Bekas peserta Akademi Nasyid, Cicik sanggup jual suara dari meja ke meja untuk sara diri dan keluarga
JAM 9 malam, penulis bersama jurufoto Eizairi Shamsudin memulakan tugas untuk mencari bekas peserta program realiti Akademi Nasyid, Mohd Shukri Nasrun, 26 atau Cicik yang khabarnya masih meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi jalanan (busking) bagi menampung hidupnya di kota metropolitan ini.
Mungkin kepuasan yang dicari atau terpaksa akur dengan krisis ekonomi global sehingga dia mengambil keputusan untuk meneruskan kerjaya empat tahunnya sebelum ini.
Hampir satu jam penulis dan jurufoto meronda-ronda sekitar Kampung Baru untuk mencari kawasan yang menjadi tumpuan pengunjung kerana biasanya di situlah terdapatnya ramai pemuzik jalanan mengambil kesempatan mencari rezeki.
Jam menunjukkan 10.15 malam, orang yang dicari masih belum ditemui, malah perut seolah-olah menjerit-jerit meminta makanan. Lalu kami mengambil keputusan untuk berhenti makan malam dengan memilih kedai yang dikunjungi ramai pengunjung.
Sedang enak menikmati juadah malam, terlihat kelibat penyanyi jalanan sedang menuju ke arah kedai yang kami singgah. Memang benar dialah orang yang kami cari. Sebaik dia sampai di kedai itu, penulis terus memerhati kelakuannya.
PENGUNJUNG yang berpuas hati dengan lagu nyanyian Cicik menghulurkan duit sebagai penghargaan. |
Tanpa berlengah, Cicik terus mengeluarkan gitar yang disandang di belakangnya. Uncang yang berisi duit hasil persembahannya satu jam yang lalu diletakkan di hadapannya. Sebelum bersiap untuk memulakan persembahannya, dia sempat meneguk air mineral yang dibawa bersama. Seperti biasa ucapan pengenalan diucapkan Cicik kepada pengunjung kedai itu untuk menyatakan kebenarannya menghiburkan semua pengunjung di situ.
Cicik memulakan persembahannya dengan lagu Tiga Malam Tanpa Bintang nyanyian Fiq, Sampai Syurga (Faizal Tahir) Jatuh Cinta Lagi dan Ketahuan nyanyian Matta serta I'm Yours (Jason Mraz). Selepas itu, sekali lagi dia meminta izin kepada pengunjung untuk membawa uncangnya dari meja ke meja sekiranya ada yang sudi menghulurkan duit sebagai menghargai nyanyiannya.
Sebaik melintasi meja penulis dia seakan terkejut, lalu terus menariknya untuk duduk bersama. Pada mulanya dia seakan enggan kerana malu untuk bertemu media, tetapi sebaik dipujuk akhirnya dia bersetuju untuk ditemu ramah.
“Saya mula berhijrah ke Kuala Lumpur sejak 2004 lagi dan ini adalah pekerjaan awal saya. Saya berhijrah ke sini juga untuk mengubah nasib membantu keluarga terutama emak saya di kampung. Pekerjaan saya halal dengan bakat yang saya miliki saya menjual suara untuk menghiburkan orang bukan meminta sedekah. Biarlah apa orang nak kata asalkan pendapatan saya mampu menyara hidup sendiri dan emak di kampung,” katanya.
Sebaik muncul menerusi Akademi Nasyid, Cicik mula dikenali ramai dengan bakat nyanyiannya, penampilan yang bersahaja dengan gaya rambut panjang diikat kemas.
“Sebelum ini saya pernah mencuba beberapa uji bakat program realiti, namun yang terpilih hanyalah program Akademi Nasyid. Dari situ saya rasakan nasib akan berubah sedikit masa lagi. Saya juga pernah ke beberapa syarikat rakaman mencuba nasib sekiranya terpilih untuk menjadi artis syarikat rakaman tetapi tidak berjaya.
“Sebaik tamat program Akademi Nasyid, saya menjadi buntu. Apakah yang harus saya buat selepas ini? Saya mengikuti beberapa program anjuran TV9 selama beberapa bulan dan selepas itu saya tidak membuat apa-apa pekerjaan lagi.
“Walaupun tidak memenangi apa-apa dalam pertandingan itu, hidup saya harus diteruskan. Saya masih lagi mempunyai tanggungjawab terhadap emak saya di kampung. Akhirnya saya nekad untuk meneruskan kerja asal saya sebagai penyanyi jalanan.
“Saya tidak pernah malu dengan kerjaya ini kerana selain menjadi mata pencarian, ia sebenarnya melatih saya untuk menjadi seorang penghibur yang versatil. Saya banyak belajar bagaimana untuk menarik perhatian pengunjung, mengenali kelompok muzik dan macam-macam lagi.
“Impian saya adalah untuk menjadikan kerjaya saya ini sebagai satu kerjaya yang profesional hingga ke peringkat tertinggi. Hidup saya perlu ada sasaran,” katanya yang menyanyi lebih 35 lagu setiap hari.
Setelah gigih berusaha dan berdoa, impiannya untuk menjadi artis rakaman akhirnya berhasil apabila tanggal 15 Disember tahun lalu syarikat rakaman Luncai Emas Sdn Bhd milik sifu M Nasir bersetuju untuk menandatangani kontrak rakaman bersama Cicik sebagai ahli keluarga baru mereka.
“Alhamdulillah akhirnya impian saya untuk menjadi artis rakaman termakbul juga. Saya mengikat kontrak selama tiga tahun bersama mereka.
“Dalam perjanjian itu juga, saya dijanjikan sekurang-kurangnya dua lagu dan sekiranya lagu saya mendapat sambutan yang menggalakkan album penuh membabitkan 10 lagu akan dikeluarkan.
“Saya juga dibenarkan untuk menghasilkan lagu sendiri sekiranya menepati kualiti yang diharapkan. Saya harap ia akan menjadi landasan untuk saya terus mempertingkatkan diri saya selain membantu meningkatkan mutu industri muzik tanah air,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: