
BUKAN tidak pernah dia berhasrat untuk menyambung pengajiannya ke peringkat lebih tinggi selepas menamatkan zaman persekolahannya.
Tetapi, kerana kesibukannya dalam mengejar impian menjadi seorang penyanyi yang akhirnya telah meletakkan namanya di puncak tertinggi, maka, hasrat itu terpaksa dilupakan oleh Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.
Walaupun sudah 16 tahun menjadi seorang penyanyi ternama negara, impian untuk memiliki segulung ijazah tidak pernah padam dari lubuk hati Siti Nurhaliza atau mesra disapa Siti ini.
Lantaran itu, penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Kau Kekasihku dan Cindai ini tidak menolak kemungkinan seandainya diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran, dia pasti akan menerimanya.
Namun, kata Siti, semuanya bergantung kepada kelapangan jadualnya kerana seperti yang sedia maklum sentiasa padat dengan pelbagai agenda.
Apatah lagi, anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu bukan hanya menggalas tanggungjawab sebagai seorang penghibur, tetapi juga seorang ahli perniagaan.
"Selama 16 tahun saya menjadi anak seni, saya akui memang tiada pendidikan formal dalam bidang muzik. Segala-galanya adalah berdasarkan pengamatan dan pemerhatian saya sendiri.
"Saya sendiri tidak boleh membaca nota muzik dan apa yang boleh saya katakan, selama saya menyanyi semuanya lahir daripada hati.
"Pengalaman dalam tempoh itu juga sebenarnya banyak mengajar saya untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
"Jika kena pada masanya, saya akan menyambung pengajian di universiti. Sudah pasti jurusan yang menjadi pilihan saya adalah bidang muzik.
"Namun, saya serahkan kepada universiti untuk menilai kelayakan saya," jelas Siti tanpa berselindung ketika ditemui pada sidang akhbar sejurus Malam Gala SimplySiti di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Soalan berkenaan diajukan kepada penyanyi jelita itu selepas kejayaan syarikatnya, SimplySiti menjalinkan kerjasama dengan pihak UiTM dalam menganjurkan karnival dan malam gala tersebut pada 8 dan 9 Julai lalu.
Turut hadir Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Mengulas lanjut, Siti memberitahu, dia sendiri ada berbincang dengan pihak UiTM berhubung soal melanjutkan pengajian itu, tetapi masih belum ada kata putus tentangnya.
"Semuanya masih dalam perbincangan dan saya sendiri tidak tahu bilakah hasrat saya itu akan menjadi kenyataan.
"Semuanya bergantung kepada masa yang sesuai kerana soal pelajaran ini adalah sesuatu yang serius," ujar Siti penuh bersungguh.
Jawapan Siti itu dipersetujui oleh Dr. Sahol Hamid yang turut mengakui ada berbincang dengan Siti berhubung soal itu terutama peringkat pengajian yang layak dan sesuai untuk Siti.
Dalam masa yang sama, sebagai suami, Khalid memberikan sokongan yang padu seandainya isterinya itu membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran.
Puas hati
Menyentuh tentang sambutan ulang tahun pertama SimplySiti itu, secara keseluruhannya, Siti begitu puas hati dengan perancangan rapi yang telah diatur oleh pihak UiTM dan SimplySiti dalam melancarkan malam gala tersebut.
Biarpun perlu berhadapan dengan suasana tegang kerana perhimpunan haram yang berlangsung di ibu negara pada sebelah siangnya pada hari tersebut, namun, Siti tetap optimis untuk meneruskan karnival dan malam gala yang sudah dirancang sejak berbulan-bulan lamanya.
Apa yang penting buat Siti apabila misinya untuk mengumpul dana bagi mengisi Tabung Mengubah Destini Anak Bangsa UiTM terlaksana.
"Alhamdulillah, apa yang saya diberitahu hasil penjualan daripada karnival dan tiket untuk malam gala, SimplySiti berjaya mengumpul hampir RM100,000 untuk tabung tersebut.
"Itu membuatkan saya gembira dan cukup puas hati kerana dalam berhibur, kita juga dapat membantu anak-anak bangsa kita dengan memberi peluang kepada mereka untuk menyambung pengajian.
"Daripada menghabiskan masa dengan kerja tidak berfaedah, lebih baik anak-anak muda ini diberi tempat untuk belajar demi kebaikan dan masa depan mereka juga," kata Siti yang mula menempa nama menerusi lagu Jerat Percintaan dan Jawapan Di Persimpangan pada tahun 1996 ini lagi.
Hobi baru Siti
Selain sibuk dengan perniagaan dan karier seninya, penyanyi berusia 32 tahun itu juga membuka cerita bahawa dia kini mempunyai hobi baru bersama suaminya.
Dengan penuh terbuka, Siti memberitahu dia kini gemar menghabiskan masa bersama Khalid dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi jika ada kelapangan.
Bergerak secara berkumpulan bersama teman-teman rapat mereka, Siti menjelaskan minat itu mula timbul selepas dia dan suaminya bercuti di Cape Town, Afrika Selatan sekitar Mei lalu.
"Sebenarnya, dunia motosikal ini bukanlah asing untuk saya kerana sewaktu remaja, ia adalah kenderaan wajib saya sewaktu di kampung.
"Teringat kenangan bersama arwah abah yang sering menghantar dan menjemput saya dari sekolah dengan motor," ujar juara Bintang HMI 1995 ini sambil ketawa kecil.
Kerana kecintaan dua insan ini terhadap motosikal berkuasa tinggi, maka gimik pembukaan malam gala tempoh hari memperlihatkan Siti dan Khalid menunggang motosikal mereka masuk ke dalam dewan dengan diiringi oleh pengiring mereka.
Jelas Siti, memang pihaknya sengaja tampil dengan gimik sedemikian bagi memberikan kelainan untuk malam gala tersebut.
Selepas berbincang dengan Pengurus Acara Malam Gala SimplySiti iaitu Profesor Madya A. Razak Mohaideen, akhirnya semua pihak bersetuju untuk menampilkan gimik pembukaan yang mendapat tepukan gemuruh daripada penonton pada malam itu.
Malam gala itu juga menyaksikan Siti melancarkan dua produk terbaru SimplySiti iaitu SimplySiti Vogue Edition dan SimplySiti Lovely Edition.
Dua produk baru ini boleh didapati di hampir 300 premis di seluruh negara termasuk di Brunei yang boleh dimiliki dengan harga RM59.90 dan RM69.90 bagi setiap set yang merangkumi gincu, pembayang mata dan pemerah pipi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: