Monday, July 4, 2011

Lima graduan TESL terima biasiswa ELS


Robert Brander (tiga kiri) bersama penerima biasiswa Tun Dr. Mahathir ELS-TESOL Internship Scheme di Pusat Bahasa ELS Subang, Selangor, baru-baru ini.


PUSAT Bahasa ELS menganugerahkan biasiswa Tun Dr. Mahathir ELS-TESOL Internship Scheme kepada lima penutut jurusan TESL institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang bakal menjadi guru bahasa Inggeris di Subang, Selangor, baru-baru ini.

Naib Presiden Operasi ELS Malaysia, Robert Brander berkata, mereka dipilih berdasarkan kelayakan akademik yang cemerlang, penyertaan dalam aktiviti-aktiviti sekolah, mendapat sokongan pensyarah universiti serta lulus sesi temuduga oleh barisan jawatankuasa program itu.

"Skim ini bertujuan memberi latihan yang mencukupi dan peluang pekerjaan kepada golongan muda, yang juga merupakan guru bahasa Inggeris yang berpotensi.

"Ia merangkumi biasiswa yang bernilai RM4,500, latihan mengajar selama tiga bulan di Pusat Bahasa ELS serta menjadi tenaga pengajar bahasa Inggeris setelah berjaya menamatkan program biasiswa berkenaan," katanya.

Penerima terdiri daripada Alia Diyana Hosni dan Siti Nur Farahin Hamdan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Farahani Mohd. Zakaria dari Universiti Selangor (Unisel), Devan A/L Gunaseelan dari Universiti Malaya (UM), dan Mohammad Khairul Firdaous Fadzil dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut Brander, para penerima biasiswa ini merupakan graduan yang baru menamatkan pengajian mereka dan telah memulakan latihan selama tiga bulan di Pusat Bahasa ELS bermula Jun lalu.

"Pada bulan pertama latihan, mereka diberi pendedahan menyeluruh dari segi penulisan tatabahasa dan fonologi bagi meningkatkan kemahiran mereka selain membantu dalam sesi pengajaran semasa di bilik darjah kelak.

"Para pelatih juga diajar bagaimana untuk melakukan ujian penempatan bahasa Inggeris, sesi kaunseling bersama pelajar dan terlibat sama dalam menganjurkan aktiviti ko-kurikulum untuk pelajar ELS," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: