Saturday, July 23, 2011

Keasyikan Capetown


PUNCAK Table Mountain yang dihubungkan dengan kereta kabel.


Tarikan utama termasuk tanjung tinggi Cape Point, Tebingan Cape Town, Taman Botanik Kirstenbosch, Pulau Robben dan destinasi tersohor, Table Mountain yang terletak tidak jauh dari pusat bandar.

Tanpa perlu mengembara jauh, kunjungan ke tempat-tempat menarik boleh dilakukan dengan mendapatkan pakej lawatan berpandu atau dengan menyewa sendiri kenderaan.

Pilihan penginapan di Cape Town pula boleh didapati daripada barisan hotel lima bintang hinggalah asrama backpackers yang murah. Kebanyakannya juga menyediakan penginapan dengan pemandangan yang menarik.

Selain keindahan bentuk muka bumi di daratan, kota kedua paling padat di negara itu juga dikenali dengan keunikan 'menu' yang menanti di perairannya seperti lokasi melihat ikan paus, selaman jerung di dalam sangkar dan penguin.

Bagi yang tiba di Cape Town, tarikan pertama yang mungkin disedari adalah Table Mountain yang juga merupakan tarikan utama di situ. Bahkan, percutian di Cape Town tidak lengkap jika tidak menjejakkan kaki ke puncaknya.

Gunung setinggi 1,086 meter yang mengadap Teluk Afrika itu dinamakan Table Mountain kerana puncak yang rata dan berbentuk seperti sebuah meja. Sama sekali berbeza dengan mana-mana gunung yang ada di dunia.

Penara yang diapit oleh Devil's Peak dan Lion's Head itu menghasilkan landskap Cape Town yang menakjubkan. Bukan itu sahaja, kawasan di sekitar teluk itu juga merupakan antara kawasan kota paling hampir dengan biodiversiti alam yang tidak terusik.

Ketika cuaca dingin, puncak gunung akan diselubungi gumpulan awan yang kelihatan seolah-olah hamparan kain pengalas meja.

Meskipun boleh dilihat dari pelbagai sudut kota, kunjungan ke puncak lebih bererti. Bagi yang ingin mencabar diri, laluan mendaki menawarkan lebih daripada 300 laluan bermula dari kategori mudah hingga ke pendakian tahap profesional. Rekreasi itu mengambil masa antara dua hingga tiga jam, bergantung kepada stamina.

Untuk perjalanan lebih mudah, puncak Table Mountain boleh dikunjungi dengan menaiki kereta kabel dari Jalan Tafelberg. Puncak rata atau penara seluas tiga kilometer itu menyajikan panorama Teluk Afrika yang menampakkan Table Bay dan Pulau Robben.

Pulau Robben yang terletak di sebelah utara pula merupakan satu lagi tarikan yang tidak ingin dilepaskan pelawat jika ke Cape Town. Bukan pulau biasa, ia adalah tembok besi yang pernah mengurung bekas Presiden Demokratik Afrika Selatan, Nelson Mandela.

Terpisah sejauh 12 kilometer dari daratan, bekas penjara yang dikawal ketat itu kini menempatkan muzium kemerdekaan. Pelawat boleh menyelami keperitan hidup banduan di sel-sel besi, bilik penghukuman dan sebuah lombong tempat banduan dikerahkan tenaga.

Pulau Robbern yang menjadi simbol kemenangan rakyat Afrika Selatan menumbangkan dasar apartheid diangkat menjadi Tapak Warisan Dunia (Kebudayaan) oleh UNESCO pada 1999.

Selain itu, Cape Town juga mempunyai tarikan yang mewarnai corak kehidupan masyarakat dan budayanya.

Malay Cape merupakan penempatan masyarakat Melayu di tengah-tengah Cape Town yang bertapak di negara itu sejak lebih 300 tahun yang lalu.

Kebanyakan daripada mereka adalah Melayu dari Indonesia yang dilarikan oleh penjajah Belanda. Pada masa kini, dianggarkan terdapat 160,000 Melayu Cape Town yang mendiami kawasan Signal Hill.

Lokasi seterusnya adalah Cape Point atau Cape of Hope yang terletak kira-kira 80 kilometer dari pusat bandar. Ia berbaloi dan amat mententeramkan.

Cape Point merupakan antara kawasan tebing laut tertinggi di dunia. Ia kini dihiasi rumah api dan sebuah pelantar tinjau yang cukup untuk membuatkan anda gayat.

Seperti nama ketiganya (Cape of Storm), ketenangan di situ kadang-kala menyajikan kehebatan gelora laut yang menggulung ombak berpuluh-puluh meter tingginya.

Selain udara segarnya, tarikan alam di situ termasuk kepelbagaian flora dan fauna yang tidak ditemui di tempat lain seperti monyet Chacma, kuda belang Cape Mountain dan lebih 250 spesies burung.

Memadai dengan keindahan alam? keunikan tarikan di Cape Town pastinya tidak lengkap tanpa mendekati dua haiwan terbesar di perairannya.

Cape Town sememangnya dikenali dengan tarikan lokasi melihat paus seperti yang ada di Cape Whale Coast. Setiap tahun antara Jun hingga November, beratus-ratus paus akan tiba di perairan Cape Whale Coast untuk melarikan diri daripada kesejukan Laut Antartik. Pengalaman melihat libasan ekor dan lompatan gergasi di permukaan laut itu boleh dikunjungi dengan pemanduan dari Cape Town.

Masih tidak mencabar? Rasakan geledak adrenalin dengan sesuatu yang lebih ekstrem iaitu selaman jerung dalam sangkar yang juga merupakan tarikan popular di Afrika Selatan.

Diasingkan dengan kurungan besi, rasailah debaran berdepan dengan haiwan pemangsa sepanjang lima hingga 10 meter itu.

Meskipun jerung kelihatan sepanjang tahun, masa terbaik adalah antara Mei hingga Oktober. Beberapa kawasan yang menawarkan kegilaan itu termasuk Gansbaai dan Mossel Bay, kira-kira dua jam dari Cape Town.

Selain itu, pelancong ke Cape Town juga boleh mendekati koloni penguin Afrika di Pantai Boulders, salah satu pantai yang paling terpelihara di situ.

Jika tidak berpeluang ke Pantai Boulders, kawasan Tebingan Cape Town juga mempunyai tarikan alam marin di Two Oceans Aquarium yang dipenuhi lebih 3,000 spesies laut. Alamilah Cape Town.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: