Jika sebelum ini, ramai yang memperkatakan mengenai kejelitaan Fazura dan Fauziah Gous yang anggun mengenakan tudung dalam lakonan mereka.
Terkini, pelakon muda Tasha Shilla juga mendapat respons yang baik apabila wajah ayunya ketika mengenakan tudung untuk drama terbarunya menerima pujian ramai pihak.
Masih rancak dengan penggambaran drama Ramadhan Terakhir, Tasya Shilla atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abd Razak berterima kasih kepada pengarah drama tersebut iaitu Ungku Ismail kerana memberi kepercayaan untuknya membawakan watak sebagai Sakinah.
“Sebelum ini, orang nampak saya dari sisi yang jahat. Membawakan watak-watak antagonis untuk drama lakonan saya sebelum ini, membuatkan ramai yang kurang yakin dengan kemampuan saya.
“Untuk Ramadhan Terakhir ini, saya beruntung kerana dapat juga memperlihatkan sisi baik dalam diri saya kepada umum.
“Sebagai pelakon, memang saya tak pernah memilih, cuma, ramai yang nampak saya boleh bawa satu watak sahaja. Kali ini, ia benar-benar berbeza.
“Saya tidak disolekkan tebal seperti sebelum ini. drama ini benar-benar menguji kemampuan saya sebagai pelakon,” katanya yang mula melibatkan diri dalam bidang seni seawal usia 17 tahun.
Tak makan pujian
Pertama kali muncul sebagai pelakon menerusi filem Ratu The Movie, Tasha Shilla terus diasak dengan pujian dek lakonan berkesan dalam setiap lakonannya.
Setiap drama lakonannya memberikan kesan terhadap penonton. Sering kali diberikan watak antagonis, ternyata Tasha Shilla tidak pernah mengecewakan. Drama-drama seperti Dottie dan Sahara membuatkan penonton begitu geram kepadanya.
Pun begitu, dia dipuji kerana berjaya dalam wataknya dan membuatkan namanya terus melonjak. Mengakui menerima pujian, Tasha tidak pernah berasa begitu selesa malah akan terus berusaha memantapkan dirinya dalam bidang seni ini.
“Setiap pujian yang saya terima, saya anggap sebagai pembakar semangat untuk saya terus berjaya.
“Masih banyak lagi yang perlu saya belajar dan saya juga sedang menimba pengalaman daripada rakan-rakan pelakon senior. Terima kasih kepada mereka yang memberi kata puji,” katanya.
Mengakui tidak mahu mendabik dada, Tasha ternyata berusaha untuk menjadi yang lebih baik.
Ibu pengkritik utama
Sejak dahulu lagi Tasha seorang yang suka mengkritik lakonan orang lain. Kritikan yang dianggap bukan untuk menjatuhkan tetapi sekadar pandangan daripada seorang peminat.
Namun kini apabila dia sendiri sudah bergelar anak seni, dia juga mengakui berdepan perkara yang sama.
“Saya suka tengok pelakon yang benar-benar menjiwai setiap watak yang diberikan. Pernah juga saya memberi komen kepada artis yang sekadar memperlihatkan wajah yang cantik dan kacak tetapi tak nampak aura sebagai pelakon.
“Jadi sekarang, saya tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada saya. Ibu saya antara orang yang paling rapat dengan saya. dia juga antaera pengkritik nombor satu saya.
“Ada kalanya ibu akan mengikut saya ke lokasi dan akan memberitahu apa yang tak kena pada lakonan saya. Inilah cara saya memperbaiki kelemahan diri saya”.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: