Monday, July 11, 2011

YPM sedia kemudahan Anjung Ilmu


Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad memotong riben sebagai simbolik perasmian Anjung Ilmu SK Gemereh sambil diperhatikan Pegawai Pelajaran Daerah Segamat, Yasiran Maskom dan guru besar sekolah itu, Rubiah Tijan,
di Segamat, Johor, baru-baru ini.


YAYASAN Pelajaran Mara (YPM) sekali lagi tampil menyalurkan sumbangan kepada sekolah luar bandar dalam usaha mereka untuk menyediakan kemudahan pendidikan dan keselesaan pembelajaran sejajar dengan peranan mereka sebagai "Pelengkap Ilmu Bumiputera".

Buktinya, YPM baru-baru ini telah berjaya menyediakan Anjung Ilmu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gemereh, Segamat yang bakal digunakan untuk membantu pelajar memperoleh kecemerlangan dalam bidang akademik serta melahirkan pelajar berilmu, berpengetahuan dan berkemahiran.

Pengurus Projek YPM Realties (YPMR), Zulkarnine Hashim berkata, Anjung Ilmu menyediakan pelbagai inisiatif seperti kelas bimbingan, makmal komputer dan mini perpustakaan bagi mendidik serta meningkatkan ilmu pengetahuan di kalangan murid supaya menjadi pelajar yang berjaya.

"Anjung Ilmu ini turut menyediakan kaedah pembelajaran menerusi e-blocks dalam usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

"Kaedah pembelajaran bercorak interaktif ini berupaya membantu pelajar untuk meningkatkan kefahaman dengan lebih mudah dan cepat," katanya pada Program Sirih Pulang ke Gagang di SK Gemereh, Segamat, Johor, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, sebanyak RM96,000 diperuntukkan bagi melaksanakan program Anjung Ilmu di SK Gemereh yang bermatlamat memberi kemudahan pembelajaran selain memupuk sikap membaca dan cintakan ilmu pengetahuan di kalangan murid.

"Program Anjung Ilmu ini merupakan program kali kedua yang dilancarkan oleh YPM selepas majlis pelancaran pertama dilaksanakan untuk rumah anak yatim di Sarawak bertempat di Kompleks Kebajikan Laila Taib.

"Pihak YPM akan membuka lebih banyak lagi Anjung Ilmu seperti ini yang akan difokuskan kepada sekolah luar bandar dan rumah anak yatim di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," jelasnya.

Program yang merupakan medan perpaduan itu diharap dapat dijadikan tempat untuk berkongsi pengalaman dan kejayaan agar menjadi perangsang dan motivasi kepada para pelajar untuk berusaha gigih mencapai kejayaan dalam bidang akademik serta bidang yang ingin diceburi.

Pada majlis sama, YPM turut menyampaikan bantuan kepada murid miskin serta sumbangan kepada pelajar cemerlang sekolah itu yang terbahagi kepada pra sekolah, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Ujian Penilaian Pencapaian Murid (UPPM).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: