Sunday, July 10, 2011

MyiPO hangat perjuang hak artis


Barisan panel dari kiri, Abu Hasan (pengerusi), Diana Danielle, Aizat, Ziana Zain dan Amy Search.


MENGANGKAT tema Pertahankan Hak, Perkukuhkan Seni Melalui Perlindungan Hak Harta Intelek, Simposium Hari Suara Bintang Kosmo!-MyiPO yang diadakan Selasa lalu di Hotel Doubletree, Kuala Lumpur berlangsung dalam suasana yang cukup hangat.

Respons yang diterima dari 500 individu bergelar artis melalui MyiPO tempoh hari begitu positif.

Ini merupakan sesuatu yang wajar dipuji. Baik pelakon, penyanyi, pelawak, penulis lirik mahupun komposer, kesemua mereka bergabung di dalam satu simposium demi mencari haluan dalam perjuangan hak intelek mereka.

Hasil pemerhatian, kebanyakan isu yang diketengahkan terarah kepada soal royalti, cetak rompak, plagiat dalam karya serta isu muat turun lagu secara percuma.

Kalau difikir-fikir, masalah-masalah ini umpama sudah basi untuk dilontarkan. Bukan apa, seakan sudah menjadi satu trend, dari tahun ke tahun, artis-artis kita sering menggendeng masalah yang sama sehingga ia memuakkan banyak telinga yang mendengarnya.

Tapi harus anda ingat. Muak atau tidak, ia bukan menjadi satu kesalahan buat golongan artis untuk menyuarakan pendapat mereka.

Anda harus ingat, mereka juga punya hak untuk berbuat demikian.

Apalagi selepas jalan penyelesaian tidak pernah ditemui walau sudah beratus-ratus sesi dialog, simposium mahupun mesyuarat kecilan diadakan bagi membincangkan segala yang terbuku.

Lebih malang, meski Akta Hak Cipta telah diwujudkan sejak 24 tahun lalu, ia seolah-olah belum kebal untuk melindungi hak-hak golongan karyawan.

Dengan kata lebih mudah, adakah akta itu benar-benar memperlihatkan fungsinya?

Lalu, kesemua rasa tidak puas hati yang dipendam selama ini dicurahkan secara terus kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sudi ‘meminjamkan’ telinga untuk mendengar keluhan karyawan seni tanah air dalam majlis itu.

Selain Amy Search, Ziana Zain, Diana Danielle dan Aizat yang mewakili golongan artis, ahli panel simposium turut disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah MyIPO, Mohd. Shahar Osman serta peguam badan berkenaan, Hidayatul Marikah.

Forum ini dipengerusikan oleh Professor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah.

Amy Search, ketika membentangkan pendapat sebagai antara panel jemputan meluahkan rasa kecewanya apabila kreativiti golongan karyawan dianggap murah oleh sesetengah pihak.

Malah, ia juga menjawab kepada persoalan mengapa rata-rata penyanyi sepertinya masih ada yang menerima bayaran pada kadar rendah walau sudah puluhan tahun mencipta nama dalam bidang seni.

“Bayaran yang tidak setimpal terhadap artis masih lagi berlaku dalam industri walau seseorang artis itu sudah lama berkecimpung di dalamnya. Ini yang saya kesal.

“Satu lagi hal cetak rompak. Ceritalah berapa banyak masalah pun mengenainya, berdialog dan bertegang leher suarakan hak, tapi tak pernah nampak pun hasilnya.

“Bayangkan kalau lagu-lagu yang saya nyanyikan selama ini tidak dicetak rompak, saya mungkin mampu menerima royalti sehingga RM15 juta atau mungkin lebih,” katanya.

Masih dalam radar isu yang sama, panel kedua iaitu Ziana Zain turut memanjangkan pandangannya supaya golongan artis hanya diwakili oleh sebuah badan atau persatuan sahaja.

Menurut penyanyi ini, di bawah penubuhan sebuah persatuan, ia juga boleh menyaksikan kesepaduan golongan artis untuk bersatu.

“Saya lihat lebih mudah jika artis diwakili hanya satu badan atau persatuan. Selama ini, terlalu banyak yang mahu mewakili artis tetapi apabila tiba waktunya, tiada tindakan daripada mereka.

“Semua orang mahu bercakap. Industri kita dah macam pasar malam sedangkan artis berdiri sebagai satu jenama. Bila dah ada jenama, maka kami ada harga.

“Saya pun dah penat nak cakap pasal hak artis terutama isu royalti. Sebab sampai sekarang tak ada jalan penyelesaian,” katanya.

Sementara itu, penekanan mengenai hak saraan seseorang artis juga menjadi agenda utama yang diutarakan oleh pelakon Diana Danielle.

Menurut Diana, hak saraan dilihat wajar memandangkan ia mampu memberi jaminan masa depan bagi seseorang artis tersebut.

“Kami tak ada skim simpanan wang pekerja (KWSP) sebagaimana pekerja lain. Hak saraan membolehkan kami menikmati ganjaran melalui produk yang menggunakan khidmat kami yang terus ditayang berulang-ulang.

“Bukan bersikap jual mahal, tetapi ini adalah satu jaminan buat kami daripada terus membiarkan hanya pihak produksi yang mengaut untung,” ujarnya.

Selain itu, Diana juga turut mengutarakan cadangan supaya pihak produksi menyediakan insurans sebagai perlindungan kepada semua pelakon.

Bertindak sebagai panel keempat, Aizat pula dilihat bersemangat membentang hujah agar semua artis tahu kedudukan masing-masing selain berusaha meningkatkan pemahaman dalam isu hak sendiri.

“Sebelum kita memohon pihak lain untuk membantu, sepatutnya kita kaji semula tahap profesionalisme dan tahap kesedaran kita mengenai hak sendiri.

“Saya tak menolak, ada di antara artis kita yang tak tahu hak mereka sebagai pelaku seni.

“Sebagai contoh, semasa menandatangani sesebuah kontrak, kita harus memahami dahulu kontrak tersebut dan jangan terburu-buru menandatanganinya.

“Bila tak puas hati di kemudian hari agak susah untuk diperbaiki sebab kesilapan telah dibuat sejak awal. Sebab itu jangan pandang remeh soal ini,” katanya.

Sementara itu dalam sesi soal jawab, penyanyi Jamal Abdillah tampil sebagai orang pertama mencadangkan supaya kerajaan bertindak tegas terhadap individu yang terlibat menjual album cetak rompak.

Menurutnya, dia yang mewakili ratusan artis lain juga berbesar hati sekiranya pihak KPDNKK mampu membawa isu ini ke Parlimen untuk tindakan selanjutnya.

Menghangatkan seisi dewan melalui cadangannya, penyanyi Ifa Raziah memohon supaya perhatian diberikan kepada soal bayaran artis dan wajar diselaraskan sama ada untuk persembahan pentas atau melibatkan produksi stesen televisyen.

“Saya cadangkan minima bayaran dikenakan sebanyak RM1,000 untuk seorang artis bagi satu persembahan. Ini boleh membantu golongan artis yang kurang popular untuk terus mencari rezeki dalam bidang ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Harun Salim Bachik ketika ditemui Pancaindera memberitahu MyiPO dilihat bukan platform sesuai untuk menggabungkan kesemua artis dalam satu masa yang sama.

Ini kerana, katanya, penyanyi dan pelakon merupakan dua profesion yang berbeza dan MyiPO dilihat hanya membentangkan manfaat dengan memfokuskan bidang nyanyian sahaja.

“Apa yang dibentangkan saya lihat memang bagus. Tapi 95 peratus daripadanya hanya berpihak kepada penyanyi. Bagaimana pula dengan golongan pelakon?

“Kami juga perlukan satu resolusi berhubung penggunaan sesebuah produk yang sering diulang tayang.

“Kita mahu pastikan yang pelakon-pelakon dapat hak masing-masing hasil produk yang diulang tayang.

“Saya cadangkan, bayaran patut dibuat dalam tempoh dua atau tiga tahun selepas penayangan semula itu dan ia diwajibkan,” katanya.

Bagi pelakon Hafiz Nafiah, dia cuma mengharapkan apa yang dibentangkan dalam simposium itu mampu direalisasikan dan tidak hanya menjadi bualan kosong.

“Sebagai artis, saya harap kerajaan akan bagi respons segera mengenai isu ini sebab dah lama sangat dah kami pendam. Ini bukan masanya untuk mengadu namun apa yang kami mahu cuma jalan penyelesaian.

“Saya yakin, sekiranya kerajaan campur tangan, masalah yang telah sekian lama kami tanggung ini mampu diatasi,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: