Wednesday, July 20, 2011

Penghijrahan status tidak gugat karier



Berita tentang aktres jelita, Faezah Elai, bakal menamatkan zaman bujang, tidak lama lagi, bukanlah rahsia, apabila aktres kacukan Punjabi dan Thailand, ini mengumumkan sendiri perkara baik itu.

Lebih sahih, apabila Faezah dihubungi Zass baru-baru ini, sedang menjalani pemeriksaan ujian darah HIV di sebuah hospital di ibu kota, bagi melengkapkan borang perkahwinannya.

Menurut Faezah, majlis dijadualkan berlangsung September ini, di tempat kelahirannya, Pulau Pinang. Namun tarikhnya masih belum diputuskan oleh kedua belah keluarga.

Akui berdebar menantikan fasa baru dalam hidupnya itu, Faezah berkata, dia yakin dengan keputusannya bila mengenangkan bakal suami yang begitu bersunguh-sungguh mahu memperisterikannya.

“Walaupun orangnya sudah agak berusia, 38 tahun, tetapi dia sangat penyayang, baik hati, romantik dan paling penting sekali, dia sangat mengambil berat, selain memahami karier saya sebagai artis. .

“Hubungan kami bermula sebagai rakan biasa. Tapi dia berjaya tawan hati saya dan menerima lamarannya kira-kira lima bulan lalu itu,” katanya yang masih merahsiakan identiti calon suaminya itu.

Menyentuh tentang konsep perkahwinannya, anak sulung kepada tiga beradik ini, bakal melangsungkan majlis persandingan di tepi pantai.

“Memandangkan saya anak sulung, maka keluarga inginkan kelainan terhadap perkahwinan ini. Bila difikirkan, tidak ramai yang memilih konsep seperti ini untuk hari bersejarah mereka.

“Saya juga berharap ia akan menjadi kenangan bermakna dalam hidup saya dan suami nanti,” katanya yang bercadang untuk memiliki tiga cahaya mata selepas berkahwin.

Menurut Faezah, dia akan tetap meneruskan karier seninya, meskipun sudah bergelar isteri. Apatah lagi, bakal suaminya tidak pernah menghalangnya untuk meneruskan karier.



Pernah dilabel pelakon kayu

Memulakan kerjaya sebagai pramugari, gadis manis ini, mencuba nasib dalam bidang seni.

Berkat kesungguhannya, pemilik nama Noor Faezah Md Elai, 29, atau lebih dikenali dengan panggilan Faezah Elai, kini mampu tersenyum.

Saban hari, bintangnya semakin bersinar dan sering mendapat kepercayaan pengarah dan penerbit tempatan untuk membintangi filem dan drama.

Namun di sebalik kejayaannnya hari ini, mungkin ramai tidak tahu, kehadiran Faezah pernah dipandang sepi, apabila lakonan pertamanya, dalam filem ‘Otai’ arahan Prof Razak Mohaideen pada tahun 2007, dikritik teruk.

Membawakan watak utama di samping Saiful Apek, Faezah dikatakan gagal membawa karekternya, malah dilabelkan pelakon ‘kayu’.

Tidak mudah mengalah, Faezah, nekad memperbaiki lakonannya. Buktinya, drama siri, Sutera Maya, yang disiarkan di TV3, tidak lama dulu, memperlihatkan perubahan drastiknya dalam lakonan.

Watak tomboy, bernama Sofea Maya, memberi lembaran baru kepada Faezah untuk melakar kejayaannya hari ini.

Sejak itu, namanya semakin menjadi perhatian dan membintangi beberapa drama, termasuklah Asmara, di samping Shahz Jaszle, yang berjaya mencipta fenomena tersendiri.

“Saya tidak pernah meletakan diri di tahap selesa. Sehingga kini saya masih belajar dan memperbaiki kelemahan.

“Setakat ini, saya dah puas bawa watak feminin dan tomboy. Sekarang, saya teringin membawa watak seorang ibu kepada anak-anak yang sudah dewasa,” kata anak jati Pulau Mutiara ini.



Tidak takut cabaran

Memiliki pakej lengkap, tidak hairanlah Faezah terus berjaya menguasai karier seninya.

Namun ada harga perlu dibayar. Setiap tingkah lakunya sering menjadi perhatian, sehingga gosip dan kontroversi mudah menghambat dirinya. “Memang sudah menjadi lumrah apabila seseorang berada dalam industri ini akan terkena gosip liar, sebab itu saya perlu pandai membawa diri.

“Tetapi, ia tidak jadi masalah, apa mencabar adalah ketika perlu bersaing dengan pelakon berwajah baru,” akui Faezah yang sebelum ini pernah bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.

Bercerita mengenai perkembangan terkininya, Faezah berkata, dia baru sahaja selesai menjalani sesi penggambaran filem Putera Negara arahan Shuhaimi Baba yang bakal menemui penonton pada tahun 2012 nanti.

Sementara itu, pemilik Diploma Rekaan Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, bercadang mahu mencuba nasib dalam bidang perniagaan dengan membuka sebuah restoran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: