Thursday, July 21, 2011

Meningkatkan Martabat Tarian Tradisi




SAAT gong dipukul menandakan bermulanya persembahan Alunan Warisan oleh Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) yang dipersembahkan pada 5 dan 6 Julai lalu di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), ada satu keterujaan lahir di dalam hati. Ini kerana sudah lama tidak menonton persembahan tarian tradisional kepunyaan warisan budaya sendiri.

Mata tidak berhenti terkesima dengan gerak tari serta pakaian berwarna-warni yang disarung oleh penari KSPP yang begitu asyik menarikan 11 buah tarian antaranya tarian Tandak Berinai, Layang Si Burung, Kurung-Kurung, Rodong, Ngajat Serumpun, Mak Yong, Tari Pelanduk, Mengarang Kaba, Nona Manis dan Dikir Warisan.

Melihat kepada senarai di atas, pasti ramai antara kita yang tidak mengenali tarian-tarian itu, barangkali ada juga yang tidak pernah mendengar nama-nama tarian tersebut kerana ia sememangnya jarang dapat ditonton pada masa sekarang.

Justeru, KSPP mengambil inisiatif untuk mempertontonkan kembali tarian-tarian tradisional setiap negeri di Malaysia yang jarang dipersembahkan dalam Alunan Warisan.

Menurut penerbit Alunan Warisan, Hartini Abdullah, kewujudan KSPP bukan sekadar untuk menghiburkan penonton tetapi juga memberi kesedaran kepada mereka betapa indahnya warisan budaya tempatan.


KUMPULAN Seni Persembahan Petronas (KSPP) giat memupuk kecintaan terhadap seni tari tradisional yang indah.


“Biasanya kebanyakan orang memberi tanggapan bahawa tiket persembahan di DFP mahal, walhal hakikat sebenarnya tidak begitu. Tiket untuk persembahan Alunan Warisan bermula serendah RM15 sehingga RM60, jadi semua orang dapat menikmati keindahan tarian tradisonal tempatan.

“Sudah menjadi tanggungjawab KSPP untuk memartabatkan lagi seni budaya tempatan bukan sahaja untuk dihayati oleh pelancong tetapi juga rakyat tempatan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, persembahan yang terbahagi kepada dua segmen iaitu Mak Yong dan tarian itu melibatkan 80 orang tenaga kerja termasuk 60 orang pemuzik.

“Saya berharap dengan adanya usaha seperti lebih ramai orang tahu tentang nilai tradisi yang ada dalam tarian tradisonal tempatan yang semakin dilupakan,” ujarnya.

Pengarah muzik Alunan Warisan, Ahmad Muriz Che Rose yang mempunyai pengalaman luas dalam gubahan muzik memberitahu dalam masa seminggu, dia dan 10 orang komposer membuat gubahan lagu untuk disesuaikan dengan tarian.

“Tarian dan muzik saling berkait rapat, untuk Alunan Warisan, kami dikehendaki untuk memberi nafas baru tetapi masih mengekalkan nilai-nilai tradisi yang terkandung dalam muzik dan juga tariannya,” katanya.

Pengarah tarinya, A Sam Palal, yang mula berkecimpung dalam bidang tarian sejak 18 tahun lalu memberitahu, dia dan 11 koreografer muda mengambil masa dua minggu untuk mencipta gerak tari baru.


DI Malaysia terdapat pelbagai jenis tarian yang ditarikan mengikut budaya suku kaum termasuk tarian Rodong daripada masyarakat orang asli.


“Alunan Warisan ini juga memberi peluang kepada koreografer muda untuk memperlihatkan bakat mereka dan saya sebagai penasihat.

“Meskipun mereka mencipta gerak tari yang baru tetapi identiti gerak tari sesebuah tarian tidak dipinggirkan cuma diberi nafas sentuhan baru yang lebih segar,” kata Sam.

Sam yang banyak terlibat dengan persembahan tradisional seperti teater Pak Pandir, Siti Zubaidah dan banyak lagi cukup berpuas hati dengan persembahan yang diberikan oleh penari-penari KSPP.

“Syukur, dua hari persembahan penonton penuh dan respon yang kami terima rata-rata berpuas hati dengan persembahan yang kami berikan kerana kata mereka kami mengekalkan kualiti persembahan yang tinggi.

“Saya berharap selepas ini akan ada lebih banyak persembahan tradisi seumpama ini,” katanya kini yang sibuk dengan acara Gerak 2011.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: