Thursday, July 21, 2011

Tradisi yang semakin dilupakan


TARIAN KUDA KEPANG


MALAYSIA cukup kaya dengan nilai tradisi dan budaya yang tiada galang-gantinya, dengan 13 buah negeri di Malaysia dan tiga Wilayah Persekutuan, maka terdapat pelbagai jenis tarian yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita untuk diwarisi sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun, daripada beratus-ratus jenis tarian yang wujud hanya sebilangan sahaja yang menonjol dan terus popular sehingga ke hari ini.

Kosmo! memaparkan beberapa jenis tarian tradisional di Malaysia yang mungkin ada antaranya semakin dilupakan dek arus permodenan.

Tarian Asyik

Tarian ini digerakkan oleh 10 orang penari yang memulakan gerak dan lenggok badan yang lembut, mereka akan duduk dengan sopan sambil menanti kemunculan penari utama.

Tarian ini berasal dari Kelantan dan merupakan tarian istana diraja negeri Che Siti Wan Kembang itu. Ia bermula di Pattani, Thailand pada tahun 1644.

Sejarah tarian ini mengikut hikayat Patani, Raja Kuning iaitu Raja Perempuan yang memerintah Patani dalam tahun 1644 ada menyimpan 12 orang penari istana yang menyanyi dan menari dipanggil asyik.

Tarian asyik mempunyai rentak perlahan dan gemalai, kerana ia ditarikan di hadapan raja dan permaisuri. Penari asalnya berpakaian berkemban dengan tali pinggang dan mahkota kecil.

Bahagian utama tarian asyik terdiri dari duduk bersimpuh dengan gerakan membayangkan haiwan dan persekitarannya, alunan ombak laut, burung melayang, ikan berenang, gajah berarak, dan sebagainya. Sesetengah pergerakan menyerupai tarian pementasan Mak Yong.

Tarian Gamelan

Tarian klasik ini mula di kesan di empayar Riau dan Lingga dalam kurun ke-17. Buat pertama kali ia dipersembahkan adalah di Pekan Pahang tahun 1811 dalam upacara persandingan Tengku Hussain, putera kepada Sultan Abdul Rahman yang memerintah Lingga dengan Wan Esah iaitu adik perempuan kepada Bendahara Ali dari Pahang.

Kemudian tarian ini mula diperkenalkan di Terengganu selepas Tengku Mariam iaitu seorang puteri di Pahang, mengahwini Tengku Sulaiman iaitu putera kepada Tengku Zainal Abidin dari Terengganu.

Tarian ini dipersembahkan secara eksklusif oleh penari wanita boleh di pentaskan secara tertutup ataupun persembahan terbuka.

Menurut Tengku Mariam, pada asalnya tarian ini terdiri daripada 77 jenis gamelan. Pada hari ini, hanya tinggal 33 jenis lagi kesan daripada ketiadaan tenaga pengajar jenis tarian itu lagi. Antara 33 jenis tarian yang masih tinggal itu adalah seperti Timang Burung, Ayak-ayak, Lambang Sari, Ketam Renjung, Geliung, Lantai Lima, Kending Gajah, Togok Rompin, Kunang-kunang Mabuk, Galuk Merajuk, Silatin, Lolo dan Monab.

Tarian Daling-Daling

Tarian daling-daling dikatakan berasal dari Sepanyol. Ia diperkenalkan oleh askar-askar Sepanyol kepada rakyat Filipina. Kini, tarian ini telah menjadi tarian bagi kaum Sulu yang tinggal di Tawau, Sabah.

Alat muzik yang digunakan ialah gabang dan dua bilah kayu yang disebut bolak-bolak. Ia ditarikan secara berpasang-pasangan iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan.

Ia dipersembahkan di majlis pertunangan, perkahwinan, berkhatan dan berkhatam al-Quran. Penari-penari wanita memakai destar yang disebut pies. Jari mereka dihias dengan kuku palsu yang diperbuat daripada logam perak atau suasa, kuku itu dinamakan janggal.

Tarian Ayam Didik

Tarian ayam didik merupakan sejenis tarian Melayu dikatakan berasal daripada gerakan berlaga ayam, iaitu sejenis sukan yang diminati oleh orang Melayu pada masa lampau.

Tarian ini dicipta oleh ahli tarian di negeri Perlis dan masyhur dalam kalangan masyarakat terutama di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan bahagian utara Perak.

Tarian ini telah dicipta oleh satu kumpulan penari di Kangar, Perlis. Tarian ini diiringi dengan nyanyian lagu ayam didik serta menggunakan alat muzik seperti gong, gendang dan biola.


TARIAN GAYONG OTAR-OTAR


Tarian dan nyanyian ayam didik sebenarnya sering bersama dalam persembahan canggung, dipersembahkan ketika musim menuai padi atau di dalam majlis-majlis perkahwinan dan keramaian sebagai hiburan kepada para tamu.

Tarian Kuda Kepang

Tarian kuda kepang amat popular di Negeri Johor terutama di kalangan masyarakat Jawa. Tarian ini dahulunya sering disertakan dengan upacara pemujaan hinggakan para penarinya berada dalam keadaan separa sedar.

Penari menggunakan kuda kepang yang diperbuat daripada buluh yang dianyam. Kuda kepang tidak berkaki hanya mempunyai badan, kepala dan ekor.

Kumpulan kuda kepang dianggotai antara 15 hingga 20 pemain termasuk pemuzik. Alat-alat muzik yang digunakan ialah gong, gamelan, rebana, gendang dan bonang.

Tarian Gayong Otar-Otar

Tarian gayong otar-otar adalah sebuah tarian pahlawan yang berasal dari Terengganu. Tarian ini ditarikan secara berpasangan oleh penari lelaki sahaja.

Pakaian penari-penari pula adalah pakaian pahlawan Melayu di samping pedang, penari juga membawa sebuah perisai yang digantung padanya loceng-loceng kecil.

Dua baris penari akan bergerak sambil menyerang antara satu sama lain. Alat-alat muzik iringan adalah gong dan gendang.

Tarian Lansaran

Tarian lansaran merupakan tarian tradisional suku kaum Murut di Sabah. Tarian lansaran ini biasanya ditarikan di lantai khas yang berukuran kira-kira 81 kaki persegi yang dibina di tengah-tengah rumah panjang yang diperbuat menggunakan kayu bulat. Kayu bulat dipasang berlapis-lapis secara khusus supaya boleh melantun.

Di atasnya, tarian lansaran dilakukan oleh kumpulan penari lelaki dan perempuan dengan pakaian tradisional warna hitam dan hiasan manik-manik yang berwarna-warni, kaum lelaki memakai topi berbulu burung serta pakaian diperbuat daripada kulit kayu bercampur kain berwarna.

Penari tarian ini membuat bulatan sambil melonjak-lonjak di atas lantai tarian dengan diiringi oleh bunyi hentakan susunan kayu bulat di bahagian bawah lantai lantunan sambil penari lelaki akan melonjak ke atas untuk mencapai kinkilat iaitu benda digantung di bahagian atas bumbung sambil bersorak tanda gagah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: