|
|
BUKAN sesuatu yang pelik apabila anda melihat dunia hiburan tanah air dilanda kemunculan kumpulan-kumpulan yang terarah kepada imej Pop Korea atau K-pop sekarang.
Apalagi, demam K-pop sudah semakin sebati di kalangan peminat-peminat fanatik genre itu yang kebanyakannya adalah golongan remaja.
Meski dilihat turut menerima tempias K-pop, namun itu bukanlah objektif utama yang menyeret kumpulan Forteen.
Lebih-lebih lagi selepas bakat nyanyian mereka telah diintai dan disunting oleh komposer terkenal, Edry Abdul Halim di bawah KRU.
Dianggotai empat jejaka tampan, One, Ameer, Ariz dan Izzue, Forteen yang baru sahaja memulakan langkah sebagai anak seni sejak empat bulan lalu dilihat amat mustahil mampu menepis kritikan yang pastinya menyamakan mereka dengan fenomena K-pop itu.
Mengaku mempunyai kelainan berbanding lambakan kumpulan lain, Forteen lebih selesa untuk dikenali dengan imej Melayu Pop atau M-pop.
Tampil sebagai ketua kumpulan, kata Ariz, genre K-pop mungkin menjadi rujukan sesetengah kumpulan baru lain, namun Forteen punya identiti tersendiri walau tercalit gaya ala Kpop.
“Bezanya adalah kami lebih fokus pada kumpulan vokal. Kalau K-pop, kebanyakan mereka cenderung menggunakan elemen tarian berbanding vokal.
“Walaupun K-pop tengah hangat sekarang, namun kami tak jadikan genre itu sebagai rujukan utama.
“Kalau di Malaysia anda boleh andaikan kami seperti kumpulan Phyne Ballerz, V.E atau X-Factor.
“Kalau dalam versi barat, imej kami ini lebih cenderung seperti kumpulan Westlife atau Backstreet Boys,” katanya.
Dalam pada itu, kumpulan yang mula mendapat perhatian menerusi single berjudul Berdua Bersatu ini juga tidak menolak bahawa mereka sudah mula merasai bunga-bunga kritikan daripada segelintir pihak yang tersalah faham mengenai imej mereka.
Hal ini diakui sendiri oleh One, yang dahulunya pernah menempa nama sebagai salah seorang peserta program realiti televisyen, One In A Million (OIAM) musim ketiga.
Menurut One, sebagai sebuah kumpulan baru, kritikan tentunya akan wujud dan Forteen tidak terkecuali daripada menerima pengalaman sedemikian meski masih baru.
Namun, kata One, ia bukanlah penghalang buat keempat-
empat mereka untuk cepat berundur dan berputus asa.
“Kami tak pernah menganggap kritikan atau kutukan itu sebagai sesuatu yang buruk. Kadang-kadang, ia banyak mendatangkan perkara positif dan rasanya tak perlulah kami buang semua kritikan.
“Forteen optimistik dan kami akan ambil segala yang mendatangkan kebaikan buat kami terutama komen-komen yang membina. Kami sedia dikritik.
“Bagaimanapun kami juga tak salahkan peminat kerana mereka berhak menilai dan memberi komen.
“Jadi apa yang kami perlu lakukan ialah berikan yang terbaik dan puaskan pendengar melalui bakat nyanyian kami,” ujarnya.
Mahu glamor
Dunia hiburan tentunya penuh dengan warna-warna glamor.
Tanyalah pada sesiapapun, tidak ada artis di luar sana yang tidak mahu diri mereka disimbah dengan sorotan lampu glamor dan perhatian mata umum.
Namun, tidak ramai artis di negara ini yang tahu mengenai harga yang wajar untuk ‘membeli’ tiket glamor terutamanya bagi pelapis baru dalam industri ini.
Menyedari rupa bukanlah ukuran untuk mencipta nama, Forteen yang diwakili oleh Ameerais pula memberitahu, mereka percaya bakat yang dimiliki mampu membawa mereka ke pentas glamor meski perlu bertatih ke arah itu.
“Kalau ditanya, ya memang kami mahu dikenali dan glamor sebagai artis. Tapi biarlah sebagai artis yang berbakat dan bukannya dapat perhatian kerana cerita-cerita yang negatif.
“Kami sedar untuk jadi terkenal, sesebuah kumpulan itu perlu mengekalkan imej yang bersih. Jadi kami akan berusaha ke arah itu,” katanya.
Dalam pada itu, kata Ameerais, dia juga berbangga kerana meskipun masih hijau, namun setakat ini penerimaan peminat terhadap Forteen sangat baik.
Oleh kerana itu, jelas Ameerais, Forteen akan memastikan mereka terus menghasilkan yang terbaik meskipun satu hari nanti mereka sudah berada di dalam zon selesa.
Dalam pada itu, bagi mereka yang ingin mengenali anak buah Edry ini dengan lebih dekat, anda boleh berbuat demikian dengan melayari laman sosial Facebook Forteen.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: