|
|
SHAH ALAM – Pemenang Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 bagi Zon Tengah akan memfokuskan kepada hiasan pada Kek Coklat Daisy pada pusingan akhir yang bakal berlangsung di Plaza Shah Alam, Ahad ini.
Norazaliza Awang, 35, dari Bentong akan menitikberatkan kepada pemilihan krim seperti coklat dan keju untuk dihiaskan pada kek coklatnya.
Menurut Norazaliza, bagi cabaran akhir tersebut, beliau akan memastikan kek yang dihasilkan itu mengikut tema pihak penganjur iaitu hari raya.
“Persiapan saya biasa sahaja dan masih memikirkan hiasan yang ingin ditonjolkan pada hari tersebut.
“Paling penting, perlu mengikut tema yang ditetapkan selain hiasan pula perlu menarik perhatian,” katanya.
Dia yang membuka perniagaan menjual kek secara dalam talian sejak dua tahun lalu turut meminta pandangan daripada suami dan bapa mertua bagi menghasilkan resipi terbaik.
“Suami, Muhamad Azli, dan bapa mertua, Suratman Ibrahim, sudah terlibat dalam bidang perniagaan katering sudah lama, jadi pengalaman mereka amat membantu saya,” katanya.
Tambah beliau, pada pertandingan akhir itu nanti, beliau menyifatkan ia memberikan sedikit cabaran kerana kesemua peserta diminta untuk memasak kek di tempat pertandingan, tidak seperti sebelum ini yang memerlukan mereka menyediakannya di rumah.
“Walaupun buat di sana, saya tetap sudah bersedia untuk bertanding pada pertandingan itu nanti, katanya.
Finalis Cabaran Daisy sertai bengkel
KUALA LUMPUR – Finalis Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 dari Zon Timur, Tengah, Utara dan Selatan akan menyertai bengkel membuat kek dan biskut bersama Chef Liza pada Jumaat ini.
Chef Liza selaku mentor kepada finalis yang bakal berentap pada cabaran akhir yang akan berlangsung di Plaza Alam Sentral (PAS) Shah Alam pada 17 Julai ini antara lain akan mendedahkan teknik-teknik membuat kek dan biskut dengan kaedah yang betul.
Pengurus Iklan Kosmo!, Stella Abdullah memberitahu, kelapan-lapan peserta bagi kategori kek dan biskut itu dikehendaki menyertai Kelas Mentor di Laman Chef Liza, Jalan Ipoh, di sini.
Katanya, peringkat akhir yang bertemakan ‘Hari Raya Aidilfitri’ itu dijangka akan lebih sengit memandangkan kesemua peserta merupakan juara di peringkat zon masing-masing.
“Dengan berbekalkan pengalaman sehari bersama Chef Liza, para peserta semestinya akan memberikan saingan sengit antara satu sama lain setelah mengetahui teknik-teknik cara membuat kek dan biskut dengan menggunakan minyak jagung Daisy agar hidangan lebih sedap dan lembut.
“Kelas mentor ini juga mendedahkan teknik-teknik hiasan kek dan biskut yang lebih kreatif serta bersesuaian dengan tema yang diberikan,” katanya ketika dihubungi oleh Kosmo! semalam.
Tambahnya, Chef Liza juga akan mengajar peserta pertandingan dua resipi kek dan biskut serta petua-petua untuk menambahkan mutu dan menjadikan masakan lebih menarik.
Katanya, resipi yang akan diajar tersebut adalah Biskut Kacang Hijau Daisy, Biskut Coklat Zebra Daisy, Kek Roll Jagung Daisy dan Apam Gula Merah.
Stella turut menjelaskan bahawa syarat pertandingan masih lagi dikekalkan dan para peserta perlu tampil dengan rekaan kek dan biskut masing-masing yang bersesuaian dengan tema cabaran akhir nanti.
Pertandingan itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM50,000 kepada para pemenang yang mencipta resipi kek dan biskut terbaik.
“Juara bagi kategori kek dan biskut pula akan memenangi hadiah wang tunai RM5,000 serta barangan Tupperware bernilai RM5,000 manakala pemenang tempat kedua bakal menerima wang dan barangan Tupperware yang masing-masing bernilai RM3,000.
“Tempat ketiga pula bakal membawa pulang barangan Tupperware yang bernilai RM2,000 dan wang tunai berjumlah RM500,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: