Monday, July 11, 2011

Program Sinar Gemilang bentuk disiplin pelajar


Nordin Hassan (tali leher hitam) bergambar bersama pelajar pada majlis perasmian kempen Sinar Gemilang di SMK Putrajaya Presint 9(1), Putrajaya, baru-baru ini.


PROGRAM Sinar Gemilang yang diadakan selama tiga bulan dari Jun sehingga September depan bermatlamat untuk melahirkan pelajar yang bersahsiah, mempunyai disiplin tinggi dan menghormati guru.

Menurut Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Nordin Hasan, kempen ini juga bertujuan memartabatkan profesion keguruan demi mempertingkatkan semangat para guru dalam mendidik anak bangsa.

"Kempen ini amat penting dalam membuka ruang untuk memudahkan usaha mendidik pelajar untuk menjadi insan yang bukan sahaja berilmu malah mempunyai sahsiah yang luhur serta mempunyai perasaan hormat yang tinggi kepada guru sebagai pendidik mereka," katanya ketika berucap pada program itu di SMK Putrajaya Presint 9 (1), Putrajaya, baru-baru ini.

Pelbagai acara menarik telah disusun untuk mencapai objektif program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Putrajaya Presint 9 (1) dengan kerjasama Parlimen Putrajaya itu.

Pengisian program yang bertemakan "Guru dihormati, Ibu bapa disayangi" itu termasuklah sesi ceramah sahsiah dan motivasi; perjumpaan ibu bapa dan guru kelas pada Hari Muafakat Sekolah; lawatan ke Penjara Kajang dan rumah orang tua; teater muzikal dan banyak lagi.

Seterusnya kata Nordin, guru-guru memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk melahirkan modal insan yang cemerlang dan menjadikan proses mendidik murid lebih mudah.

"Tugas mendidik bukanlah tanggungjawab guru semata-mata, ibu bapa juga perlu sama-sama memantau aktiviti seharian anak-anak mereka," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Unit Pusat Korikulum Putrajaya, Mohd. Shah Kasbi berkata, kempen yang diadakan itu bakal mewujudkan iklim pembelajaran yang kondusif secara berterusan dengan sokongan PIBG, ibu bapa dan masyarakat setempat.

"Usaha murni yang proaktif seperti ini perlu disokong dalam menjana para pelajar supaya menganjak ke depan menjadi modal insan berkualiti dari segi ilmu, kemajuan akademik, keterampilan diri dan sahsiah serta akhlak sebagai para pemimpin masa hadapan," katanya yang mewakili Timbalan Pengarah Pejabat Pelajaran Putrajaya.

Tambahnya, diharapkan agar generasi muda hari ini akan terus memandang tinggi profesion keguruan dan menjadikan kerjaya ini sebagai pilihan mereka pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: