Wednesday, July 20, 2011

Petang Raya dengan Bernard Chandran


Gaya Petang Raya 2011 Bernard (tengah) yang elegan, unik dan klasik.


BERTEMPAT di pekarangan butik Datuk Bernard Chandran yang terletak di Fahrenheit 88, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini peminat fesyen menjadi saksi kemunculan koleksi terkini sempena hari raya oleh pereka tersohor tanah air itu.

Bernard yang kebelakangan ini sinonim dengan rekaan busana wanita bersopan, menzahirkan kreativitinya menerusi koleksi yang dinamakan Petang Raya, khusus untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Melihat kepada koleksi Petang Raya Bernard, pereka bertaraf antarabangsa ini bagai memberi satu nuansa baru dalam fesyen baju kurung.

Seperti beliau cukup kreatif dan sentiasa mencuba mencari kelainan dalam penampilan wanita.

Tidak terhad kepada wanita Melayu, pilihan Petang Raya juga boleh dimiliki wanita daripada semua bangsa.

Sebenarnya Bernard telah memilih konsep chic couture untuk koleksi beliau kali ini.

"Apa yang dimaksudkan dengan tema ini ialah penampilan ceria yang disulam dengan palet warna, menerusi potongan serta pemilihan fabrik yang sangat berkualiti.

"Boleh dikatakan Petang Raya menghimpunkan koleksi baju kurung yang menyerlahkan ciri keceriaan dan feminin yang pada wanita.

"Pada masa yang sama juga si pemakai akan tampak anggun dan elegan," jelasnya.

Pereka yang turut mencipta nama di Eropah ini mengakui cuba menggabungkan elemen-elemen moden, sofistikated, tradisi dan kreativiti dalam sepasang baju kurung.

"Bagi saya yang paling utama ialah memenuhi cita rasa penggemar fesyen dan memberikan mereka lebih pilihan dari kategori baju kurung itu sendiri," ujar Bernard.

Keghairahan Bernard pada sesuatu yang unik, turut dizahirkan pada penghasilan skirt terbaru daripada jenamanya sendiri.

Kreativiti Bernard memang terbukti menyerlah pada potongan pinggang yang pasti akan memukau pandangan di arena persada fesyen antarabangsa.

Bagi Bernard untuk koleksi Petang Raya pemilihan warna yang cerah serta fabrik bermotif geometri dizahirkan dalam suasana kontemporari adalah bertepatan untuk gaya musim ini.

Antara fabrik yang digunakan jersey, organza, sutera dan sifon yang diadun dengan pelbagai gaya untuk menghasilkan satu busana yang indah menawan.

Kata Bernard, fabrik ini ringan beralun membuatkan ia jatuh dengan cantik.

Apa pun paling ketara pada koleksi kali ini perincian hiasan yang tidak begitu sarat penggunaan batu-batu kristal dan permata.

Seperti lazimnya tumpuan hiasan pada leher dan hujung lengan, namun Bernard memberi sedikit perhatian pada pinggang dengan corak ala fringe.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: