BAGAIKAN satu magis buat Holly Grabarek apabila namanya diumumkan sebagai juara pencarian VJ MTV yang diumumkan pada majlis World Stage Live yang berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan Ogos tahun lalu.
Holly,21, menganggap kejayaannya menumpaskan 20 finalis lain dari seluruh dunia yang bersaing bersamanya ketika itu adalah satu cabaran untuk menjadi hos yang lebih baik.
Teruja, gembira dan cemas digaul sebati menjadi rempah melengkapkan penampilannya sebagai jurumudi atau VJ MTV terkini bagi rancangan berkonsepkan muzik video yang serasi dengan golongan remaja itu.
“Sememangnya perasaan gemuruh, gugup dan gementar sentiasa dirasai apatah lagi terpaksa berdepan dengan bilangan penonton yang ramai.
“Kaedah terbaik adalah membiasakan diri dengan skala yang lebih kecil misalnya 5,000 orang dan yakin pada diri sendiri,” bicara gadis kacukan Ireland, Jerman dan Cina itu pada pertemuan dengannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Katanya, sejak kali terakhir bertemu audiens dalam jumlah yang ramai pada bulan Ogos tahun lalu, Holly sentiasa belajar daripada pengalaman VJ MTV terdahulu umpamanya Denise Keller, Sonia Couling dan pasangan yang sentiasa bergandingan dengannya ketika ini, VJ Utt dari Thailand.
Gandingan serasi
Pasangan yang sama juga akan bergandingan dengan Holly pada 24 Julai ini di i-City, Shah Alam dalam rancangan secara langsung MTV World Stage Live in Kuala Lumpur.
Menurutnya, rakan hosnya itu merupakan sumber inspirasi dan motivasi utamanya ketika mengendalikan rancangan tersebut di depan lensa kamera.
“Mujur adanya Utt yang sentiasa memberi galakan dan dorongan kepada saya. Nasihatnya, proses belajar dari semasa ke semasa amat penting kerana semakin kerap saya berlatih, lebih bagus kualiti yang akan dihasilkan,” tuturnya yang mengakui kehebatan Utt.
|
|
Jelasnya lagi, hubungan yang serasi sesama pasangan hos memberikan jaminan sesebuah program berjalan lebih relaks, santai dan bersifat semula jadi.
Tatkala ditebak dengan pertanyaan mengenai perbandingan yang mungkin timbul antaranya dan VJ MTV terdahulu, Holly menjawab kayu ukur sebenar terletak dalam naluri dirinya.
“Saya tidak fikir untuk membandingkan diri sendiri dengan VJ MTV sebelum ini, ia sebenarnya lebih bersifat peribadi.
“Jika perkara yang saya lakukan membuatkan saya ketawa, gembira, tenang dan ceria melakukannya, itu sudah cukup untuk melabelkan sejauh mana tahap saya dalam bidang ini,” terangnya lagi.
Psikologi ke MTV
Sebagai penuntut jurusan Psikologi, tugasnya mengendalikan rancangan yang berskala besar seperti MTV ibarat berada di persimpangan antara peluang dan risiko.
“Pernah saya merasakan tidak akan ada masa untuk mengulang kaji pelajaran akibat terlalu sibuk dengan penggambaran dan kerja yang akhirnya menyebabkan saya penat, tapi peluang ini tidak akan datang berulang kali jika saya melakukannya sambil lewa,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang ahli arkeologi atau peguam.
Dalam pada itu, kehidupan bergelar seorang figura yang dikenali ramai sedikit sebanyak mengajarnya berdikari dan membuat keputusan.
“Saya tetap perlu melakukan tugasan sebagai seorang pelajar, menghadiri kuliah dan berkerja. Jadi, saya harus memberikan komitmen dan prioriti dalam masa yang sama,” ceritanya lanjut.
Berbicara soal kehidupan sosial setelah bergelar seorang VJ MTV, Holly menegaskan kebanyakan individu yang berada di sekelilingnya masih merupakan insan yang sama.
|
|
“Saya lebih gemar menghabiskan masa terluang bersama dengan kawan-kawan yang sama sebelum saya bergelar seorang VJ.
“Cuma sekarang saya akan berjumpa lebih ramai kenalan baru dan kadangkala ada juga peminat yang menegur saya ketika berada di luar,” ceritanya tanpa lokek mengukir senyum.
Diversiti stail dan muzik
Tidak mengehadkan minat dalam berfesyen dan muzik, Holly yang juga memiliki band sendiri yang diberi nama SunnyCloud malah turut menjadikan Shirley Manson sebagai idolanya dalam industri muzik.
“Meluangkan masa bersama dengan band saya yang kesemuanya adalah lelaki merupakan kaedah terbaik untuk saya berhibur dalam kadar yang sangat menjimatkan. Selain itu, kami juga dapat menenangkan fikiran bersama dengan memainkan lagu-lagu kesukaan kami.
“Biasanya kami gemarkan lagu-lagu nyanyian Shirley Manson daripada band Garbage kerana lirik dan iramanya yang sangat menyuntik inspirasi, kadangkala saya tertanya-tanya bagaimana dia mampu menghasilkan lirik yang begitu bermotivasi dan positif,” ungkapnya yang sejak kecil menetap di Singapura sedangkan kedua-dua ibu bapanya pula kini menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Dari aspek fesyen pula, Holly lebih gemar melayari internet terutama laman web www.looklook.nu untuk meninjau perkembangan fesyen terkini.
“Saya tidak suka fesyen selebriti yang selalunya mahal dan sukar diperoleh, biasanya hanya berpandukan fesyen semasa yang dipakai oleh orang ramai sudah memadai buat saya melengkapkan koleksi pakaian dan pada masa yang sama tetap kelihatan menawan,” ujarnya yang turut bercita-cita menceburkan diri dalam dunia lakonan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: