Saturday, July 2, 2011

Rahsia Iskandar


ZAKARIA menunjukkan sebilah pedang dan beberapa barangan curi lain yang dirampas daripada empat lelaki pada sidang akhbar di Sentul, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Tembelang sekumpulan empat penjenayah bergelar Geng Iskandar termasuk ketuanya yang menjadikan sebuah kondominium di Jalan Ipoh di sini untuk menyimpan kereta dan barang curi sejak setahun lalu terbongkar apabila diserbu pada 23 Jun lalu.

Ketika empat suspek berusia di antara 21 dan 37 tahun termasuk seorang wanita yang merupakan kekasih ketuanya ditahan pada pukul 8.30 malam, polis mendapati ruang tamu kondominium tersebut dipenuhi dengan parang, pedang, barang elektrik dan barang kemas curi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, selain itu, pihaknya turut merampas kereta dan kenderaan curi jenis Nissan Sentra, Nissan Latio, Nissan Silvia, Nissan X-trail, Toyota Estima, Proton Perdana dan Exora yang kesemuanya bernilai RM2 juta.

Katanya, polis turut merampas dua buah motosikal jenis Yamaha Nouvo dan Ducati 900. Kesemua kenderaan itu dicuri sejak beberapa bulan lalu.

“Modus operandi kumpulan ini ialah akan memecah masuk rumah mangsa dan melarikan barang elektrik termasuk kenderaan.

“Mereka kemudian akan mencuri cukai jalan kereta yang sama jenis untuk ditampal pada kereta curi untuk digunakan bagi melakukan jenayah,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: