Thursday, July 21, 2011

Bantu selamatkan yu dari pupus


Ikan yu yang ditangkap di perairan Semporna, Sabah untuk tujuan mendapatkan siripnya.


IKAN yu sebagai pemangsa tangga teratas mengekalkan keseimbangan dalam jaringan makanan di laut dan tanpanya jaringan itu akan terjejas.

Bagaimanapun, ikan yu, dengan siripnya yang mempunyai permintaan tinggi kerana dijadikan hidangan istimewa, semakin berkurangan.

Kekosongan yang berlaku dalam jaringan makanan akibat kepupusannya membantu spesies lain meningkat berkali ganda tanpa kawalan dan mengkucar-kacirkan ekosistem, termasuk menyingkirkan lebih banyak spesies dalam rantaian makanan.

Menangkap ikan yu secara berlebihan dan memotong siripnya yang bernilai tinggi, mengancam populasi yu.

Lagi pun, perbuatan memotong sirip yu adalah sangat kejam kerana selepas sirip yu dipotong, ikan itu dibuang semula ke laut untuk dibiarkan mati.

Malangnya, kebanyakan orang tidak bersimpati dengan nasib ikan yu. Sikap ini tidak mengejutkan kerana yu digambarkan sebagai ikan yang memakan manusia, gara-gara penampilan ikan yu sebagai pembunuh dalam filem-filem.

Sebenarnya yu bukan pembunuh, ia hanya menyerang apabila terancam.

Menangkap yu untuk mendapatkan sirip akan kekal sebagai perniagaan yang menguntungkan selagi sup sirip yu ataupun shark fin soup kekal dalam menu hidangan.

Sirip yu sebagai aktiviti ekonomi

Mendapatkan sirip yu adalah aktiviti sosio-ekonomi bagi masyarakat di Pulau Mabul, di luar pesisir Semporna dekat Tawau.

Semasa musim memburu yu peralatan untuk menangkapnya termasuk umpan khusus digunakan bagi tujuan itu.

Setiap bot boleh meraih antara lapan dan 10 ekor yu menggunakan mata kail.

Yu kecil yang beratnya kira-kira 10 kilogram, sementara yang besar boleh mencapai sehingga 60 kilogram dan panjang 1.5 meter.

Selepas ditangkap sirip yu ini dipotong dan bahagian lain dibuang kerana harga pasaran yang rendah (30 sen sekilogram).

Bagaimanapun, spesies dengan nilai pasaran yang baik akan dibawa pulang untuk dijual.

Sirip daripada setiap yu ini dijual dalam set empat keping - satu sirip dorsal, dua sirip pektoral, satu sirip kaudal, pada harga daripada RM130-RM150.

Yu membesar dan matang dengan perlahan-lahan, kata Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof. Dr. Ridzwan Abdul Rahman.

"Kemusnahan habitat, penangkapan ikan secara keterlaluan dan amalan penangkapan ikan yang tidak mapan termasuk penggunaan bom ikan, racun sianida dan memotong sirip yu kesemuanya menyumbang kepada tekanan terhadap kumpulan ikan ini," katanya.

Kerajaan Sabah beberapa bulan lalu mengisytiharkan komitmennya untuk melarang pemburuan yu di negeri itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: