|
|
Melihat penampilannya yang ceria pasti ada yang membuat andaian anak muda bernama Sobhan Iman Norman ini baru berusia belasan tahun. Hakikatnya dia sudah mencecah usia 24 tahun.
Iman juga sudah mula memasuki dunia pekerjaaan dengan membantu bapanya menguruskan sebuah syarikat berkaitan pembinaan selepas tamat pengajian peringkat diploma dalam bidang pembinaan.
"Saya tak tahu nak kata ia sebagai kelebihan atau kekurangan, tapi bagi saya apa yang membuatkan seseorang dewasa ialah daripada pekerjaannya, pergaulan dan bagaimana berkomunikasi dengan seseorang," kata Iman kepada Pancaindera.
Dia akui personalitinya kadang-kadang nampak macam suka main-main dan tidak memandang serius satu-satu perkara, namun apabila masuk bab kerja dia melakukan dengan bersungguh-sungguh. Sebab itu rutin hariannya juga kelihatan sibuk.
Temubual yang dirancang dengannya minggu lalu terpaksa ditangguhkan sebab banyak perkara yang mahu diselesaikannya terlebih dahulu. Iman juga serius dalam bidang seni yang sedang diceburinya.
Wajah kacukan Melayu Johor sebelah bapa dan Iran sebelah ibunya membuatkan Iman kelihatan berbeza. Semasa ke Iran, dia nampak asing kerana tiada wajah persis anak muda Iran.
Malah bila balik ke kampung bapanya di Bakri, Muar juga, dia juga nampak berbeza berbanding saudara-mara lain. Namun wajah berbeza itulah yang memberi kelebihan kepadanya bila menyertai bidang peragaan.
"Sebenarnya wajah saya pernah menghiasi iklan cetak sejak berusia dua tahun lagi. Ibu saya membawa saya apabila ada pihak yang tertarik dengan saya untuk kempen pos laju. Semasa dalam darjah dua saya muncul dalam iklan produk majerin.
"Tapi selepas itu saya rasa malu pula untuk terlibat dalam peragaan. Ada tawaran tapi saya segan melihat wajah saya dalam iklan. Semasa mula masuk kolej barulah saya kembali berminat.
"Itupun saya fikir mahu membuat peragaan untuk mendapatkan wang saku sendiri sambil belajar. Sejak kembali dalam peragaan sekitar tahun 2008 sehingga sekarang banyak juga tawaran yang saya terima," kata Iman yang dilihat dalam iklan terbaru restoran makanan segera popular dan banyak iklan lagi.
Iman juga pernah berlakon teater berjudul Bear In Pawn Shop di KL Pac tahun lalu. Dia belajar teater dengan aktivis teater terkemuka Joe Hasham. Daripada situlah dia berpeluang muncul di pentas teater.
"Saya memang meminati teater dan saya seronok dapat peluang berlakon teater. Tapi sekarang saya sibuk dengan kerja. Saya harap saya dapat membahagikan masa bekerja dan terlibat dalam bidang seni.
"Saya ada juga menjalani uji bakat berlakon drama Melayu, tapi saya gagal kerana pertuturan bahasa Melayu saya agak pelat. Saya fasih berbahasa Melayu, tapi bunyinya pelat.
"Saya akan berusaha memperbaiki pertuturan saya. Saya yakin kalau saya kerap balik kampung di Muar, saya akan dapat memperbaiki pertuturan saya sedikit demi sedikit," kata Iman.
Dia akui keluarganya banyak bertutur dalam Bahasa Inggeris semasa di rumah. Malah ibu dan bapanya juga berjumpa semasa sama-sama belajar di luar negara.
"Saya juga boleh bercakap bahasa Parsi sebab semasa kecil pernah membesar di Iran. Malah datuk dan nenek saya juga tinggal di Malaysia sebelum mereka meninggal dunia," jelas Iman.
Sementara itu Iman ada hasrat untuk menyambung pengajian peringkat ijazah dalam bidang pembangunan inviromental. Dia sedang mencari universiti terbaik yang menawarkan kursus sedemikian.
"Saya sedang mencari tempat untuk menyambung pengajian. Saya nampak negara Skandinavia menawarkan kursus terbaik dalam bidang ini," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: