Thursday, July 21, 2011

Ceriakan Ogos, raikan merdeka


Semangat cintakan negara dan menghargai kemerdekaan perlu disemai dari peringkat kanak-kanak.


MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! Itulah laungan keramat Bapa kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos, 54 tahun lalu di Dataran Merdeka. Ia menandakan negara ini bebas dariapda belenggu penjajahan.

Peristiwa itu tersimpan rapi menjadi sejarah yang cukup penting bagi setiap individu yang berbangsa Malaysia. Ini terbukti kerana sebulan sebelum tanggal 31 Ogos, seluruh Tanah Melayu termasuk Sabah dan Sarawak akan membuat pelbagai persiapan bagi menyambut hari tersebut.

Pihak kerajaan sentiasa merancang pelbagai agenda bagi mengimbau kembali sejarah tersebut supaya ia tidak terus ditelan zaman, sekali gus melenyapkan perjuangan wira-wira negara terdahulu dalam membebaskan negara dari takluk penjajah.

Ini kerana semangat patriotisme dan nasionalisme dalam diri generasi masa kini sudah tidak begitu terasa.

Baik di kalangan orang ramai, sektor awam mahu pun swasta, inisiatif mahu mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara kelihatan tidak begitu bersemarak.

Sehubungan den gan itu, Jabatan Penerangan Malaysia telah melancarkan program keceriaan sempena bulan kemerdekaan sebagai langkah meningkatkan semangat kemerdekaan di kalangan masyarakat negara ini.

Program tersebut telah dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf di Anjung Komuniti 1Malaysia AU3, Setiawangsa pada 16 Julai lalu.

Program yang berbentuk pertandingan itu akan mula diadakan dari tarikh ia dilancarkan hingga 31 Ogos 2011 bertujuan menggalakkan cetusan kreativiti di kalangan masyarakat selain usaha mewujudkan suasana ceria sempena hari kemerdekaan pada tahun ini.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya adakah sambutan kemerdekaan itu sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau menyanyikan lagu berunsurkan patriotik semata-mata?

Sudah semestinya, kemerdekaan adalah sesuatu yang jauh lebih besar dan bermakna daripada itu.

Sekiranya tindakan seperti mengibarkan bendera dan memutarkan lagu serta menonton program berunsurkan patriotik boleh menyuntik perasaan cintakan negara, mengapa tidak diperhebatkan sehingga menjadi satu budaya?

Usaha yang mungkin kelihatan kecil dan remeh ini sebenarnya jika dihayati dengan betul, ia mempunyai pengaruh serta kesan yang sangat besar pada setiap diri individu itu.

Sejajar dengan itu, program ini merupakan salah satu usaha pihak kerajaan dalam membangkitkan semangat patriotik selain memberi peluang kepada mereka yang kreatif sehingga mampu menarik perhatian para panel untuk memenangi hadiah berupa wang tunai.

Ganjaran tersebut bersifat sebagai saguhati kepada mereka yang betul-betul berusaha dalam memberi nilai tambah melalui pengibaran Jalur gemilang di bangunan, kawasan dan premis masing-masing.

Kamaruddin turut menyatakan program itu diadakan untuk melihat kesedaran rakyat Malaysia dalam usaha menghayati kemerdekaan negara dengan mengibarkan Jalur gemilang secara sukarela tanpa tujuan sebaliknya.

Jelasnya, keunikan negara ini adalah terletak pada perbezaan budaya dan agama serta bahasa menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbeza berbanding negara-negara lain.

Tambahan pula dengan kemampuan Malaysia yang mampu mengekalkan keharmonian di kalangan semua kaum cukup dikagumi dan dicemburui oleh pihak luar.

"Oleh yang demikian, sebagai tanda kita menghayati semangat kemerdekaan, kibarkanlah Jalur Gemilang di mana-mana sahaja, tidak kira di pejabat, rumah, premis perniagaan, sekolah dan kenderaan.

"Masyarakat Malaysia harus menyedari bahawa Jalur Gemilang bukanlah sekadar sehelai kain berwarna dan bercorak yang dinamakan bendera, tetapi ia merupakan lambang perpaduan dan simbol kedaulatan negara.

"Dengan itu, kita wajar untuk menghormati Jalur Gemilang selain memahami simbolik pada setiap corak dan jalurnya.

"Ia adalah tentang pengorbanan tenaga, darah dan air mata yang merentasi usaha perjuangan dalam tempoh yang terlalu panjang.

"Tetapi pengorbanan seperti itu tidak dilalui oleh sebahagian besar daripada kita yang merupakan generasi selepas merdeka," kata Kamaruddin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: