Saturday, July 23, 2011

Rumah gadis Bond diceroboh


HALLE Berry terpaksa mendapatkan perintah larangan daripada mahkamah bagi menghalang seorang lelaki daripada menghampirinya atau kediamannya demi menjamin keselamatan dirinya dan anak perempuannya.


GOLONGAN selebriti sering berkata ‘tanpa peminat, siapalah saya’. Ungkapan yang sentiasa bermain di bibir golongan tersebut selalu menjadi momokan sehinggakan ia menjadi begitu klise. Bagi kebanyakan artis, selagi mempunyai peminat, selagi itulah mereka akan hidup penuh glamor.

Namun bukan semua artis begitu. Masih ada artis yang berpijak di bumi nyata. Bagi segelintir artis ini, walaupun mereka dipuja setengah mati, kehidupan mereka adalah hak peribadi mereka. Yang ingin dipuja bukan diri mereka tetapi cukup sekadar menghargai bakat mereka.

Maka itu, adalah sesuatu yang cukup dikhuatiri oleh pelakon atau penyanyi sekiranya kehidupan mereka sekeluarga menjadi ancaman peminat fanatik. Namun itulah yang dialami oleh pelakon terkenal Hollywood, Halle Berry apabila kediamannya di Beverly Hills dicerobohi oleh seorang lelaki baru-baru ini.

Bukan sekali kediaman pelakon berusia 44 tahun itu yang tinggal bersama anak perempuannya, Nahla, 3, diceroboh, malahan sebanyak tiga kali! Kejadian itu berlaku berturut-turut dari Sabtu hingga Isnin.

Nasib baik lelaki tersebut berjaya ditangkap pada malam 11 Julai lalu. Penceroboh terbabit kemudiannya dikenali sebagai Richard A. Franco, berusia 27 tahun.

Bagi memastikan keselamatan dirinya sekeluarga terjamin, Berry telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah menghalang Franco daripada menghampirinya.

Ketika dibawa ke mahkamah pada 13 Julai lalu, dua hari selepas ditangkap, Franco menafikan tuduhan menghendap kehidupan artis yang pernah menjadi gadis Bond dalam filem Die Another Day itu.

Hakim Carol Goodson dari Mahkamah Atasan Los Angeles pula mengeluarkan perintah agar Franco menjauhkan diri kira-kira 90 meter daripada Berry dan kediaman artis itu selama tiga tahun. Franco yang mempunyai rekod lampau membabitkan keganasan, mencuri dan kesalahan dadah turut dikenakan jaminan AS$150,000 (RM450,000).

Bagaimanapun TMZ.com melaporkan bahawa perlindungan yang sama tidak dikenakan terhadap anak perempuan pelakon itu kerana Nahla dikatakan bukan mangsa dalam kes tersebut.

Namun kanak-kanak kecil itu sebenarnya telah pun dilindungi melalui perintah larangan sementara terhadap Franco yang telah dikeluarkan oleh seorang hakim mahkamah sivil.

Dalam dokumen bersumpah yang diserahkan kepada mahkamah, Berry yang merupakan satu-satunya pemenang Oscar pelakon wanita terbaik dalam kalangan pelakon kulit hitam itu menyatakan, Franco bukan sahaja membahayakan keselamatan dirinya tetapi juga keselamatan dan kesejahteraan keluarganya.

“Lelaki ini telah melanggar asas keselamatan keluarga yang dimiliki oleh saya dan saya terlalu takut terhadapnya dan sebarang tindakan yang boleh dilakukannya ke atas saya atau insan-insan yang saya sayangi,” kata Berry.

Berdasarkan dokumen mahkamah itu, Berry turut memperincikan tiga kejadian pencerobohan berkenaan. Kejadian pertama berlaku pada 9 Julai lalu sewaktu dia berada di ruang dapur kediamannya. Dia yang bersama pengurusnya pada waktu itu, ternampak Franco di pagar laman belakang rumahnya.

Berry terus menjerit manakala pengurusnya bertindak keluar menemui lelaki itu yang bertanyakan tentang seseorang bernama Santiago. Berry sebaliknya menyatakan dia tidak mengenali sesiapa pun dengan nama tersebut dan “berasa sangat bahaya pada saat itu”.

Menerusi peralatan keselamatan di kediamannya, Berry dan pengurusnya kemudian melihat lelaki itu memanjat pagar kediamannya dan beredar.

Franco kembali semula pada pukul 5 petang keesokan harinya. Berry menyatakan dia ketika itu hendak keluar ke garajnya dan meninggalkan kunci di daun pintu seperti yang biasa dilakukannya. Selepas 10 minit, dia kembali semula ke ruang dapurnya untuk mengambil minuman.

“Alih-alih saya seperti berasa seseorang berada di belakang saya dan apabila saya memusingkan badan, saya melihat penceroboh yang sama berdiri di belakang saya, merenung tajam ke arah saya menembusi pintu kaca ruang dapur.

“Panik dan takut dengan keadaan itu, saya segera menekan tombol kunci pada pintu tersebut. Saya sempat mengambil telefon dan lari ke tingkat atas lalu mengunci pintu sebelum menghubungi talian 911,” katanya.

Ekoran kejadian itu, Berry mengupah pasukan keselamatan bersenjata untuk mengawal kediamannya 24 jam sehari.

Kejadian ketiga pula berlaku kira-kira pukul 10 malam, 11 Julai lalu ketika Berry bersama anak perempuannya. Tiba-tiba pasukan keselamatan itu memintanya membawa anaknya bersembunyi di tempat yang selamat secepat mungkin. Beberapa minit kemudian Franco berjaya diberkas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: