Monday, April 20, 2009

Abby kongsi derita di bengkel Mak Dara


ABBY akan tampil berkongsi pengalaman mengharungi hidup dalam Bengkel Bersama Mak Dara pada 25 dan 26 April.

SIAPA yang tidak hancur hatinya apabila rumah tangga yang dibina akhirnya hancur berkecai bak kaca. Begitu jugalah yang dihadapi Abby Abadi apabila terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan sejak kisah rumah tangganya menjadi bualan khalayak.

Bagaimana mahu dipertahankan kalau sudah tertulis jodohnya dengan pelakon Norman Hakim setakat itu saja walaupun ketika kejadian dia sedang sarat mengandung anak ketiga dan dua anak lagi anak kecilnya Mohamed Danish Hakim dan Marissa Dania Hakim memerlukan belaian manja, kasih sayang dan perhatiannya.

Tidak mahu terus larut dengan kedukaan yang cukup menyesakkan jiwa dan naluri wanitanya, Abby masih tegar meneruskan cabaran mendatang bergelar ibu tunggal selepas berpisah dengan Norman Hakim beberapa bulan lalu.

Pelakon drama Gerak Khas dan Hikayat Putera Shazlan itu kembali membina harapan baru dan kerjaya lakonannya juga semakin berkembang. Belum surut kisah perpisahannya dengan bekas suami, timbul pula gosip mengenai hubungan Abby dengan seorang pelakon baru, Zoulle.

Katanya, setakat ini dia tidak pernah berbincang mengenai langkah seterusnya dalam perhubungan mereka kerana fokusnya kini adalah untuk meningkatkan kariernya demi anak-anak serta pendidikan mereka.

"Kami tidak pernah bersoal jawab fasal kahwin. Apa yang berlaku kepada saya sebenarnya semakin menguatkan saya. Saya mahu mencari peluang supaya matlamat yang belum tercapai sebelum ini berjaya dicapai. Tumpuan saya sekarang adalah kepada kerjaya dan anak-anak. Syukur bapa mereka semakin menunjukkan sikap tanggungjawabnya sejak akhir-akhir ini. Saya juga lebih suka jika orang bercakap mengenai kerjaya daripada kisah peribadi," katanya.

Melihat kepada kekuatan Abby mengatur langkah sendirian tanpa lelaki bernama suami pasti ramai terutama wanita yang senasib dengannya dapat berkongsi rasa dengan pelakon itu. Bukan bertindak selaku pakar motivasi tetapi sekadar ingin berkongsi pengalaman dan pendapat, Abby akan tampil dalam Bengkel Bersama Mak Dara iaitu pengasas produk Jamu Mak Dara.

Menurut Abby, dia bersedia berkongsi pengalaman pahit getirnya dengan peserta bengkel itu.

“Selepas apa yang berlaku, saya mendapat semangat luar biasa untuk teruskan hidup. Apa yang berlaku memberi impak besar pada kehidupan dan saya tak akan biarkan diri saya diperkotak-katikkan lagi serta tak mahu lagi menjadi bahan cerita yang tidak sepatutnya.

“Tumpuan kini mencari rezeki untuk anak dan mengembangkan kerjaya ke peringkat lebih tinggi. Saya terharu peminat di Singapura menggelar saya Ratu Drama Malaysia. Dengan apa yang berlaku, saya tidak akan berpaling lagi. Biarlah ia menjadi sejarah dalam hidup ini.

“Kepada wanita di luar sana, jangan mudah putus asa. Anggap saja apa yang terjadi sebagai pemangkin kejayaan untuk masa depan,” kata penuh semangat.

Menseimbangkan apa dialami Abby, Mak Dara atau nama sebenarnya Halimah Shuib, 66, pula akan menitipkan petua rumah tangga bahagia. Ini kerana kebanyakan institusi rumah tangga hari ini tidak sekental ikatan perkahwinan orang lama yang mampu mengekalkan kebahagiaan dalam tempoh yang panjang dan selamanya.

Beliau yang mesra dipanggil ‘ibu’ juga akan berkongsi petua penjagaan kesihatan dalaman dan luaran. Tidak hairan dalam sekelip mata Jamu Mak Dara semakin popular di kalangan wanita hari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: