Monday, July 4, 2011

Manfaatkan ledakan IPv6


Semua pihak perlu mengambil serius kepentingan peralihan IPv4 ke IPv6 demi menjamin perkembangan organisasi perniagaan pada masa akan datang. - Gambar hiasan.


Dunia Internet jika tanpa Internet Protokol (IP) sama saja seperti telefon tanpa nombor. Ia tidak boleh digunakan.

Kini dunia Internet menggunakan IP versi 4 (IPv4) sebagai asas kepada semua alamat di Internet.

Mungkin tidak ramai yang tahu apakah keperluan IP dalam rangkaian Internet.

IP boleh dikatakan alamat yang perlu ada pada setiap komputer yang disambung ke Internet. Tanpa IP, Internet tidak dapat disambungkan.

Buat masa ini masyarakat dunia menggunakan IPv4 yang semakin pupus bilangannya memandangkan ledakan populasi pengguna yang drastik.

IPv4 menggunakan 32 alamat atau 4.2 bilion tetapi populasi dunia adalah 6.5 bilion.

Justeru IPv6 128 bit alamat dibangunkan bagi memenuhi keperluan pengguna Internet bagi komputer, telefon mudah alih, pembantu digital peribadi (PDA) mahu pun robot di seluruh dunia.

"Justeru pengguna seluruh dunia perlu berhijrah kepada IPv6 jika mahu terus berkomunikasi menggunakan Internet," kata Pengarah Pusat IPv6 Termaju Kebangsaan (NAV6), Prof Dr. Sureswaran Ramadass.

Beliau mengingatkan organisasi rangkaian perniagaan dan kerajaan perlu bersedia bagi Internet generasi akan datang dan melatih kakitangan mereka bagi memastikan kelancaran penghijrahan IPv4 kepada IPv6 versi terkini.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar sempena Persidangan Serantau IPv6 2011 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 19 hingga 21 Julai ini.

Persidangan berkenaan dijangka dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Persidangan dua hari termasuk bengkel dan diadakan khusus bagi menjana perniagaan dan agensi kerajaan di rantau ini bagi mengambil langkah berhijrah dari IPv4 kepada IPv6 bagi mengekalkan sambungan Internet.

Persidangan Serantau yang membawa tema Internet Generasi Akan Datang merupakan sebahagian daripada Forum IPv6 yang sedang berlangsung di seluruh dunia.

Dr. Sureswaran menegaskan organisasi negara ini perlu mengambil perhatian mengenai IPv6 memandangkan Internet Assigned Numbers Authority (IANA - www.iana.org) telah mengenalpasti blok alamat terakhir IP daripada kolam alamat berpusat IPv4 sedunia.

Sementera itu Presiden Forum IPv6, Latif Ladid pula akan membincangkan mengenai Penghijrahan daripada Telecom Internet kepada Internet Dua Hala berasaskan IPv6.

Persidangan berkenaan dijangka membincangkan peralihan IPv6 dan Keselamatan IPv6 pada hari kedua dan ketiga persidangan yang bertujuan membawa negara ke arah peralihan daripada IPv4 kepada generasi terkini IPv6.

Sementara itu Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif IS-Seraya-AVS Sdn. Bhd, Datuk Khairul Anuar Akhiruddin berkata, pihaknya serius dalam mengetuai kerja mempromosi IPv6 di negara ini memandangkan badan kerajaan dan perniagaan perlu memahami kepentingan peralihan IPv4 ke IPv6 kepada organisasi dan perniagaan di masa akan datang.

IS-Seraya-AVS merupakan badan latihan bertauliah yang dilantik oleh NAV6 yang menganjurkan Persidangan Serantau IPv6 2011.

Persidangan berkenaan menerima sokongan padu daripada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, NAV6, CyberSecurity Malaysia dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Kementerian terbabit merupakan satu daripada dua buah buah agensi kerajaan yang telah beralih daripada IPv4 kepada IPv6.

Malaysia merupakan salah sebuah negara pengasas pergerakan IPv6 manakala USM menerusi NAV6 memainkan peranan penting dalam melatih jurutera rangkaian IPv6 seluruh dunia.

Sehingga kini terdapat lebih kurang 3,000 jurutera IPv6 seluruh dunia telah dilatih di negara ini dan 1,000 daripadanya merupakan rakyat negara ini.

Modul latihan yang dihasilkan sendiri oleh saintis USM telah digunapakai oleh badan-badan antarabangsa dan digunakan seluruh dunia.

Di negara ini hanya IS-Seraya-AVS yang merupakan satu-satunya pusat latihan pertama dan bertauliah bagi IPv6.

Mereka yang berminat menghadiri persidangan selama tiga hari ini boleh melayari laman sesawang www.ipv6my.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: