|
LANGKAHNYA besar, pandangannya pula jauh ke depan. Masakan tidak apabila wanita berdarah Jawa ini akhirnya dikenali sebagai penyanyi bertaraf antarabangsa. |
Visinya jelas. Selepas menggapai kejayaan di negara sendiri, Anggun mahu mencuba sesuatu yang baru dan lebih mencabar. Akhirnya, darah muda yang mengalir dalam tubuhnya waktu itu membawa penyanyi ini ke negara Barat.
Awal 1990-an, Anggun membuat keputusan meninggalkan Indonesia untuk ke Eropah. Begitupun, kesempitan hidup dan kepayahan mencari sesuap nasi ketika menetap di United Kingdom (UK) mengajarnya erti kepayahan hidup.
Namun, dia sedar terlalu besar dugaan yang perlu diharungi. Memikirkan masa depan, Anggun akhirnya memindahkan tapak seni nya ke Kota Cahaya iaitu Paris, Perancis.
“Alhamdulillah, sejak berhijrah ke sana saya diperkenalkan dengan penerbit yang juga komposer, Erick Benzi. Sejak itu apa yang saya lakukan mula menampakkan cahaya.
“Akhirnya saya menandatangani kontrak rakaman pada 1996 bersama Sony Music Perancis. Sejak itu kerjaya sebagai penyanyi di sana mula berkembang pelahan-lahan dan pada 1997 album pertama saya berjudul Au Nom De La Lune berjaya dipasarkan,” katanya.
Anggun yang ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini, kini dalam rangka promosi album terbarunya berjudul Elevation. Dengan pakej yang dikatakan baik, Anggun mempertaruhkan irama rancak dan sederhana, urban hinggalah berentakkan muzik sedunia dalam album Inggeris keempatnya.
“Saya mahu mengangkat muzik ke tahap lebih tinggi. Menerusi album terbaru ini, rasanya ia akan meliputi lebih ramai pendengar. Lagipun, saya suka mencuba sesuatu yang baru. Sebagai penyanyi, saya tidak mahu dilabelkan menyanyi satu genre saja.
“Boleh dikatakan, album ini sebagai perjuangan untuk mengembangkan dunia muzik. Sebab itu saya mencuba pelbagai genre untuk membuka ruang lebih luas dalam dunia ini. Sebagai penyanyi, dunia nyanyian adalah medan pertempuran buat saya.
“Sebab itu album ini akan merangkumi pelbagai genre muzik yang berbeza daripada saya sebelum ini. Kali ini pendengar akan lebih puas apabila elemen pop, balada, hip-hop, dance serta rock disatukan dalam satu album,” katanya.
Tambah Anggun, untuk menambah warna dalam album terbarunya, dia turut mengundang beberapa artis ternama untuk berkolaborasi dengannya.
“Antara yang menjadi pilihan saya adalah produser yang sinonim dengan muzik urban iaitu Tefa And Masta. Saya turut bekerjasama bersama The Fugees, Pras Michel dan DJ Laurent Wolf.
“Album ini juga menampilkan 13 lagu baru. Demi pendengar, saya turut memuatkan empat lagu yang dimasukkan sebagai bonus. Begitupun, saya memilih lagu Jadi Milikmu sebagai single pertama buat album ini. Bagi saya, elemen dance yang dimasukkan dalam muzik berkenaan akan mudah diterima pendengar,” katanya.
Menutup soal kerjaya, Anggun juga seperti wanita biasa. Dikurniakan seorang cahaya mata diberi nama Kirana Montana Sasmi melengkapkan lagi hidupnya.
“Sejak melahirkan Kirana, hidup saya lebih terisi. Apa yang saya lakukan kini hanya untuknya. Lagipun, tiada anugerah yang terbaik daripada Tuhan selain anak.
“Terus terang saya katakan, saya bangga menggalas status ibu. Malah, saya sanggup melakukan apa saja untuknya. Biarlah kehidupannya dalam dunia kanak-kanak serba indah dan membesar dengan penuh kasih sayang.
“Begitupun, ia tidak bermakna saya memanjakannya. Saya mahu dia menerima pendidikan secukupnya dan membesar menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat dan bangsa. Kalau boleh, saya mahu melihatnya menjadi model atau presiden,” tutur Anggun berjenaka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: