Deretan pokok mereput dipercayai dikikis kulit dan diracun di Persimpangan FELDA Jengka 2 ke pekan Sungai Jerik.
BANDAR TUN ABDUL RAZAK: Bahaya. Itulah antara luahan perasaan pengguna Jalan Persimpangan FELDA Jengka 2 ke pekan Sungai Jerik, dekat sini berikutan banyak pokok besar di tepi bahu jalan berkenaan, dipercayai diracun bagi tujuan pembersihan.
Difahamkan tindakan pengurusan FELDA Ulu Jempol mematikan pokok di tepi jalan sejak tiga bulan lalu bertujuan menceriakan jalan berkenaan, namun sebaliknya boleh mengundang pelbagai bahaya.
Sebahagian besar pengguna yang melalui jalan berkenaan diminta lebih berwaspada dan berhati-hati, terutama ketika hujan lebat kerana berdepan risiko dahan atau pokok tumbang sehingga mendatangkan bahaya kepada mereka.
Seorang penduduk yang berulang balik dari bandar Tun Abdul Razak ke Sungai Jerik , Manaf Ahmad, 52, berkata pokok berkenaan sudah mula mereput, sekali gus mendatangkan bahaya kepada orang ramai.
“Saya nyaris ditimpa kemalangan kerana terlanggar dahan kayu yang jatuh merintangi jalan raya di beberapa lokasi ketika musim tengkujuh tidak lama dulu.
“Paling ditakuti ialah ketika menggunakan jalan berkenaan pada waktu malam kerana jarak penglihatan agak terhad,” katanya yang meminta pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan termasuk segera menebang pokok berkenaan sebelum ia mendatangkan masalah lain kepada orang ramai.
Ismail Md Resat, 54, berkata tindakan sedemikian juga boleh mengundang pelbagai masalah, termasuk kejadian tanah runtuh dan akan memberi kesan ke atas alam sekitar.
“Pokok di lereng bukit turut berfungsi sebagai penahan tanah daripada dihakis ketika musim hujan, sekali gus mengelak kejadian tanah runtuh.
“Pihak berkuasa perlu memantau dan menasihatkan pemilik tanah tidak melakukan kegiatan yang boleh melonggarkan struktur tanah,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengurus FELDA Ulu Jempol, Zaidi Khalid, berkata pihaknya menyedari tindakan meracun pokok di tepi jalan berkenaan boleh mengundang bahaya kepada orang ramai, tetapi terpaksa berbuat demikian tujuan untuk pembersihan.
“Pihak kami sedar bahaya kepada pengguna terutama apabila dahan pokok tumbang dan boleh menyebabkan kemalangan. Oleh itu, kita akan memantau tindakan selanjutnya bagi menjaga kepentingan orang ramai” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: