawan artis yang bertanding, terutama artis pangkat adik dalam bidang hiburan ini, supaya jangan rasa rendah diri dengan kekalahan. Semua pemenang di situ pernah merasai kegagalan. Jadi ia bukan sesuatu yang asing di kalangan yang hadir.

Memang semua orang mahukan kejayaan, tetapi kejayaan itu akan lebih manis jika pahit yang ditelan terlebih dulu. Percayalah.

Jadikan ejekan sebagai penyuntik dan Paknil selalu pesan diri orang yang terakhir ketawa adalah orang yang besar ketawanya.

Lebih memeranjatkan rupa-rupanya bila sudah menang beberapa kali, ada juga kata nista dilemparkan pada Paknil. Ada yang mengatakan dia muak melihat wajah sama naik ke pentas untuk menerima anugerah.

Rupa-rupanya, ada juga terbakar punggung dengan kejayaan orang lain sehingga sanggup menghasut peminat untuk menjatuhkan pemenang sama. Lebih teruk bila dihasut juga penganjur untuk membuat peraturan supaya tiada pemenang berulang.

Seikhlasnya, Paknil juga pernah seperti Rosyam Nor terniat untuk menarik diri daripada bertanding dalam anugerah ini, tetapi demi menghormati pihak penganjur yang banyak membantu kerjaya Paknil, Paknil gagahkan juga bertanding.

Lagi pun Paknil harus menghormati dan menghargai peminat Paknil yang masih terus bertahan menyokong kerja Paknil. Paknil serahkan bulat-bulat pada mereka dan percaya akan tiba ketikanya Paknil tak relevan lagi.

Pada masa itu sudah pasti nama Paknil tidak tersenarai dan tidak perlu susah-susah untuk tarik diri.

Terima kasih pada pengalaman yang pernah buat Paknil menangis. Pengalaman itu terus menyuntik semangat Paknil.

Paknil tidak tahu sampai bila ingin terus menebus keaiban yang pernah berlaku pada diri Paknil kerana semakin Paknil ingin lupakan, semakin kuat pula suara hinaan itu terdengar di telinga Paknil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: