PETALING JAYA: Pelakon yang sedang meningkat naik Nazim Othman, 27, mengakui pernah merempat sebelum bergelar pelakon, tiga tahun lalu.
Jelasnya, ketika menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur secara bersendirian pelbagai dugaan yang dilalui termasuk tidur dikaki lima.
“Saya mencabar diri sendiri untuk menunjukkan kepada semua orang bahawa saya boleh berjaya mencapai impian saya di Kuala Lumpur.
“Tetapi apa yang saya sudah capai hari ini bukan senang untuk dilalui kerana orang lain termasuk ibu bapa saya tidak tahu saya pernah tidur di tempat letak kereta di bangunan Bank Simpanan Nasional gara-gara takut pulang ke rumah yang disewa di kawasan Bukit Bintang.
Jelasnya, rumah yang disewanya sering didatangi samseng dan menjadi mangsa peras ugut.
Disebabkan itu juga, dia terpaksa tidur dikawasan tempat letak kereta. “Selepas beberapa kali tidur di situ, akhirnya polis mengetahui aktiviti saya dan menegur saya agar tidak melakukan tabiat itu lagi.
“Seterusnya, saya menjadikan sebuah lokasi yang mempunyai sofa mewah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai tempat tidur.
“Bila dikenang semula, hidup saya memang benar-benar naif dan susah. Saya jarang meminta wang daripada ibu bapa dan sanggup mengikat perut untuk berjimat,” ceritanya panjang lebar.
Jelas Nazim, apabila terpandang pemuda-pemudi yang bersenang-lenang melepak di tepi jalan tanpa melakukan kerja berfaedah, hatinya berasa kesal kerana mereka seolah-olah mensia-siakan hidup sendiri.
Berkat kesungguhannya itu, dia berjaya menjawat jawatan sebagai pramugara pada usia 19 tahun di Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).
“Jadi, saya ingin berpesan kepada para belia supaya tidak cepat berputus asa dalam hidup dan sentiasa fokus dengan cita-cita,” kata bekas graduan Kolej Taylor ini lagi.
Sewaktu hidup susah dulu, kata Nazim badannya kurus kering kerana dia hanya makan roti dan mi segera selama setahun dan nasi dijamah sekali sehari.
“Dulu badan saya kurus sebab saya makan makanan yang tak cukup zat. Sekarang, saya lebih menjaga pemakanan seperti mengambil minuman kesihatan tambahan untuk menambah protein disebabkan sibuk bekerja dan terpaksa mencuri masa untuk makan.
“Saya juga banyak minum air putih dan mengamalkan vitamin B kompleks dan multi vitamin untuk menambah tenaga.
“Selain itu, saya ada terbaca di akhbar bahawa vitamin B dikatakan mampu meredakan perasaan seseorang menjadi lebih tenang kerana saya cepat marah dan sensitif apabila terlambat makan.
“Saya juga makan nasi mengikut waktu makan tetapi perlu mengurangkan kuantitinya.
“Selain itu, saya suka makan sushi dan makanan Jepun lain yang berkhasiat dan tidak berminyak,” katanya yang turut mengamalkan tidur yang cukup untuk segar sentiasa.
Bagi mencegah sebarang penyakit kronik, Nazim juga gemar melakukan senaman di gimnasium agar badannya sentiasa sihat. Dia melakukannya selama tiga hingga empat kali seminggu di Celebrity Fitness.
“Badan saya mudah mengecil. Bagaimanapun, saya tidak mahu badan yang terlalu besar kerana bimbang karakter lakonan terbatas.
“Ini kerana saya pernah mendapat nasihat daripada pengarah supaya tidak memiliki fizikal yang terlalu besar. Saya juga cuba mengelakkan perut menjadi buncit,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, seseorang itu perlu berdisiplin tinggi untuk mengekalkan bentuk badan yang menarik.
Ditanya sama ada dia merupakan lelaki metroseksual atau tidak, Nazim enggan memberikan apa-apa label kepada diri sendiri.
Bagaimanapun, dia positif menerima setiap komen tentang dirinya. Jawabnya lagi: “Saya rasa cukuplah jika sedap mata memandang.”Menyentuh tentang barangan penjagaan diri yang perlu di bawa dalam begnya adalah penyembur rambut, ‘wax’ rambut, minyak wangi dan pelembap kulit bagi mengelak muka berkilat.
“Saya merupakan seorang yang sederhana dan pakai apa sahaja produk tidak mengira jenama asalkan bersesuaian dengan kulit,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: