Tuesday, July 26, 2011

'Saya Cemerlang' bersama KUIS


Tiga kumpulan terbaik bergambar dengan para fasilitator program Saya Cemerlang', di Rawang, Selangor baru-baru ini.


ANAK adalah amanah Allah kepada setiap ibu bapa. Sebab itu, Islam memerintahkan anak-anak diberi pendidikan yang sempurna lebih-lebih lagi berkaitan hal keagamaan.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna kita perlu melupakan terus hal berkaitan mencari kenikmatan hidup di dunia.

Anak yang berjaya dalam akademik sentiasa menjadi idaman ibu bapa. Namun, lebih manis lagi kejayaan itu diiringi dengan kefahaman agama. Barulah lengkap dikatakan insan mukmin yang berilmu.

Menyedari hakikat itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama (SRA) Ibnu Khaldun Rawang, Selangor menganjurkan program Saya Cemerlang pada 10 Julai lalu.

Kursus dua hari itu disertai oleh 130 pelajar. Ia adalah usahasama dengan para pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) sebagai fasilitator.

Bagi memudahkan pemahaman dan melicinkan program, para peserta dibahagikan kepada 17 kumpulan di mana setiap kumpulan dibimbing oleh seorang fasilitator.

Selain mengikuti kelas teori, peserta turut diberi pendedahan dan peluang mengemukakan pandangan serta berinteraksi antara satu sama lain di dalam Latihan Dalam Kumpulan (LDK).

Ternyata program dua hari itu berjaya mencapai matlamatnya memberi kesedaran kepada para peserta berusaha keras untuk menjadi insan cemerlang.

Paling menyentuh perasaan adalah sesi bersama ibu bapa di mana para peserta diminta mengimbas semula perlakuan-perlakuan yang dilakukan selama ini.

Majoriti peserta dan ibu bapa mengalirkan air mata apabila anak masing-masing menyedari kesilapan yang dilakukan selama ini dan meminta maaf.

Selain itu, para peserta juga mengikuti program qiamullail dalam usaha meningkatkan ketahanan diri dan mendekatkan diri kepada Allah.

Sementara itu, dalam ucapan penutupan program, Ketua Jabatan Usuluddin, Akademi Islam KUIS, Abu Zaki Ismail berkata, anak-anak perlu diberi didikan yang sempurna terutama dalam aspek agama.

Sebabnya, kata beliau, kealiman dan keimanan ibu bapa tidak boleh diwarisi oleh anak-anak jika mereka tidak didedah dan dididik menjadi insan yang beriman dan bertakwa.

"Saya mengucapkan tahniah kepada urusetia atas kejayaan menganjurkan program yang julung kali melibatkan para pelajar KUIS.

"Terima kasih juga kepada ibu bapa yang bersedia menyerahkan anak-anak mereka untuk dipinjamkan kepada anak murid saya sepanjang dua hari satu malam ini," katanya.

Pengerusi PIBG SRA Ibn Khaldun, Abdul Rahman Zahri berkata, program itu diadakan sebagai salah satu persediaan menghadapi Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pada September ini.

Beliau turut berterima kasih kepada ibu bapa yang memberi sokongan sekali gus membolehkan program Saya Cemerlang diadakan dengan jayanya.

"Kepada anak-anak, kalau mahu ibu bapa gembira hendaklah mendapat pencapaian akademik yang baik," katanya.

Majlis penutup itu turut dihadiri kira-kira 100 ibu bapa. Turut hadir, wakil guru SRA Ibn Khaldun, Hanidah Baharuddin dan Pengarah Projek, Muhamad Adam Mustafa.

Pada majlis yang sama, Abu Zaki turut menyampaikan hadiah kepada tiga kumpulan yang mencatat pencapaian terbaik sepanjang program itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: