Saturday, July 23, 2011

BTS meriah dengan fesyen


WARNA terang dan gaya santai gaun atas lutut antara yang diperagakan pada Malam Gala BTS di ibu negara baru-baru ini.


HEBAT dan mempersonakan. Meriah dengan pelbagai jenis aneka fesyen. Mungkin itu gambaran yang sesuai bagi menggambarkan Malam Gala sempena pertunjukan fesyen Bold, Trendy and Stylish (BTS) yang diadakan di ruang utama, pusat beli belah Times Square di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menghimpunkan lebih 17 jenis jenama terkenal membuatkan mata terpesona dengan kehebatan yang ditonjolkan melalui pertunjukan itu.

Majlis itu bagi meraikan para pelanggan yang kini menikmati potongan harga sehingga 31 Ogos ini.

Peragaan fesyen dimulakan dengan koleksi Bossini yang menampilkan baju-baju kasual yang dipadankan dengan beg tangan membuatkan si pemakai kelihatan ringkas bersahaja.

Begitu juga dengan koleksi terbaru Carlo Rino, tidak ketinggalan menampilkan himpunan koleksi beg tangan serta kasut menawan dan menambat hati.

Jenama yang terkenal dengan kualiti pembuatan beg kulit, kasut, dompet dan aksesori lain itu cuba menakluk hati penggemar fesyen terutama golongan muda dengan rekaan inovatif dan lebih eksklusif.

Koleksi terbaru itu didatangkan dalam warna ceria mengikut aliran cita rasa fesyen terkini.

Bagi setiap pemilihan fesyen-fesyen warna tropikal yang terang dan bercetak bunga-bungaan, koleksi Tropicana Life mempamerkan rekaan longgar santai sesuai untuk anak muda yang mementingkan gaya dan personaliti digabungkan dengan warna terang dan aksesori ringkas menyempurnakan lagi penampilan.

Bagi jenama Bossini, menampilkan baju-baju ringkas membuatkan kelihatan ringkas kepada si pemakai tidak kira untuk lelaki mahupun untuk wanita.

Semuanya kelihatan ringkas tetapi masih dilihat tetap bergaya.

Bagi si jejaka dengan pentingkan gaya kemas, licin dan ringkas. Memadai dengan baju T jenama polo yang dipadan dengan seluar paras lutut daripada fabrik benang kapas untuk gaya santai.

Koleksi ini menawarkan rekaan yang ringkas yang sesuai untuk dipadankan pada minggu yang kelihatan relaks dan santai.

Untuk koleksi yang lebih bergaya, Kitschen tidak ketinggalan memberi yang terbaik kepada peminatnya.

Selain mengetengahkan rekaan pakaian kasual yang tampak lebih anggun, ia turut mengutamakan keselesaan kepada si pemakai.

Bukan hanya menepati tema, rekaan Michelle kali ini menumpukan gabungan dua unsur iaitu dengan rona segar dan memikat serta warna-warna terang dan ceria yang tidak keterlaluan.

Selain menggunakan fabrik kapas dan linen yang lebih ringan dan selesa, ia juga mampu mengubah gaya daripada formal kepada kasual ataupun santai dan menyeronokkan.

Sebagai pencetus aliran dalam gaya mewah, sungguhpun polos menjadi inti pati koleksi, padanan rona yang tepat mampu membangkitkan gaya hebat si gadis.

Tampak ringkas dan sesuai dengan gadis bertubuh tinggi lampai, gaun polos paras lutut misalnya, bukan sahaja sesuai untuk ke majlis rasmi malah ia kelihatan menyerlah jika di gaya ke majlis minum petang.

Bagi mereka yang berani dan mahukan kelainan, gaun paras lutut himpunan kali ini mengetengahkan fabrik bermotif abstrak yang pasti mampu menaikkan seri si pemakai apatah lagi jika bijak menyesuaikan solekan dan majlis dihadiri.

Sehalus buatannya, Michelle bukan menjanjikan kemewahan semata-mata sebaliknya kepuasan si gadis dalam bergaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: