Tuesday, July 12, 2011

Kerja keras ECX berbaloi


ECX bersama trofi kejuaraan Showdown 2011 .


RABU lalu, program realiti pencarian krew tarian terbaik terbitan 8TV, Showdown 2011 telah melabuhkan tirai untuk musim kedua penerbitannya.

Kali ini, Elecoldxhot (ECX) dinobatkan sebagai juara dengan mengetepikan tiga saingan lain iaitu HMC Phlow (HMC), Bounce Stepperz (BOS) dan Rokusteps (RKS).

Selaku juara, ECX membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi.

Selain itu, ECX juga menerima hadiah sampingan berupa langganan jalur lebar percuma Maxis untuk setiap ahlinya yang terdiri daripada Oii Kok Wei (Dennis), Yin Zhen Huang, Yap Jin Hou, Ang Joo Yee dan Lin Yit Zhou.

Mewakili ECX, Dennis yang ditemui pada sidang akhbar sejurus program tersebut tamat berkata, setiap ahli kumpulannya terpaksa memerah idea bagi memastikan persembahan yang ditampilkan mampu menarik minat dan menghiburkan penonton.

"Kumpulan lain sangat kompetitif. Mereka langsung tidak memberi peluang untuk kami berehat.

"Kami kena sentiasa fikir bagaimanakah caranya untuk menyajikan sesuatu yang kreatif dan berbeza berbanding dengan kumpulan lain.

"Itulah yang membakar semangat kami untuk melakukan latihan supaya persembahan kumpulan kami, mantap dan hebat," katanya yang juga naib juara program realiti So You Think You Can Dance musim pertama.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Stesen Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.

Walaupun ahli kumpulan rap Too Phat iaitu Joe Flizzow dan koreografer terkenal, Maple Loo bertindak sebagai juri dan pengkritik tetap program realiti tersebut, namun keputusan pada malam itu tidak terletak di tangan kedua-dua selebriti itu.

Sebaliknya, setiap keputusan ditentukan menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton.

Sementara itu, mengulas mengenai persembahan yang dipamerkan pada gelanggang akhir Showdown 2011 Joe berkata, kemenangan ECX sudah dijangka sejak awal lagi memandangkan mereka tidak pernah terperosok di tangga empat terbawah.

Malah, setiap aksi tarian yang dipersembahkan sepanjang 13 minggu Showdown 2011 disiarkan tidak pernah mengecewakan audiens mahupun juri.

Selaku juri, Joe memuji persembahan ECX yang memberikan satu persembahan yang menakjubkan.

"Mereka begitu teliti dengan setiap pergerakan yang sangat kemas, teratur serta luar biasa.

"Walaupun tidak diselitkan dengan sebarang gimik, tarian mereka sahaja sudah mengkagumkan saya, Maple dan penonton," komen Joe ringkas.

Dalam pada itu, walaupun percubaan kedua kumpulan HMC menyertai Showdown tidak membawa kemenangan, mereka tetap bersyukur kerana diberi kesempatan bersaing di pentas akhir.

Ketua kumpulan HMC, Faruq mengakui, kekecewaan kali ini lebih besar berbanding tahun lalu memandangkan perbezaan markah mereka tidak jauh daripada ECX.

"Tahun lalu, kami tersingkir sebelum episod akhir. Tetapi kali ini kami hanya berada satu tangga sahaja di bawah ECX.

"Bagaimanapun, ECX memang hebat dan terbaik. Mereka layak bergelar juara dan kami masih perlu mempertingkatkan lagi kemahiran tarian kami.

"Apa pun, kami sudah lakukan yang terbaik," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: