Sunday, July 24, 2011

Juara milik Nor Asma & Nurul Faizatul


Nor Asma Che Som, 25, tersenyum bangga dinobatkan sebagai juara Ratu Kebaya kategori b.


SAMBUTAN yang diterima sepanjang Fiesta Bera 2011 berlangsung dua minggu sudah memang cukup hangat. Namun jangan tak tahu, tempias kemeriahan fiesta juga turut dirasai semua peserta pertandingan Ratu Kebaya Pahang Mak Dara 2011!

Merupakan lokasi keenam selepas Melaka, pertandingan kali ini telah disertai seramai 25 peserta yang tentunya bukan sahaja dari daerah Bera, tetapi seluruh negeri Pahang.

Diadakan di Tapak Expo Daerah Bera, pertandingan kali ini telah menyaksikan kemenangan berpihak kepada Nurul Faizatul Othman, 24.

Kemenangan Faizatul dilihat cukup istimewa kerana selain telah bergelar ibu, dia juga telah mengejutkan barisan juri apabila mendedahkan bahawa dia bertugas sebagai seorang anggota polis berpangkat konstabel.

Juri yang dibarisi oleh pengasas Jamu Mak Dara, Ibu Halimah Shuib dan dua pelakon terkenal iaitu Abby Abadi dan Neelofa ternyata kagum dengan bakat yang ada pada Faizatul meski dia dilihat memiliki ciri-ciri kelembutan dan keayuan seorang wanita Melayu.

Menurut Faizatul, misi utama dia menyertai pertandingan adalah untuk membuka mata umum bahawa tidak semua wanita yang bertugas sebagai anggota polis tidak boleh menyertai pertandingan ratu sedemikian.

“Sebagai anggota polis, saya sememangnya dilatih dengan disiplin yang ketat dan diterapkan dengan komitmen yang tinggi terutama ketika menjalankan tugas.

“Tetapi itu tidak bermakna saya tidak mempunyai kelembutan sebagai seorang wanita Melayu. Jadi saya mahu buktikan bahawa saya juga boleh lakukannya seperti ratu-ratu cantik yang lain.

“Lagipun tak salah saya mencuba, ” katanya.

Kemenangan Faizatul sekali gus melayakkan dia pulang dengan gelaran juara Ratu Kebaya Pahang Mak Dara untuk kategori A yang dikhaskan kepada wanita yang mempunyai berat badan 59 kilogram ke bawah.

Keterujaan tentunya semakin terserlah di wajah Faizatul apabila dia diumumkan turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM500, hamper tajaan Forest’ Secret bernilai RM500 serta cenderahati eksklusif daripada Mingguan Malaysia.

Menumpaskan 15 peserta yang lain, kemenangan Faizatul itu turut menyaksikan Fatin Yang Maida Ramli, 24, sebagai naib juara manakala Rosmaliza Rameli, 25, pemenang di tempat ketiga.

Sementara itu, untuk kategori B (60 ke atas), juri telah sebulat suara memilih Nor Asma Che Som, 25, yang merupakan seorang suri rumah dan juga ibu kepada seorang cahaya mata.

Pulang membawa hadiah wang tunai berjumlah RM500, hamper tajaan Forest’ Secret (RM500) serta cenderahati eksklusif daripada Mingguan Malaysia, Nor Asma ternyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya setelah bergelar juara.

Menurut Nor Asma, dia tidak menyangka akan memenangi pertandingan tersebut apalagi penyertaan itu pada awalnya disertai secara suka-suka selain berniat mahu mencuba nasib.

“Tak sangka pula menang. Saya anggap ini rezeki anaklah. Apa yang menyebabkan saya lebih terharu, sebelum saya masuk pertandingan ini, ramai di antara kawan-kawan yang memandang rendah.

“Iyalah..sebab saya ni montel. Tapi saya tetapkan juga keyakinan bahawa saya boleh lakukannya dan ternyata saya berjaya membuktikannya sekarang,” katanya bangga.

Kemenangan Nor Asma diikuti oleh Hafidah Abdul Malik, 28, meraih tempat kedua manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Rosmawati Rahmat, 29.

Sementara itu, pencarian Ratu Kebaya di Negeri Sembilan, Johor Bharu dan berikutnya, akan diteruskan selepas sambutan hari raya Aidilfitri.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai, sila dapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini yang akan dimaklumkan menerusi sisipan Pancaindera dari semasa ke semasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: