|
|
KUALA LUMPUR 20 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini melancarkan produk makanan haiwan, 'Monogastric Animal Feed' yang dapat membantu pembesaran ternakan secara konsisten.
Majlis pelancaran produk itu disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum di Dewan Besar UPM, Serdang dekat sini.
Pada sidang akhbar kemudiannya, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Ir Dr. Mohd. Saleh Jaafar berkata, pembesaran yong konsisten berlaku apabila bahan metabolit yang terkandung dalam produk tersebut dapat meningkatkan asid laktik dalam sistem pencernaan haiwan ternakan.
"Asid laktik penting bagi mengurangkan cirit-birit dan memperbaiki sistem pertahanan badan haiwan ternakan.
"Selain itu, metabolit juga berperanan memastikan organ penghadaman dan proses pembesaran berada dalam keadaan yang baik," katanya.
Majlis pelancaran produk berkenaan berlangsung sempena Pameran Reka Cipta, Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) Kesembilan UPM yang berakhir esok.
Pameran selama tiga hari itu disertai 570 pensyarah, felo penyelidik, pelajar program pasca doktoral dan siswazah serta pegawai penyelidik universiti tersebut.
Sementara itu, menurut Mohd. Saleh, 'Monogastric Animal Feed' boleh menggantikan penggunaan antibiotik yang biasa digunakan penternak untuk mempercepatkan pembesaran haiwan.
"Penggunaan antibiotik memberi risiko kepada haiwan ternakan antaranya meningkatkan kandungan kolestrol dalam darah.
"Oleh itu, kami di pihak UPM menyeru supaya pengilang makanan haiwan ternakan dan penternak menggunakan produk ini kerana ia dijamin berkualiti tinggi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: