BERSAMA-SAMA...ahli kelab 3G bersama 3G Hawa sebelum memulakan aktiviti berbasikal.
STATUS isteri tidak menghalang sekumpulan ibu muda membabitkan diri dalam aktiviti lasak berbasikal yang biasanya dikaitkan dengan lelaki.
Kumpulan ini pada mulanya hanya menjadi pemerhati dan penyokong kepada suami masing-masing setiap kali pasangan mereka menyertai aktiviti berbasikal.
Bagaimanapun ia tidak bertahan lama kerana mereka turut teruja dengan aktiviti yang bukan saja mencabar, tetapi menyeronokkan.
Dua tahun lalu, lapan wanita ini hanya menemani suami mereka yang menjadi ahli kelab Geng Gerek Gunung (3G), Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Namun apabila minat sudah bercambah dalam hati, mereka meminta pasangan masing-masing membelikan sebuah basikal supaya boleh bersama-sama menyertai aktiviti yang dianjurkan dan dengan itu tertubuhlah pasukan 3G Hawa.
Sejak itu, 3G Hawa tidak menoleh ke belakang. Aktiviti berbasikal meredah bukit atau sekadar menyusuri jalan raya dijadikan aktiviti mingguan bagi mengisi masa lapang.
Norafidah Adnan, 34, berkata dengan menyertai aktiviti sedemikian ia membentuk disiplin dan keyakinan diri yang kuat selain mengeratkan silaturahim bersama rakan. Malah, ia juga mampu meningkatkan ikatan kasih sayang dan persefahaman kerana dilakukan bersama pasangan masing-masing.
Dia yang berkerja sebagai ahli farmasi di sebuah farmasi swasta berkata, dengan menyertai aktiviti sedemikian dapat membentuk sikap bekerjasama serta semangat berpasukan.
Kata ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara tiga hingga lapan tahun itu, sepanjang lebih dua tahun menyertai aktiviti berbasikal setiap hujung minggu, ia memberi pengetahuan dan kemahiran untuk mendaki bukit, menuruni curam dan pelbagai lagi teknik yang mencabar.
“Walaupun kami sibuk dengan urusan rumah tangga, kami sempat juga meluangkan masa kira-kira lima jam untuk berbasikal bersama suami dan rakan-rakan setiap hujung minggu.
“Semua ini dilakukan selepas menguruskan rumah dan pada waktu petang kami akan berkumpul sebelum berkonvoi ke tempat yang ingin dituju,” katanya yang pernah tercedera di muka, tetapi perkara itu tidak menghalangnya terus melakukan aktiviti berbasikal.
Bagi Hafezah Harun, 34, dia berasa lebih yakin selepas menyertai aktiviti lasak berkenaan.
Beliau yang pernah menyertai beberapa pertandingan berbasikal berkata, aktiviti sedemikian bukan saja memerlukan kekuatan fizikal dan mental, tetapi juga kemahiran dan kesabaran terutama ketika melalui kawasan yang mencabar.
“Sukan berbasikal sememangnya memenatkan dan memerlukan stamina yang tinggi, tetapi di sebaliknya ia mengajar kita supaya tabah dalam menghadapi cabaran.
“Walaupun kami semua wanita, tetapi kami tiada masalah menyertai aktiviti ini kerana ia turut membabitkan suami masing-masing yang banyak mengajar serta membantu,” kata pengurus operasi syarikat swasta ini.
Seorang lagi ahli kelab, Norfariza Haryanie Ismail, 30, berkata penyertaan wanita dalam aktiviti lasak sudah menjadi kebiasaan dan ia diterima oleh masyarakat.
Kerani pejabat ini berkata, walaupun ada golongan yang masih beranggapan aktiviti itu tidak sesuai untuk wanita, tetapi kebanyakan orang menganggapnya sebagai aktiviti berfaedah apatah lagi apabila ia dilakukan bersama suami. Malah, ia boleh memberi rangsangan kepada ahli keluarga lain dan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup aktif.
“Selain mengisi masa lapang dengan kegiatan berfaedah, menyertai aktiviti itu memberi peluang kepada kami menimba pengalaman baru selain menghabiskan masa dengan suami serta rakan,” katanya yang lebih enam bulan menyertai kelab 3G Hawa
Presiden 3G, Zuraidy Shamsuddin, 35, berkata pada awalnya kelab yang ditubuhkan awal 2008 hanya dianggotai kaum Adam sebelum segelintir isteri ahli kelab menyertainya.
Kini ahli kelab berjumlah 53 orang termasuk lapan wanita dan kebanyakannya tinggal di sekitar daerah Seberang Perai Selatan.
“Kami memang mengalu-alukan pembabitan wanita yang merupakan isteri ahli kelab kerana sebelum ini mereka hanya menjadi pemerhati saja.
“Aktiviti berbasikal untuk ahli wanita biasanya diadakan di Batu Kawan dengan meredah bukit serta hutan di sekitar Batu Musang.
“Malah, kelab 3G juga sudah banyak kali menyertai pertandingan serta aktiviti luar yang turut membabitkan ahli wanita,” kata Zuraidy yang kini turut menubuhkan kelab 3G Kids untuk anak-anak ahli.
Untuk keterangan lanjut mengenai kelab ini bolehlah melayari www.gerekbasikal.blogspot.com.
PROFIL
NAMA: Hafezah Harun.
UMUR: 34 tahun.
SUAMI: Jokarnian Marican Tafii Marican, 36
ANAK: Dua orang berusia tiga dan enam tahun.
KERJAYA: Ketua operasi syarikat swasta.
PEMBABITAN:
keseluruhan Tempat ke-6 dari 100 penyertaan kategori wanita terbuka
PROFIL
NAMA: Norfariza Haryanie Ismail.
UMUR: 30 tahun.
SUAMI: Irwan Ismail, 30
ANAK: Seorang berusia empat tahun.
KERJAYA: Pembantu Peribadi.
PEMBABITAN: Program Jom Kayuh Jelajay Sungai Acheh
PROFIL
NAMA: Norafidah Adnan.
UMUR: 34 tahun.
SUAMI: Zuraidy Shamsuddin, 35
ANAK: Tiga orang berusia antara tiga dan lapan tahun.
KERJAYA: Ahli Farmasi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: