Friday, July 22, 2011

MyKad elak peniaga monopoli


SISTEM pengundian bazar Ramadan menggunakan MyKad dilihat jalan terbaik menangani monopoli peniaga. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Pengundian menggunakan MyKad dilihat berkesan menangani kes hak milik bazar Ramadan di ibu kota yang selalu dimonopoli oleh pihak-pihak tertentu seperti sebelum ini.

Pengerusi Persatuan Penjaja Kecil Bumiputera Wilayah Persekutuan, Datuk Roslia Sulaiman berkata, ia kerana melalui MyKad, satu nama hanya boleh mendapatkan satu bazar sahaja.

“Jika sebelum ini, mereka boleh menghantar lebih daripada 30 borang permohonan bagi kawasan bazar Ramadan sehingga ada di kalangan mereka menjual tapak tersebut kepada orang lain,” ujarnya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar mengenai tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menguatkuasakan sistem pengundian menggunakan MyKad bagi tujuan proses kelulusan permohonan di lebih 100 lokasi tapak bazar Ramadan di seluruh ibu kota tahun ini.

Roslia memberitahu, terdapat sejumlah 22,000 penjaja bumiputera daripada 53,000 secara keseluruhan di ibu kota dan mempunyai lesen berniaga DBKL dan mereka mempunyai peluang mencari rezeki tambahan melalui bazar Ramadan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Persatuan Penjaja Kecil Melayu Cawangan Kampung Pandan, Sharif Hashim berkata, tindakan DBKL itu memberi peluang sama rata kepada semua pemohon bazar Ramadan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: