|
|
JELITAWAN ini punya alasan sendiri untuk mengunci mulut tatkala persoalan menyentuh isu peribadi dibangkitkan. Pasti dia akan memberikan senyuman sebagai ganti jawapan. Sebab itu, wanita ini tetap tidak berganjak dari keputusannya.
Biarpun diasak beberapa kali untuk mengorek cerita dirinya, namun dia tetap tersenyum lawa. Bahasa badan yang diberikan memberi penunjuk kurang selesa. ‘Amaran’ kecil meminta agar segera menamatkan usaha mencungkil cerita sisi personalnya.
“Maaf ye, saya tak selesa untuk menjawab sebarang persoalan berbentuk peribadi. Kalau perkara lain boleh saja,” jujur aktres Maria Farida pada pertemuan di Kelab Saujana Golf Subang, Selangor baru-baru ini.
Baginya, perihal diri merupakan isu sensitif. Ia amat dititik beratkan kerana itu adalah satu-satu ruang memisahkan antara dunia glamor dengan lingkup dirinya. Menerusi lingkungan itu juga Maria boleh bernafas normal. Mampu menjalani kehidupan sebagai individu biasa di atas bumi ini.
Tidak boleh membayangkan andai soal kerjaya dan peribadi dicampuradukkan. Pasti seluruh kehidupannya kucar kacir apabila tiada fokus.
“Jangan salah tafsir apabila saya enggan membuka cerita peribadi. Sebenarnya, saya bimbang kalau-kalau disalah erti yang kemudiannya merebak menjadi spekulasi. Lebih teruk kalau diperpanjangkan sampai tidak mampu dikawal.
“Sebab itu lebih baik jangan bangkitkan soal personal. Itu adalah lebih baik berbanding membesar-besarkan benda yang tak betul,” jelasnya menerangkan terperinci tentang keengganannya untuk mengulas perkara yang satu itu.
Meskipun begitu, Maria akui bahawa asam garam kehidupan seorang artis tidak terlepas dari bercerita tentang soal peribadi. Walau bagaimanapun, dia nekad untuk ‘menghentikan’ soal berkenaan.
“Saya sudah berkecimpung dalam dunia lakonan lebih 20 tahun lamanya. Saya lalui pelbagai rentetan peristiwa dan mempelajari banyak benda. Saya tahu apa yang disukai oleh orang tempatan kita atau mana yang boleh mengundang rasa jengkel.
“Sebab itu, saya tak mahu lagi menimbulkan perkara yang boleh menyebabkan orang salah anggap terhadap saya. Tambahan pula kerjaya sebagai anak seni banyak mendedahkan diri dengan persepsi negatif di kalangan masyarakat,” dedahnya tentang apa yang dirasai tatkala ini.
Tambahan pula dengan memikul status ibu tunggal menyebabkan dirinya terdedah dengan pelbagai cerita kurang manis. Bergelar wanita belum bersuami sedikit sebanyak memberi ‘ancaman’ kepada dirinya.
Disebabkan kedudukannya itu, pelbagai cemuhan diterima daripada pihak yang tak pernah dikenalinya. Mengaitkan dirinya dengan cerita kisah masa silamnya.
“Saya seorang yang penyabar. Disebabkan itu, saya tak suka membesar-besarkan perkara kecil. Tapi selalunya, kesabaran saya ini sering jadi bahan mainan.
“Sebab sesiapapun tak gemar kalau namanya berterusan dikaitkan dengan cerita masa silam. Tapi jangan hairan apabila saya boleh bertindak lebih jauh. Mengheret mana-mana persoalan yang membengangkan fikiran kepada tindakan undang-undang,” amaran wanita ini.
Cukup berani
Ditanya tentang ‘keberanian’ pelakon sitkom Agen 44 & 88 ini yang siap untuk memperjuangkan maruah diri andai ada pihak yang sengaja mempermainkan namanya, tegas Maria, sememangnya dia tidak kompromi soal tersebut.
Sebagai perisai utama, Maria kini mengambil pendekatan berhati-hati. Dia tidak mahu ‘bersemuka’ lagi dengan individu yang pandai bermuka-muka di hadapannya.
Apatah buat mana-mana individu yang secara terang-terangan mengambil kesempatan terhadap dirinya.
“Saya ada pengalaman bertemu dengan individu yang sengaja menggunakan keupayaan saya untuk pergi lebih jauh. Menumpang populariti diri kita sendiri untuk tujuan diri sendiri. Tidak kiralah sama ada lelaki atau perempuan. Jenis macam ini sudah lenyap dalam kehidupan saya. Cukup-cukuplah.
“Sebab itu, saya memilih untuk kekalkan persahabatan dengan rakan-rakan sedia ada. Saya percaya bahawa orang yang paling dekat dengan kita lebih jujur berbanding dengan orang yang baru setahun dua mengenalinya,” katanya jujur.
Ditanya signifikan tentang pandangan peribadinya itu dengan situasi yang sedang dialami sekarang, wanita ini menyifatkan bahawa itu sekadar pemerhatian sahaja.
Pelakon drama rantaian Astana Impian terbitan Astro dan Small Fries Pictures ini juga tidak merujuk mana-mana pihak. Apa yang dilaluinya itu sekadar pengalaman hidup sebagai figura awam semata-mata.
Berbunga bahagia
Menyentuh tentang kehidupan harian merubah wajah ibu Mizan Ashley, 14, ini. Wanita berkulit putih ini dilihat cukup riang tatkala menyentuh soal aktiviti terkini.
Katanya, hatinya kini cukup tenang tanpa sebarang permasalahan. Lebih bahagia selepas pulang dari bercuti selama 10 hari di kota Paris, London dan Abu Dhabi pada awal Jun lalu.
“Alhamdulillah, percutian kali ini cukup bermakna. Saya bersama rakan-rakan terdekat menghabiskan masa bersama. Kami berborak dan berkongsi cerita tentang kehidupan harian.
“Langsung tidak memikirkan soal kerja atau permasalahan apa jua. Itu yang menjadikan saya cukup gembira sekarang ini,” katanya membius bahagia.
Mengusik persoalan sama ada kebahagiaan yang dikecapi dikaitkan dengan kehadiran insan istimewa di hatinya tatkala, perlahan-lahan wanita ini menafikan.
Katanya, perkara tersebut tidak berhubung langsung. Apa yang lebih penting dengan kehadiran keluarga yang cukup memahami dan menyokong apa juga yang dilakukan.
“Cukuplah saya mengatakan bahawa sekarang saya berada dalam fasa bahagia. Sedang dalam situasi tenang,” katanya yang tetap enggan berkongsi punca kebahagiaan yang diraih itu.
Bukan kosmetik
Pelakon drama keluarga berjudul Pesona Kasih untuk siaran RTM ini turut mengakui bahawa dia kurang muncul di mana-mana penerbitan majalah atau akhbar sejak akhir-akhir ini. Alasannya, dia tak mahu dilabel sebagai artis ‘majalah’.
“Ada banyak artis majalah ketika ini. Semuanya keluar dengan macam-macam cerita. Ada yang buat gimik murahan. Walaupun hasil kerjanya tak seberapa. Orang sekarang pun sudah pandai menilai.
“Ada juga yang bermekap habis-habisan. Sedangkan sebenarnya mekap tidak membuatkan seseorang itu lebih lawa. Pokok pangkalnya terletak pada kecantikan dalaman.
“Saya tabik kepada artis seperti Farahdhiya, Fazura mahupun Fasha Sandha yang punya bakat yang begitu memberangsangkan. Di samping cerita sampingan mereka yang disiarkan, ada hasil kerja yang bagus di televisyen,” ceritanya.
Melihat fenomena berkenaan, menyebabkan bintang filem Bisikan Cinta ini berkira-kira sebelum menghadiri fotografi. Bimbang andai wujud persepsi seperti itu.
Wanita besi
Walaupun secara fizikal, Maria dilihat seperti wanita lembut. Tapi sebenarnya, dia adalah individu gemarkan aktiviti mencabar. Antara kegiatan yang disertai adalah selam skuba, menembak dan menunggang kuda.
“Nampak saja saya seperti wanita sofistikated. Tapi sebenarnya, jiwa saya penuh agresif. Jangan nilai buku itu pada kulitnya sahaja sebab apa yang dilihat pada luaran saya ternyata berbeza dengan dalaman.
“Jika ada masa lapang sekali pun, saya pasti tak akan lepaskan peluang untuk melakukan aktiviti kegemaran saya itu,” katanya menguntum senyuman.
Semua aktiviti wanita ini boleh diketahui menerusi laman sosial Facebook miliknya iaitu di www.facebook.com/mariafaridafc atau di mengikuti perkembangan hariannnya di Twitter iaitu @mariafarida.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: