Monday, July 25, 2011

Uniten tawan Gunung Besar Hantu




SERAMAI 40 pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) berjaya menawan Gunung Besar Hantu dalam satu ekspedisi di Jelebu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Ekspedisi Gunung Besar Hantu 2011 anjuran Kelab Kembara dan Rekreasi Uniten dengan kerjasama Pusat Sukan dan Pusat Kokurikulum Uniten itu melibatkan peserta lelaki dan wanita.

Pengarah program, Mohamad Fakhruddin Suparin berkata, program itu adalah sebahagian daripada aktiviti yang dianjurkan kelab sepanjang cuti semester.

"Program kali ini melibatkan seramai 40 pelajar yang mewakili jabatan serta fakulti yang berminat menyertai aktiviti sukan lasak.

"Kesemua peserta berjaya sampai ke ke puncak gunung itu selepas mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan," katanya.

Menurut Mohamad Fakhruddin, Gunung Besar Hantu ini amat dikenali sebagai salah satu gunung di Malaysia yang mempunyai pemandangan yang unik dan mempesonakan.

"Dari puncak gunung peserta dapat melihat Genting Highlands di bahagian kiri dan pemandangan bandar raya Kuala Lumpur di sebelah kanan puncak.

"Kejayaan tersebut dapat memberi semangat dan dorongan kepada pelajar Uniten dalam mempersiapkan diri dengan kemahiran disiplin yang tinggi.

Ia juga membuktikan pendaki Uniten setanding dengan universiti-universiti lain dalam aktiviti rekreasi.

"Pendakian ini antara yang paling mencabar dan ia memerlukan ketahanan fizikal serta mental yang amat tinggi sepanjang pendakian," jelasnya.

Kejayaan itu, ujarnya, merupakan hasil semangat kerjasama berpasukan dan komitmen yang tinggi semua pendaki tanpa mengira latar belakang peserta.

"Kejayaan ekspedisi ini juga hasil sokongan dan bantuan daripada semua yang terlibat dan pengalaman tiga hari dua malam ini sungguh menakjubkan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: