Thursday, July 21, 2011

Rai Merdeka tanda bersyukur


ORANG ramai digalakkan menghias kediaman sempena sambutan Bulan Kemerdekaan sebagai tanda menghargai nikmat merdeka yang dikecapi selama ini.


TAHUN ini merupakan kali kedua program keceriaan sempena bulan kemerdekaan dianjurkan bagi menyemarakkan kesedaran dan semangat cintakan negara.

Namun program ini tidak akan memberi apa-apa makna jika ia tidak mendapat sambutan daripada rakyat berbilang kaum di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Ibrahim Abdul Rahman berkata, ekoran kejayaan pada tahun lalu, pihaknya meneruskan lagi program itu dengan harapan mendapat penyertaan yang lebih banyak selain mampu memangkin semangat kemerdekaan dalam diri setiap individu di negara ini.

"Oleh kerana tahun ini bulan kemerdekaan jatuh pada bulan Ramadhan, maka saya berharap pertandingan ini akan diadakan secara seimbang tetapi tetap meriah.

"Orang ramai mungkin boleh menghias lampu pelita pada malam tujuh likur dengan bendera merdeka atau menghias rumah masing-masing dengan motif yang mempunyai unsur patriotik apabila menjelang 1 Syawal nanti," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia Bahagian Wilayah Persekutuan, Datuk Muslim Yusof berkata, masyarakat wajar menyambut hari kemerdekaan sebagai tanda syukur dapat berada di bumi yang bertuah ini secara bebas.

"Tanggungjawab menjaga keharmonian negara adalah tugas semua pihak termasuk generasi muda.

"Sikap tidak mengendahkan dan lepas tangan mengenai pentingnya keselamatan negara adalah satu tindakan yang cukup mengecewakan.

"Saya sebagai generasi yang hidup di zaman penjajahan, melihat sendiri betapa sukarnya wira-wira terdahulu berusaha mendapat kemerdekaan untuk dinikmati oleh mereka yang ada pada hari ini.

"Jadi, saya berasa sedih sekiranya hari kemerdekaan hanya dipandang sepi tanpa penghayatan yang sebenar," katanya.

Dalam nada yang sama, wakil dari Malaysian Hindu Sangam Bahagian Wilayah persekutuan, Chandran Perisamy berkata, beliau cukup kagum dengan usaha kerajaan dalam menyemarakkan sambutan kemerdekaan walaupun menyedari tarikh itu jatuh pada bulan puasa bagi masyarakat beragama Islam.

"Usaha kerajaan itu membuktikan bahawa bangsa lain seperti India, Cina, Sikh dan lain-lain tidak dilupakan.

"Bagaimanapun, kami gembira sekiranya sambutan kemerdekaan tahun ini diadakan dalam situasi yang sederhana bagi menghormati rakan-rakan yang beragama Islam.

"Saya juga berharap selepas ini kita akan lebih sensitiviti dengan bangsa lain sebagai tanda menghormati.

"Misalnya, minuman keras seperti arak dan daging babi khususnya adalah dilarang menjadi hidangan sekiranya terdapat jemputan berbangsa Melayu.

"Begitu juga hidangan daging lembu tidak sesuai dihidang kepada kami yang berbangsa India," katanya.

Manakala, berbeza pula pandangan daripada tiga pelajar kolej swasta, Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) ini dalam menilai makna kemerdekaan.

Alvin Teoh,18, berkata, program keceriaan ini dilihat sebagai satu perspektif baru bagi seluruh masyarakat negara ini mengekspresikan rasa cinta terhadap tanah air.

"Dahulu saya tidak begitu menghayati erti kemerdekaan dan melihat hari tersebut serupa dengan hari-hari yang lain.

"Tetapi setelah mempelajari subjek sejarah di sekolah, sedikit sebanyak ia mengubah tanggapan tersebut dengan menghargai hari ini.

"Selain itu, program ini juga boleh dijadikan batu loncatan kepada mereka yang berbangsa Melayu untuk merebut ganjaran yang ditawarkan.

"Sekiranya mereka memenangi pertandingan ini, ganjaran wang tunai itu boleh dijadikan wang persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri kelak," selorohnya.

Remaja yang berasal dari Ipoh, Perak ini, Prem Naidu,19, berpendapat, masyarakat boleh menyambut hari kemerdekaan tahun ini dengan sederhana tetapi unik.

Jelasnya, terdapat segelintir orang kampung di daerah Kuala Kangsar menyalakan panjut (lampu minyak tanah) apabila tiba bulan Ramadhan.

"Mereka boleh adaptasikan idea tersebut dengan mencipta semula tiang lampu tersebut dengan hiasan bendera bagi membangkitkan semangat kemerdekaan," katanya.

Maka, makna kemerdekaan itu sendiri adalah berbeza-beza. Pemahaman generasi lama dan baru sudah tidak lagi sama dan perlu ditafsir dari sudut serta dimensi yang berbeza.

Apa sekalipun, matlamat dan pelaksanaannya mestilah menjurus kepada penyemaian semangat mempertahankan kemerdekaan yang bebas daripada elemen yang menghasut dan memisahkan.

Ini mungkin sesuatu yang terlalu bercita-cita tinggi kerana apa yang mungkin masih gagal tetapi tidak mustahil untuk dicapai oleh semua pihak adalah penyatuan semua bangsa Malaysia dalam erti kata sebenar selepas 54 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: