Monday, April 20, 2009

Dengarnya...: Tuah jadi kekasih Bintang Paling Popular...Irma Hasmie



GERAK-GERI kekasih Nabil ini turut menjadi perhatian media.

ANTARA tuah dengan rezeki, tempias populariti yang diraih Nabil selepas diangkat Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 turut dirasai kekasihnya, Irma Hasmie.

Iyalah kebelakangan ini Irma turut menjadi perhatian pihak media. Lihat saja akhbar semalam, Irma turut merasai bahang pengiktirafan yang diterima Nabil. Gara-gara kejayaan Nabil, wajah Irma pun turut diabadikan di muka depan sedangkan dulu bukan main sukar untuk dia meraih peluang itu.

Itulah yang dikatakan tuah. Mungkin dulu ramai yang tidak nampak kelebihan yang ada pada Irma walaupun Cik Normah akui, dia antara barisan pelakon muda berbakat besar.

Cuma apabila terlalu digembar-gemburkan, Cik Normah bimbang cerita peribadi pula yang mengaburi perjalanan kerjaya lakonan Irma. Cik Normah harap Irma bijak mengimbangi perkara ini.

Maklum berkasih dengan Bintang Paling Popular, banyak cabaran dan dugaan terpaksa ditempuhi. Tidak semua pihak menyenangi dan sudah pasti, ada yang beranggapan Irma cuba menumpang populariti Nabil.

Cik Normah memang faham sangat dengan industri hiburan kita. Mudah sangat membuat kesimpulan sedangkan tanpa Nabil dulu pun, Cik Normah lihat Irma bertungkus lumus mencari peluang untuk berdiri kukuh sebagai anak seni.

Apa pun Cik Normah doakan kebahagiaan akan menemani mereka berdua. Sejak putus cinta dengan seorang aktor popular, pelbagai dugaan melanda Irma. Banyak yang tidak manis berlaku.

Namun, Cik Normah lihat Irma sentiasa tenang dan tersenyum. Barangkali Tuhan sedang membentangkan sesuatu yang manis kepada Irma selepas puas diuji dulu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: