
Dalam hal ini, kita tidak boleh menafikan pembabitan artis kerana pengaruh mereka yang cukup besar dalam kalangan masyarakat.
Setiap tindak tanduk dan perbuatan artis sering kali dijadikan panduan untuk diikuti oleh peminat.
Penyanyi yang terkenal dengan imej berbaju kurung, Ana Raffali misalnya, tidak terkecuali menyertai beberapa aktiviti sosial.
Walaupun popularitinya Ana mencanak naik setelah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) ke 25, awal tahun ini, namun bukan alasan untuk dia melupakan tanggungjawabnya melakukan kebajikan.
Dalam program Sinar Kasih Ramadan yang dianjurkan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dengan kerjasama Sinar Harian dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Ana adalah artis yang memberikan sokongan.
Menurut Ana, secara peribadinya dia sudah lama berhasrat untuk terlibat dengan program yang menyeru ke arah kebaikan seperti ini.
“Mungkin ramai di antara kita yang masih belum mengetahui mengenai program ini walaupun sudah memasuki tahun keempat penganjurannya.
“Saya berharap penglibatan saya dapat membuka mata masyarakat untuk lebih peka dan seterusnya membantu golongan yang memerlukan,” katanya.
Melalui program tersebut, sumbangan kepada YBK akan digunakan untuk keperluan makanan bagi diagihkan kepada keluarga miskin terpilih sepanjang Ramadan.
Sumbangan boleh disampaikan melalui cek di atas nama ‘Yayasan Basmi Kemiskinan’ ditulis di belakang cek ‘Program Sinar Kasih Ramadan 1432H/2011M’ atau melalui tabung yang diletakkan di restoran makanan India Muslim di seluruh Semenanjung.
Selain Sinar Kasih Ramadhan, Ana sebelum ini terlebih dahulu turut terlibat dalam kempen membaca bertemakan ‘Baca Selalu, Sayang Buku’ di Sekolah Kebangsaan Seksyen 2, Bandar Kinrara, Selangor.
Dalam program tersebut, Ana turut menyumbangkan beberapa buah buku dan mengadakan sesi bercerita bersama murid-murid sekolah berkenaan.
Menurut platun lagu Tolong Ingatkan Aku ini, menjadi hasratnya untuk memupuk amalan budaya membaca dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
“Saya memang suka membaca kerana dengan amalan ini kita akan memperoleh pelbagai ilmu berguna yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
“Saya berharap sumbangan saya yang sedikit ini dapat menarik minat pelajar untuk membaca dan menyayangi buku,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: