Monday, July 4, 2011

Kahwin tidak halang cemerlang


Dayang Jannatiah Datu Jainal Abidin (dua dari kanan) bersama (dari kanan) A. Pritharan, Law Chui Woon dan Chang Chi Fatt di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 3 Julai - Berkahwin pada usia muda iaitu ketika masih menuntut di menara gading tidak menghalang Dayang Jannatiah Datu Jainal Abidin untuk melakar kecemerlangan apabila menerima Anugerah Pengerusi Eksekutif pada majlis konvokesyen Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (Instedt) Bandar Penawar di sini, hari ini.

Anak kelahiran Papar, Sabah berusia 22 tahun itu, hanya mampu memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas rahmat yang dianugerahkan kepadanya.

Ketika ditemui selepas majlis itu, graduan Diploma Perakaunan itu menyifatkan kejayaan tersebut adalah lambang pengorbanan semua pihak termasuk suami dan keluarga.

"Bercerita soal tanggungjawab, memang semua tahu apabila kita berkeluarga ada tanggungjawab tambahan yang perlu digalas berbanding jika masih bujang, namun saya tidak melihat ia sebagai beban, malah ia suatu kurniaan kepada saya.

"Malah, perkahwinan itu juga bukan penghalang untuk saya bergerak aktif dalam mana-mana persatuan dan Majlis Perwakilan Pelajar di Instedt," katanya yang bercadang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam jurusan yang sama.

Seramai 341 graduan menerima diploma masing-masing sempena konvokesyen kelima hari ini.

Dayang Jannatiah yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92 menggunakan kaedah pembelajaran nota poket.

"Di mana sahaja saya berada, satu nota poket pasti ada di sisi. Ia bagi memudahkan saya mengulangkaji pelajaran dan mengisi masa lapang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: