|
|
APABILA menyebut tentang kaftan jangan jumudkan fikiran dengan membayangkan baju tidur kelawar sahaja. Ini kerana kaftan kini telah dimodenkan menerusi pelbagai potongan serta perincian yang bakal 'membuka' mata sang suami.
Kini ia lebih istimewa sebagai persalinan eksklusif untuk majlis formal bagi wanita yang inginkan penampilan sopan dan anggun.
Tidak kira sama ada wanita bertudung atau tidak, fesyen kaftan pasti memenuhi kriteria penampilan elegan lagi bergaya.
Apatah lagi jika fabrik yang digunakan daripada jenis mewah dan berkualiti tinggi.
Jika membeli sehelai kaftan dari Oasis Boutique bermakna hanya anda seorang sahaja yang mempunyai pakaian tersebut - eksklusif sememangnya impian setiap wanita.
Justeru tidak hairan wanita yang mampu, sanggup menghabiskan ribuan ringgit semata-mata memastikan barangan miliknya tidak menyerupai yang dimiliki orang lain.
Oasis Boutique diinspirasikan oleh Datin Nik Sarina Luqman Hashim dan telah direalisasikan bersama dua lagi sahabatnya, Datin Zunita Mohamed dan Nor Zariza Zakaria selaku pengurus operasi.
Koleksi butik tersebut julung kali menemui penggemar fesyen tempatan dalam peragaan yang berlangsung di Oasis Boutique di Kelab Golf Kuala Lumpur (KLGCC) baru-baru ini.
Ia serentak dengan perasmian butik yang disempurnakan oleh Datuk Seri Tengku Puteri Zahariah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Tengku Datuk Nong Fatimah Sultan Ahmad Shah; Pengarah Urusan Atikah Songket, Noriah Ashari dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd. Yusof.
Oasis Boutique ditubuhkan pada Mac tahun ini dan sudah tentu kerana Nik Sarina sendiri seorang yang mencintai kecantikan dan fesyen.
Katanya, daripada minat timbul idea untuk menubuhkan butik yang bukan saja eksklusif bahkan mampu dibeli.
Berdasarkan pengalaman sendiri, beliau berpendapat terlalu banyak pakaian berjenama yang begitu mahal.
Justeru apabila memiliki butik sendiri, beliau boleh menjual pakaian dengan kualiti yang sama pada harga yang lebih murah.
Malah pemilihan fabrik yang dilakukannya juga lebih teliti dan berkualiti.
Antara fabrik yang menjadi pilihan Oasis Boutique untuk kaftan seperti lycra, jersey, sutera Thai, sutera dan syifon.
Manakala perincian manik dan labuci yang digunakan untuk menaikkan seri kaftan diimport dari Thailand dan beberapa Negara Asia lain.
Zunita yang merupakan pereka fesyen yang juga pemilik bersama berkata, kaftan Oasis dizahirkan mengikut ilhamnya sendiri.
"Saya senang menghasilkan potongan kaftan yang boleh diperincikan dengan manik dan labuci mengikuti ilham saya sendiri.
"Ia seperti satu bakat yang dianugerahkan Ilahi apabila jari jemari saya senang untuk menghasilkan perincian manik yang sesuai dengan fabrik kaftan tersebut," katanya
Menceritakan tentang idea menghasilkan jahitan manik, Zunita berkata, sebelum ini beliau menghasilkan perincian manik pada pakaiannya sendiri.
"Bila saya pakai ramai kawan-kawan berkenan dan dari situ saya fikir apa salahnya saya menghasilkan sesuatu yang boleh dipakai oleh wanita lain.
"Pakaian kaftan ini sebenarnya ideal untuk Muslimah kerana potongannya yang longgar dan tidak begitu menampakkan bentuk badan.
"Potongan kaftan di Oasis Boutique sesuai untuk semua saiz badan.
"Selain kaftan berpotongan labuh untuk yang tinggi lampai kami juga menawarkan kaftan berpotongan blaus yang boleh digayakan bersama seluar panjang," katanya.
Kaftan yang ditawarkan di Oasis Boutique amat sesuai dengan cuaca di negara ini di mana ia tidak panas dan selesa sama ada dikenakan ketika menghadiri majlis eksklusif atau sebaliknya.
"Ia juga satu pilihan yang amat ideal untuk pagi raya tahun ini," tambah Nik Sarina.
Oasis Boutique terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Bagi wanita yang inginkan khidmat rundingan imej turut disediakan di sana.
Untuk maklumat lanjut tentang koleksi Oasis Boutique boleh layari laman web www.oasisboutique.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: