Monday, July 4, 2011

Perkhemahan kokurikulum suntik motivasi


Guru dan pelajar SMK Penghulu Saat pada perkhemahan bersepadu unit badan beruniform di Kem Kaizen, Gunung Pulai, Pontian, Johor, baru-baru ini.


SERAMAI 80 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penghulu Saat, Batu Pahat, Johor telah menyertai perkhemahan bersepadu unit badan beruniform di Kem Kaizen, Gunung Pulai, Pontian, baru-baru ini.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum sekolah, Mustaffa Siraj berkata, kem itu berjaya menyuntik semangat dan keyakinan diri kepada pelajar dalam suasana kehijauan pinggir Gunung Pulai.

"Selain aktiviti lasak dan menguji ketahanan fizikal, para peserta turut diberikan ceramah bagi meningkatkan motivasi dan juga kuliah agama bagi muhasabah diri mereka," katanya.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang perkhemahan selama tiga hari dua malam itu termasuklah kembara malam, sungai asid, blind fold, menempuh halangan air, kembara hutan, persembahan kebudayaan dan sarang labah-labah.

Peserta dibimbing oleh fasilitator Kem Kaizen di bawah pimpinan Sheikh Said Abdullah Al-Jabri yang juga jurulatih Biro Tatanegara (BTN).

Perkhemahan itu turut disertai oleh sembilan orang guru.

Sementara itu, seorang peserta perkhemahan, Nurul Farhah Yusof berkata, dia berpuas hati dengan perkhemahan kali ini kerana berjaya memberinya input berguna dalam memantapkan diri bagi menghadapi cabaran semasa.

"Aktiviti yang dijalankan amat menyihatkan selain memberi keyakinan baru kepada saya untuk berusaha ke arah kejayaan dalam hidup," kata pelajar tingkatan lima ini.

Seorang lagi peserta, Sharul Mumtaza, 16, memberitahu, dia begitu gembira kerana dapat mengikuti perkhemahan serta menjalankan aktiviti lasak yang menguji ketahanan diri.

"Aktiviti fizikal, mental dan kerohanian yang digarapkan dalam perkhemahan ini memberi banyak faedah kepada saya dan para peserta lain," ujarnya bersemangat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: