|
|
MALAM itu hampir tiga ribu peminat memenuhi Stadium Perpaduan, Petra Jaya Sarawak. Mungkin bilangan itu tidak sebesar mana jika mahu dibandingkan dengan konsert-konsert yang lain tetapi jumlah itu sudah cukup menggembirakan Aizat melihatkan peminat memenuhi stadium tertutup tersebut.
Ini bukan konsert percuma. Sesiapa yang mahu menyaksikan dia menyanyi perlu membayar harga tiket untuk masuk. Jadi angka tiga ribu itu cukup memuaskan hati biarpun sepatutnya masih ramai lagi yang harus turut serta dalam konsert yang cukup eksklusif ini.
Tidak pernah wujud rasa puas hati dalam diri Aizat, dia bersyukur dengan apa yang ada. Baginya peminat-peminat di kawasan Kuching dan sekitar cukup hebat memberikan sokongan yang tak berbelah bahagi padanya sejak awal kemunculan dulu.
Buktinya, pada malam minggu yang lalu, sebilangan besar peminat yang hadir cukup melekat di depan pentas lebih dua jam dek kerana mahu menyaksikan penyanyi yang cukup popular dengan lagu Kau Aku itu beraksi.
Hampir 20 buah lagu yang diperdengarkan kepada peminat yang turut diiringi oleh band pengiring cukup untuk membuktikan kehebatan mereka sebagai sebuah kumpulan. Semuanya dilunaskan dengan baik dengan diiringi sembilan pemuzik dan penyanyi latar yang pernah terlibat dalam pembikinan album kedua penyanyi ini.
“Aizat sebenarnya risau juga beberapa hari sebelum konsert. Dalam kepala asyik terfikir ada tak orang nak datang tengok konsert ini memandangkan ini pertama kali Aizat menjelajah Borneo untuk konsert sendiri.’
“Tapi bila lihat sambutan yang diterima pada malam konsert, ramai juga yang datang. Ini memang peminat Aizat. Kalau mereka sanggup bayar tiket semata-mata nak tengok Aizat, itu memang hebat.
“Jadi semangat tu datang balik bila lihat orang dah penuh depan pentas. Ini memang pengalaman baru memandangkan sebelum ini tak pernah terjadi lagi pada Aizat.
“Dulu masa buat di Damansara, tempat tu kecil dan memang nampak penuh dengan peminat. Ini kali pertama Aizat buat dalam stadium dan memang satu pencapaian yang cukup hebat,” ujar Aizat ketika ditemui selepas konsert tersebut berlangsung.
Dalam konsert yang berlangsung dua jam setengah itu Aizat mendendangkan lagu-lagu popular yang dipetik daripada album pertama dan kedua penyanyi berkenaan.
Antara lagu yang didendangkan termasuklah Teka Silang Kata, Sungai Lui, Kau Aku, Hanya Kau Yang Mampu, Pergi, Erti Hari Ini dan banyak lagi.
Tidak keseorangan di pentas, artis-artis lain yang membuat persembahan pada konsert Aizat Borneo Tour itu termasuklah kumpulan Masterpiece yang juga merupakan artis tempatan, Amir Jahari (artis pertama Kasi Gegar Entertainment), Altimet dan DJ Fuzz.
Tidak mahu terus terbuai dalam emosi sendiri, Aizat sedar masih banyak perkara yang perlu dilakukan selepas ini untuk terus maju dalam bidang seni.
Biarpun apa yang dirancang menjadi nyata, itu tidak bermakna dia puas hati dengan segalanya. Jelas Aizat masih banyak perkara baru yang perlu diteroka sedangkan jalan itu tidak semudah mana.
“Masih banyak benda yang Aizat nak buat. Selepas Kuching, Aizat anak ke Kota Kinabalu, Sabah pula. Selepas itu? Ini yang perlu Aizat fikir. Banyak sebenarnya perancangan yang Aizat kena lakukan selepas raya nanti.
“Hajatnya memang nak buat konsert di seluruh semenanjung . Kalau tidak pergi ke setiap negeri sekalipun Aizat sasarkan akan mengadakan konsert di bahagian Utara, Selatan dan Timur Malaysia. Cari lokasi di sana dan teruskan apa impian Aizat.
“Kalau duduk sambil tunggu peluang memang susah. Jadi kena usaha untuk terus cari peluang jumpa peminat di seluruh Malaysia. Aizat tahu mereka banyak bagi sokongan selama ini. Ini cara untuk Aizat balas balik budi mereka,” jelas Aizat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: