Thursday, July 14, 2011

Loji nuklear diserang ubur-ubur


SEORANG pekerja di loji janakuasa elektrik Orot Rabin di Tel Aviv memeriksa ubur-ubur yang ditempatkan ke dalam sebuah bekas.


SEBUAH loji kuasa nuklear yang terletak di pantai Israel terpaksa ditutup apabila sistem pendingin air lautnya tersumbat akibat dipenuhi dengan ubur-ubur.

Insiden yang membabitkan ubur-ubur turut berlaku di stesen janakuasa Torness di laut Scotland baru-baru ini hingga melumpuhkan dua reaktor loji berkenaan.

Pada minggu lalu, sebuah reaktor di Shimane, Jepun pula mengalami nasib yang sama apabila dilumpuhkan akibat serangan ubur-ubur.

Semua insiden itu berlaku ketika spekulasi bahawa arus suam dan pengaksidan lautan, kedua-dua disebabkan perubahan cuaca, menyebabkan populasi ubur-ubur meningkat dengan mendadak.

Persoalannya sekarang, adakah insiden seperti itu akan berlarutan?

"Kejadian melibatkan beberapa loji kuasa nuklear baru-baru ini tidak cukup kuat untuk membuktikan wujudnya satu corak global.

"Kesemua insiden terbabit mungkin berlaku secara kebetulan," kata Ahli Biologi Ubur-ubur dan Saintis Marin Makmal Laut Pulau Dauphin, Perairan Teluk Alabama, Amerika Syarikat (AS), Monty Graham.

Dia berkata, terdapat puluhan kes ubur-ubur menyebabkan penutupan sebahagian atau sepenuhnya loji tenaga di kawasan pantai sejak beberapa dekad lalu termasuk penutupan loji memproses air laut.

Seorang saintis Institut Penyelidikan Akuarium Teluk Monterrey, Steve Haddock, berkata, sebuah loji tenaga di Australia ditutup akibat serangan ubur-ubur lama dahulu iaitu pada tahun 1937.

Semua kejadian itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana semua loji tenaga berkenaan menyedut air dari lautan dan ia telah dilengkapi peralatan penapisan berfungsi untuk menyingkirkan ubur-ubur dan serpihan lain.


UBUR-UBUR yang penuh dalam tong pengumpul dipindahkan ke dalam tangki yang lebih besar untuk tujuan pelupusan.


"Cuma apabila terdapat bilangan besar ubur-ubur disedut ia akan menyebabkan alat penapisan itu tersumbat," kata Graham pada laman berita sains, Life's Little Mysteries.

Musim membiak

Peningkatan mendadak bilangan ubur-ubur berlaku dalam musim bunga dan panas menjawab persoalan mengenai insiden penutupan tiga loji tenaga baru-baru ini berlaku dalam jangka masa yang singkat.

Perubahan iklim global juga mungkin menyumbang kepada peningkatan bilangan ubur-ubur di berbanding sebelumnya sekali gus menyebabkan letusan populasi ubur-ubur di seluruh dunia.

Bagaimanapun, para saintis masih belum dapat mengesahkan fenomena tersebut kerana kajian untuk mengesan populasi ubur-ubur masih baharu.

"Di beberapa tempat, terdapat berlaku peningkatan populasi secara dramatik sejak beberapa dekad lalu tetapi secara keseluruhan ia masih belum cukup untuk diklasifikasikan sebagai satu trend.

"Kami masih belum mempunyai data mencukupi kerana kajian melibatkan ubur-ubur ini memerlukan masa yang panjang," kata Graham.

Seorang ahli biologi ubur-ubur Universiti Washington, Claudia Mills, bagaimanapun mengatakan terdapat beberapa kes tempatan yang direkodkan mengenai peningkatan ubur-ubur.

Sebagai contoh, satu spesies ubur-ubur penceroboh tersebar di Laut Mediterranean sejak beberapa dekad lalu dan mungkin menjadi penyebab kepada insiden di Israel.

Bagaimanapun, Mills memberitahu, kebimbangan mengenai peningkatan bilangan ubur-ubur pada skala besar mungkin telah diperbesar-besarkan.


SEORANg pekerja mengangkat ubur-ubur yang tersumbat pada sistem pendingin air laut menggunakan alat khas.


"Kami tidak tahu apa yang berlaku kepada populasi ubur-ubur di kebanyakan kawasan di dunia," katanya dalam satu e-mel.

Arus panas

Sebahagian penyelidik mengesyaki bahawa populasi ubur-ubur meningkat kerana ia mudah hidup di laut bersuhu panas.

"Populasi ubur-ubur meningkat dan menurun bersama perubahan iklim. Justeru tidak sukar untuk merumuskan secara munasabah bahawa jika iklim berubah dalam jangka masa panjang kita akan melihat perubahan dalam bilangan ubur-ubur," kata Graham.

Dia sedang melakukan kajian untuk menyiasat tentang bilangan ubur-ubur yang meningkat secara global dan punca ia terjadi.

Terdapat juga kemungkinan bilangan insiden ubur-ubur merosakkan loji kuasa nuklear disebabkan peningkatan bilangan loji berkenaan.

Namun begitu, tidak sukar untuk membaiki kerosakan yang dialami loji-loji tersebut.

"Loji-loji kuasa mengalami masalah besar cuma sekali-sekala dan apabila pihak pengurusan mendapati kos membaiki tinggi mereka akan memperkenalkan langkah-langkah pencegahan," ujarnya.

Antaranya termasuk pemasangan alat penapis tambahan dan sistem buih jet yang boleh mengapungkan ubur-ubur ke permukaan sebelum ia dibuang.

"Dalam sesetengah kes, pengendali loji-loji itu akan cuma memantau kehadiran ubur-ubur dan menutup loji mereka jika mengesan terdapat populasi yang banyak," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: