MEMPUNYAI tiket sebagai anak kepada seorang selebriti, bukan semudah yang disangka oleh pemilik nama Syakila Nisha Jangir Khan atau lebih dikenali sebagai Kilafairy.
Belum pun mengukir nama sebagai anak seni, anak kepada penyanyi popular 1980-an, Rohana Jalil ini telah dikenali dengan tempias-tempias gosip.
Namanya masyhur sebaris dengan artis popular tanah air yang sudah bertahun-tahun mengukir nama di pentas seni.Mungkin disebabkan pakej lengkap yang dimiliki gadis kacukan ini membuatkan ramai yang cemburu dengannya.
Katanya, selepas kejayaan filem sulung Karak yang baru habis ditayangkan di pawagam bulan lalu mendapat kutipan ‘Box Office’, dia berasa sungguh lega dan puas.
Biarpun dibenci kerana watak gedik yang dimainkan dalam filem tersebut, namun dia berjaya membuktikan bakat yang ada bukan hanya bersandarkan kepada populariti dan kejelitaan yang dimiliki semata-mata.
“Alhamdulillah semua yang diaturkan dalam kerjaya saya setakat ini berjalan dengan lancar. Apa yang paling saya puas dan lega ialah dapat membuktikan bakat saya kepada masyarakat.
“Saya tidak mahu lagi masyarakat mempersoalkan bakat berbanding pelbagai cerita buruk tentang saya. Sekarang terpulang kepada mereka untuk menyukai saya atau tidak,” katanya.
Kini, misi seterusnya adalah menyusun langkah meneruskan perjalanan kerjaya seni. Dia juga perlu membahagikan masa dengan pelajaran kerana menuntut dalam jurusan Fesyen, Pemasaran dan Pengurusan di Raffles International College, Kuala Lumpur.
“Selepas Karak saya akan membintangi filem Muzikal Horey Horey terbitan Tayangan Unggul, filem tersebut bakal ditayangkan pada tahun hadapan.
“Memang banyak tawaran yang datang terutamanya untuk membintangi drama tetapi saya terpaksa menolak kerana masa bertindan dengan kelas saya,” ujar gadis tinggi lampai ini.
Penat dengan isu botox
Kecantikan anak kacukan Melayu-Pakistan berusia 19 tahun ini sering dijadikan sasaran kepadanya untuk dikaitkan dengan kontroversi buruk.
Selepas digosipkan dengan pengarah muda Yusry Abdul Halim, dia juga dikatakan memiliki kecantikan palsu iaitu dengan menggunakan suntikan botox dan melakukan pembedahan plastik.
“Saya sudah malas untuk menerangkan perkara ini, ia adalah pemberian Allah dan saya tidak pernah melakukan apa-apa perubahan pada wajah dan badan saya.
“Saya hanya menggunakan teknik solekan untuk nampak cantik terutamanya di bahagian bibir serta rahang dan bukan pembedahan atau suntikan seperti yang dihebohkan segelintir pihak.
“Apa yang mereka bandingkan ialah gambar saya ketika masih kecil dengan gambar saya sekarang memanglah banyak perbezaan,” katanya kesal.
Tambah Kila, dia sudah penat dan tidak mahu melayan isu remeh temeh yang akhirnya tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada dirinya.
“Apa yang lebih penting keluarga saya mengenali siapa saya sebenarnya, saya mahu kekal dalam industri ini berlandaskan bakat yang ada dan bukan kecantikan yang saya miliki,” katanya.
Tolak godaan VIP
Seperti artis jelita lain, Kila akui dia turut menerima godaan para VIP untuk mendekati dan mengenali dirinya dengan lebih rapat.
Katanya, gangguan yang diterima melalui pesanan ringkas (SMS) yang mengakui dirinya sebagai seseorang yang dikenali dan mempelawanya keluar biarpun tidak pernah mengenali mereka.
Bagaimanapun, katanya sejak melangkah kaki ke industri ini dia sudah diberi peringatan dan nasihat secukupnya oleh kedua-dua ibu bapa agar cuba mengawal keadaan tersebut.
“Bohonglah kalau saya kata tidak kerana perkara itu adalah lumrah, sebagai seorang yang dikenali pasti ada yang ingin mengenal kita dengan lebih rapat.
“Tapi sebagai seorang yang sudah mampu berfikir, ditambah mempunyai latar belakang keluarga yang tahu selok-belok dunia seni ini saya diberi banyak nasihat daripada keluarga.
“Kalau kita tidak mahu dan tidak melayan perkara itu, ia pasti tidak akan menjadi,” katanya ringkas.
Buka butik pakaian
Biarpun baru berjinak dalam industri hiburan, Kila sudah pun menyediakan payung sebelum hujan.
Dia kini sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan baju dan fesyen wanita.
“Saya dalam proses untuk membuka sebuah butik pakaian wanita. Semuanya sudah sedia tetapi kedai tersebut masih lagi sedang diubah suai.
“Insya-Allah ia akan dibuka dalam masa terdekat ini di sebuah kompleks membeli belah baru di Subang Jaya, Selangor,” tuturnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: